Friday, July 4, 2008

PARLIMEN : Cadang adakan Kongres Ekonomi Bumiputera

KUALA LUMPUR 3 Julai - Seorang penyokong kerajaan mencadangkan supaya Kongres Ekonomi Bumiputera diadakan bagi menangani masalah ekonomi yang dihadapi oleh golongan itu sekarang.

Ahmad Maslan (BN-Pontian) berkata, kongres itu penting bagi mencari penyelesaian terhadap masalah yang dihadapi oleh bumiputera dalam meningkatkan ekonomi mereka.

Beliau juga mempersoalkan mengapa kekayaan negara tidak dinikmati oleh semua rakyat menyebabkan berlaku kemiskinan, pemilikan ekuiti syarikat yang tempang dan pemilikan premis perniagaan untuk bumiputera amat tertinggal jauh iaitu hanya 15 peratus.

''Apakah Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi melihat dengan sebelah mata tentang kegagalan ini, mengapa dalam masa 11 tahun hanya 11 syarikat usahasama tulen di antara bumiputera dan bukan bumiputera dapat diwujudkan.

''Ini jelas menunjukkan bahawa usaha semua pihak untuk melaksanakan perkongsian ekonomi masih pada tahap sifar," katanya ketika membahaskan usul Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9) pada sidang Dewan Rakyat hari ini.

Ahmad juga bertanya bagaimana Unit Perancangan Ekonomi (EPU) Jabatan Perdana Menteri (JPM) dan Kementerian Kewangan dapat memastikan keadilan dan kesaksamaan dinikmati bersama oleh 16.5 juta bumiputera, 6.2 juta kaum Cina, 1.86 juta kaum India dan 0.29 juta kaum lain.

Katanya, Malaysia sebenarnya tidak buntu idea bagi menambah kekayaan negara.

Beliau memberi contoh Kementerian Pertanian wajar berusaha habis-habisan untuk mengurangkan import makanan yang bernilai RM23.37 bilion pada tahun lepas.

''Sebanyak 50 peratus daripada jumlah import makanan ialah kopi, koko, teh, rempah, makanan ternakan, bijirin dan hasil tenusu yang kesemuanya boleh diusahakan dalam negara.

''Mari kita usahakan segera sendiri produk-produk ini, semakin kurang import maka semakin kaya dan semakin berdikari negara ini," katanya.

Beliau juga mempersoalkan tindakan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) dalam meningkatkan eksport produk negara.

Katanya, dalam suku pertama tahun ini, jumlah eksport ialah RM55.8 bilion dan import RM44.3 bilion menjadikan imbangan perdagangan sebanyak RM11.5 bilion.

Beliau menjelaskan, import negara perlu dikurangkan agar kekayaan negara dapat dijana dengan Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) melipatgandakan usaha untuk meningkatkan eksport.

Ahmad juga menegur pegawai-pegawai bertugas di Parlimen kerana memberikan cadangan jawapan standard, membosankan dan biasa seperti akan dikaji, belum ada cadangan serta tidak dapat dilakukan kerana tidak ada peruntukan.

Katanya, pegawai bertugas perlu mencadangkan sesuatu yang luar biasa kepada persoalan ahli Parlimen contohnya akan dilaksanakan, peruntukan ada dan esok akan dimulakan.

Beliau juga mempersoalkan ke mana perginya timbalan-timbalan menteri semasa sesi perbahasan di Dewan Rakyat.

''Sibuk sangatkah sehingga kami (ahli Parlimen) bercakap kepada kerusi-kerusi kosong yang tiada perasaan, ingatlah bahawa perbahasan di Dewan Rakyat ini adalah penting untuk mendengar pandangan-pandangan membina," katanya.

ARKIB : 04/07/2008
http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2008&dt=0704&pub=Utusan_Malaysia&sec=Parlimen&pg=pa_04.htm

No comments: