Saturday, February 7, 2009

HALUSI KENAPA ZIONIS MENGUASAI PERSEPSI DUNIA?

Otak adalah organ untuk menyimpan maklumat, memori, berfikir, beremosi dan berkhayal. Dari segi fungsinya otak terdiri daripada bahagian dan saluran yang berbeza dan atas sebab itu pemikiran yang dilahirkan adalah berbeza bergantung kepada bahagian atau gabungan bahagian-bahagian otak yang mana satu terlibat dalam proses berfikir.

Idealnya ialah berfikir secara bebas, rasional dan bernas. Begitu juga apabila menyatakan sesuatu pendapat dan pandangan, di situ juga ada pilihan agar kandungan atau buah fikiran itu lahir daripada juzuk akal yang tulen serta bebas daripada pengaruh, pencemaran atau kongkongan pihak, ideologi atau agenda tertentu.

Malangnya idealisme dalam kerangka kehidupan seharian seperti makan dan minum, berkawan, bersosial, berkomunikasi, berinteraksi, bermasyarakat, berpolitik dan bernegara adalah dikategorikan sebagai perkara yang indah khabar dari rupa. Logiknya idealisme hanya ujud dalam kalangan individu, puak atau organisasi yang ideal saja. Namun, berapa ramaikah yang benar-benar idealistik dalam meluahkan pandangan, rasa hati, nukilan hati atau pendapat ketika mengarang, berpidato, berdiskusi atau berdebat?

Realitinya bagaimana? Berapa peratuskah daripada nilai idealisme yang mampu diselitkan dalam pemikiran setiap individu? Atau berapa peratuskah daripada pemikiran individu itu yang terdedah kepada tarikan, penguasaan dan pengaruh luaran. Dan dalan konteks pengaruh luaran, banyak manakah keberkesanan pengaruh pihak tertentu (gerakan-gerakan yang mempunyai agenda tersembunyi) terhadap pemikiran individu dan umum?

Sedarkah kita tentang kemungkinan adanya gerakan-gerakan yang berselindung disebalik topeng-topeng sosial, politik, masyarakat sivil atau agama yang mempunyai matlamat khusus iaitu menguasai dan menggembeling pemikiran golongan massa bagi tujuan tertentu? Harapannya ialah supaya golongan sasaran (berdasarkan persamaan ras, status sosial, politik dan agama) dapat berkongsi nilai, paradigma dan hala tuju yang sama dengan pihak yang mempunyai agenda ini.

Bagi pihak yang mempunyai agenda, niat mereka itu mudah dicapai seandainya setiap isu dan polemik dinilai dan diukur dengan kayu ukur dan unit universal yang mudah mendapat penerimaan dari kalangan pihak sasaran. Oleh kerana keuniversalan adalah nilai yang dekat di hati banyak pihak oleh itu tidak hairanlah nilai-nilai ini sering dijaja atau dijadikan umpan bagi mempengaruhi pemikiran dan seterusnya menambat hati umum.

Hasrat tersirat golongan yang beragenda mudah tercapai kalau golongan sasaran dapat menerima momokkan dan pendakyahan terhadap keruncingan tertentu terutamanya kelangsungan ekonomi, budaya, sosial, pendidikan dan agama. Golongan sasaran mudah termakan hujahan yang mereka harus tidak bercerai berai tetapi sebaliknya harus berkongsi pendirian, pegangan dan matlamat yang satu.

Golongan sasaran boleh dibasuh otak mereka lalu dimasukkan warna dan corak pemikiran baru. Naluri semula jadi manusia yang tertarik kepada watak hero dan super hero dan kebencian terhadap watak iblis dan syaitan boleh dieksploitasi supaya golongan sasaran berasa terancam dan oleh itu terdapat keperluan (kononnya) bagi mereka untuk bernaung di bawah satu kuasa (merujuk kepada golongan beragenda) yang mampu membawa mereka keluar daripada ancaman berkenaan.

Apabila ini berjaya, langkah golongan beragenda seterusnya ialah supaya pandangan definitif, objektif dan kolektif mereka dipersepsikan sebagai mewakili pandangan masyarakat keseluruhannya meskipun mereka hanyalah mewakili golongan yang lebih kecil.

Golongan beragenda hanya perlu menunjukkan seolah-olah apabila memberikan pendapat, ia harus dipihak yang benar dan tidak ada agenda lain melainkan mencari kebenaran. Dengan itu harapannya ialah agar umum terpedaya dan beranggapan bahawa golongan beragenda adalah golongan yang lurus dan berupaya memimpin umum atas landasan yang lurus kononnya.

Apa yang tidak kena ialah agenda yang terselindung. Meskipun nampak seperti membawa kepada isu kesejagatan tetapi perjuangan golongan beragenda mengarah kepada kepentingan yang sempit, kendiri dan rasis. Kini, dengan sedikit penguasaan terhadap pemikiran dan persepsi umum, dapatlah mereka menyalurkan kekuatan ini untuk menyokong agenda politik, sosial dan agama mereka.

Atas sebab itulah dalam keadaan pendapat mereka adalah tidak betul, paradoks dan dan berkontradiksi dengan pendapat yang mereka berikan sebelum itu, umum masih melihat mereka sebagai golongan yang lurus lagi betul. Ironinya, apabila golongan beragenda terang-terangan terpalit dengan kekotoran dan pencemaran imej dan tingkah laku, umum yang telah terpengaruh dengan putar belit dan permainan psikologi golongan beragenda, masih boleh berkata yang PR (Pakatan Rambo) masih bercakap bersih dan suci walhal ianya tidak.

Dalam perkataan lain, walau apapun isunya, tidak kira sama ada Pakatan Rakyat (iaitu alat untuk menjayakan agenda golongan beragenda) berada di pihak yang benar ataupun dipihak yang salah, mereka akan pastikan yang hujah-hujah mereka yang kini menguasai dunia penulisan dan komentar dalam dunia siber akan terus berpihak kepada Pakatan Rakyat. Ini adalah satu contoh bagaimana kelebihan anugerah Tuhan disalurkan secara negatif. Implikasinya sedikit sebanyak menggusarkan wilayah nusantara yang mana komposisinya majmuk.

Adalah tidak masuk akal yang waras apabila golongan beragenda dalam keadaan yang bersihpun mereka mendapat sokongan dan dalam keadaan yang kotor dan keji sekalipun mereka tetap mendapat sokongan. Ini bukan mudah terbina tanpa adanya elemen kebijakan dalam membohongi dan memanipulasi sentimen serta persepsi umum.

Tidak mengapa kalau golongan beragenda mahu menonjolkan imej bersih PR dalam isu yang menampakkan PR sememangnya bersih. Tetapi, sekiranya imej PR mengalami pencemaran seperti dalam isu rasuah, penjualan arak, AP melompat parti, mengambil alih kerusi PM secara tidak demokratik dan perebutan jawatan MB, apakah mereka masih mahu dianggap sebagai ‘dewata’ atau ‘lembu suci’?

Setakat ini golongan beragenda tahu yang mereka telah separuh berjaya dalam melaksanakan misi mereka dan mereka tidak akan berhenti sehinggalah semua orang turut terpengaruh dengan agenda politik, sosial dan agama mereka. Tugas mereka seterusnya tidaklah semudah itu tetapi menjadi lebih mudah apabila ada laman blog (yang mendapat sambutan ramai) yang sepatutnya mendedahkan kelemahan dan agenda keji pembangkang, yang sepatutnya membela hala tuju politik bangsanya sendiri, yang sepatutnya membela agamanya sendiri tetapi sebaliknya, sama ada secara sedar dan tidak sedar telah menjadi alat kepada golongan beragenda untuk memperluaskan lagi pengaruh negatif mereka.

http://www.kpmu.net/2009/02/kita-perlu-banyak-memaafkan-tun-maklum-saja-lah/

No comments: