Saturday, January 31, 2009

Impian Rakyat Adalah Melihat Keadilan Dan Kesaksamaan

Rakyat bukan mengharapkan dari pemimpin untuk menunjuk-nunjuk kemewahan diri seperti mana peraga fesyen mempamerkan gaya dan keranggian pakaian mereka di atas pentas. Apa yang rakyat harapkan adalah pemimpin melakukan keadilan dan kesaksamaan.

Rakyat akan bangga melihat pemimpin mereka adil amanah terhadap harta negara. Rakyat tidak bangga untuk mendengar cerita pemimpin mereka mewah dengan penuh tanda tanya tentang hartanya dan berjalan dengan penuh kebongkakan seakan dia ialah maharaja yang tidak boleh dikalahkan atau dipersalahkan.

Seseorang pemerintah dibangga dan dikasihi oleh rakyatnya apabila terselah keadilannya. Khalifah Umar bin al-Khattab pernah membahagi-bahagikan kepada rakyatnya pakaian lalu beliau naik ke atas mimbar dan berkata: “Wahai manusia dengarlah!” Tiba-tiba bangun Salman al-Farisi berkata: “Kami tidak mahu dengar”.

Lantas Umar bertanya: Kenapa wahai Salman?” Jawabnya: Engkau berikan kamu semua seorang sehelai, sedangkan engkau memakai dua helai”. Kata ‘Umar: “Jangan tergesa-gesa wahai Salman”. Lalu Umar memanggil anaknya Abd Allah. Kata Umar: aku menyerumu dengan nama Allah, bukankah pakaian yang aku pakai ini adalah peruntukanmu yang engkau berikan padaku”. Jawabnya: Ya!. Maka kata Salman: “Sekarang kami akan dengar”. (Ibn Qutaibah, ‘Uyun al-Akhbar, 1/55).

Maka kita tidak peliklah mengapa umat ini sepanjang sejarahnya amat merindui dan mencintai pemerintahan al-khulafa al-rasyidin terutama Khalifah Umar bin al-Khattab r.a. ini. Beliau pernah berkata kepada gabenor yang dilantiknya iaitu Abu Musa al-‘Asy’ari: “Wahai Abu Musa! Sesungguhnya engkau hanyalah salah seorang dari orang ramai, melainkan Allah menjadikan engkau yang paling berat menanggung beban antara mereka”.

Justeru itulah al-‘Adl wa al-Musawah (keadilan dan kesaksamaan) adalah teras kepada pemerintahan dalam Islam. Disebabkan keadilan yang pernah ditunjukkan oleh para khalifah yang adil dalam sejarah merekalah maka ribuan manusia menganut Islam atau ingin berlindung di bawah pemerintahan Islam.

Namun, apabila umat Islam gagal mempamerkan sistem dan perlaksanaan pemerintahan yang adil lagi saksama, maka bukan muslim bukan sahaja tidak mahu menerima Islam, bahkan tidak memandang hormat kepada Islam. Lebih memalukan jika mereka pula lebih bermoral daripada kita dalam mernguruskan harta rakyat mereka.

Lihatlah Khalifah ‘Umar bin al-Khattab, ketika beliau berkuasa sebagai khalifah lalu berselisih dengan seorang yahudi yang merupakan rakyat negaranya mengenai kuda yahudi berkenaan yang hendak dijual. ‘Umar mencubanya sehingga cacat. Umar berkata kepada yahudi berkenaan: “Carilah seorang yang dapat memutuskan kes ini”.

Kata yahudi berkenaan: “Aku redha dengan Shuraih al-‘Iraqi sebagai hakim. Shuraih yang merupakan seorang muslim yang bertakwa lagi bijak dalam penghakiman. Apabila diangkat kes ini kepada Shuraih dia berkata kepada Umar yang merupakan seorang khalifah yang berkuasa: “Engkau telah mengambilnya dalam keadaan elok, maka engkaulah penjaminnya maka hendaklah engkau pulangkan semula dalam keadaan yang elok dan tidak cacat”.

Kerana kes itu, Shuraih dilantik menjadi hakim besar oleh ‘Umar. (lihat: Ibn Qayyim al-Jauziyyah, I’lam al-Muwaqq’in, 1/109). Ini keadilan dan keinsafan. Seseorang yang adil lagi berkelayakan itu ditabalkan, bukan dipecat. Sekalipun keadilan itu terpaksa dirasai kepedihannya oleh pemerintah sendiri.

Prinsip kesaksamaan ini ditegaskan oleh banyak nas-nas Islam. Firman Allah (maksudnya): Wahai manusia! Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu dari lelaki dan perempuan, dan Kami telah menjadikan kamu berbagai bangsa dan bersuku puak, supaya kamu berkenal-kenalan. Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang yang paling bertaqwa di antara kamu. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Maha mendalam pengetahuanNya (akan keadaan dan amalan kamu). (Surah al-Hujurat: 13).

Sabda Nabi s.a.w pula: “Wahai manusia! Sesungguhnya tuhan kamu sama, bapa kamu sama (Adam). Ketahuailah! Tiada kelebihan orang arab ke atas a’jam (yang bukan arab), atau a’jam ke atas arab, atau yang berkulit merah ke atas yang berkulit hitam, atau yang berkulit hitam ke atas yang berkulit merah melainkan ketakwaan” (Riwayat Ahmad dan al-Baihaqi, dinilai hasan oleh al-Albani).

Inilah dasar Islam yang agung. Menghapus kebongkakan atas nama keturunan atau puak, kerana manusia semuanya sama di sisi tuhan. Islam agama yang memusuhi sistem kasta yang membeza-beza manusia disebabkan keturunannya. Islam tidak pernah menyatakan keturunan semata mewarisi kemuliaan, tetapi nilai dan sikap seseorang yang memastikan sama ada dia mulia atau sebaliknya.

Justeru itu, manusia tidak menjadi mulia disebabkan pangkat yang dia ditabalkan. Tetapi ketakwaannya. Maka ketakwaan seorang pemimpin adalah apabila dia amanah dan adil terhadap rakyat bawahan. Tidak menyalahgunakan kuasa dan mengambil harta yang bukan haknya. Jika itu berlaku, maka dia adalah pemimpin yang mulia.

Jika tidak, dia seorang yang memecahkan amanah lagi hina. Sekalipun orang memberikan pangkal namanya dengan berbagai gelaran; Yang Berhormat atau Yang Amat Berhormat. Namun tiada kehormatan untuknya di sisi Allah jika dia merompak harta rakyat secara senyap atau terang-terangan. Ramai pemimpin yang dari jenis ini, apabila kekuasaannya hilang orang kelilingnya juga pun ‘terbang’. Hilang tak berbayang.

Terbukti bahawa yang bersorak ketika dia berkuasa hanya mengharapkan habuan istimewa yang sebahagiannya adalah harta rakyat jelata. Namun jika pemimpin adil dan berjasa, sehingga hari dia hilang kuasa, rakyat akan terus mengingati dan mengenangnya. Sekalipun dia tidak lagi dijemput ke majlis-majlis rasmi, namun budinya tetapi tersemat di hati. Lebih penting, pemerintahan yang adil itu adalah ibadah yang agung yang bakal dibawa olehnya bertemu Allah pada hari kiamat kelak.

Dengarlah apa yang Allah ingatkan Nabi Daud tentang kekuasaan. Firman Allah: (maksudnya) “Wahai Daud, Sesungguhnya Kami telah menjadikanmu khalifah di bumi, maka berhukumlah antara manusia dengan yang benar (yang diwahyukan kepadamu); dan janganlah engkau menurut hawa nafsu, kerana yang demikian itu akan menyesatkanmu dari jalan Allah. Sesungguhnya mereka yang sesat dari jalan Allah, akan beroleh azab yang berat pada hari hitungan amal, disebabkan mereka melupakan (jalan Allah) itu” (Surah Sad: 26)

Ketegasan terhadap keadilan adalah prinsip dan syiar pemerintahan Islam. Jangan sampai seseorang pemerintah atau pemimpin menjadikan kuasa jawatannya untuk kepentingan suku sakat atau anak pinak atau sahabat handainya. Sehingga kaum keluarga atau kroninya mendapat keistimewaan apa yang tidak diperolehi oleh rakyat biasa.

Surah al-Nisa ayat 135: Wahai orang-orang yang beriman! Hendaklah kamu menjadi orang-orang yang sentiasa menegakkan keadilan, lagi menjadi saksi (yang menerangkan kebenaran) kerana Allah, sekalipun terhadap diri kamu sendiri, atau ibu bapa dan kaum kerabat kamu. Kalaulah orang (yang didakwa) itu kaya atau miskin (maka janganlah kamu terhalang daripada menjadi saksi yang memperkatakan kebenaran disebabkan kamu bertimbang rasa), kerana Allah lebih bertimbang rasa kepada keduanya. Oleh itu, janganlah kamu turutkan hawa nafsu supaya kamu tidak menyeleweng dari keadilan. Dan jika kamu memutar-balikkan keterangan ataupun enggan (daripada menjadi saksi), maka sesungguhnya Allah sentiasa Mengetahui dengan mendalam akan apa yang kamu lakukan.

Janganlah pula kebenciannya kepada sesuatu puak atau golongan menyebabkan dia tidak berlaku adil sedangkan Allah berfirman: :(maksudnya): Wahai orang-orang yang beriman, hendaklah kamu semua sentiasa menjadi orang-orang yang menegakkan keadilan kerana Allah, lagi menerangkan kebenaran; dan jangan sekali-kali kebencian kamu terhadap sesuatu kaum itu mendorong kamu kepada tidak melakukan keadilan. Hendaklah kamu berlaku adil (kepada sesiapa jua) kerana sikap adil itu lebih hampir kepada taqwa. Dan bertaqwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah Maha Mengetahui dengan mendalam akan apa yang kamu lakukan”.

Inilah impian setiap rakyat. Sebab itu maka setiap individu yang berada di bawah naungan kerajaan muslim yang sebenar merasa aman, terbela dan tidak dianayai. Namun, jika pemerintah mula campur tangan dalam sistem pelaksanaan qada’ (kehakiman) maka keadilan akan menjadi mangsa.

Inilah yang diucapkan oleh Khalifah Abu Bakr al-Siddiq apabila memegang tampok kuasa: “Wahai manusia, sesungguhnya aku telah dilantik menjadi pemimpin kamu, bukanlah aku yang terbaik di kalangan kamu. Jika aku betul, tolonglah aku. Jika aku salah, betulkanlah aku. Benar itu adalah amanah, bohong itu adalah khianat.

Orang yang lemah di kalangan kamu adalah kuat di sisi sehingga aku mengembalikan haknya. Orang yang kuat di kalangan kamu, lemah di sisiku sehingga aku mengambil daripadanya hak (menghalang apa yang bukan haknya), insya Allah. Jangan kamu meninggalkan jihad, kerana tidak ada kaum yang meninggalkan jihad, melainkan Allah timpakan mereka dengan kehinaan. Taatlah aku selagi aku taatkan Allah dan RasulNya. Jika aku derhakakan Allah dan RasulNya, maka tiada ketaatan untukku” (Ibn Athir, Al-Kamil fi al-Tarikh, 1/361). Memberikan kesaksamaan dan keadilan untuk semua adalah teras pemerintahan Islam.

Saya kurang setuju jika seseorang memikirkan yang dikatakan kerajaan Islam yang adil itu perkara pertama yang terbayang dalam kepalanya ialah memotong tangan pencuri. Walaupun nas itu ada dalam al-Quran, namun ianya hanya jalan ke arah memastikan keamanan dan ketenteraman, bukan teras asas pemerintahan.

Teras pemerintahan Islam adalah seperti firman Allah: (maksudnya): :”Sesungguhnya Allah menyuruh kamu menyampaikan amanah kepada yang berhak menerimanya dan apabila kamu berhukum di kalangan manusia maka hendaklah kamu berhukum dengan adil. Sesungguhnya Allah memberikan pengajaran yang sebaik-baiknya kepadamu. Sesungguhnya Allah adalah Maha mendengar lagi Maha melihat”. (Surah al-Nisa: 58).

Jelas dari ayat ini menegakkan keadilan di kalangan manusia, memberikan hak kepada yang berhak, amanah terhadap kuasa dan harta yang dipertanggungjawabkan, selalu mengingati Allah dalam melaksanakan kepimpinan adalah asas kerajaan Islam yang adil. Mengapakah kita suka menonjolkan hukum, bukan menonjolkan kerahmatan sistem Islam itu terlebih dahulu?.

Saya amat hiba apabila membaca kisah Khalifah Umar bin Abd al-Aziz apabila beliau dilantik menjadi khalifah. Beliau seakan terngamam dan begitu hiba. Ketika para pembesar menanti kemunculan setelah dilantik, mereka berbisik menanya anaknya, mengapa ayahnya belum keluar ke khalayak ramai. Katanya: “Ayahku sejak dilantik, beliau terus bersendirian bersolat dan menangis. Apabila ibuku masuk kepadanya, airmatanya bercucuran hingga ke janggutnya.

Apabila ditanya, dia berkata: “Wahai Fatimah! Aku telah dikalungkan urusan umat Muhammad ini yang berbagai bangsa. Maka aku terfikir tentang orang yang fakir, yang lapar, yang sakit lagi derita, orang biasa yang susah, orang yang dizalimi lagi dipaksa, tawanan perang yang dijauh, orang tua yang uzur, orang mempunyai keluarga yang ramai sedangkan wangnya sedikit dan seumpama mereka yang berada di segala tempat dan penjuru negara. Aku tahu tuhanku akan bertanya aku mengenai mereka pada hari kiamat kelak. Aku bimbang alasanku tidak cukup kukuh untuk menjawabnya, lalu aku pun menangis” (lihat: Mahmud al-Baji, Muthul ‘Ulya min Qada al-Islam, 144).

Betapalah saya hiba menterjemahkan perkataan Umar bin Abd al-Aziz ketika menulis rencana ini. Terasa kerinduan yang amat dalam untuk melihat dan memiliki kepimpinan yang penuh dengan keikhlasan seperti itu. Aduhai indahnya dunia ini, jika pemerintah jujur lagi takutkan Allah seperti. Maka terpeliharalah kebajikan rakyat dan tersebarlah keadilan untuk semua.

Tidaklah lagi kita akan terus mendengar cerita harta negara menjadi warisan keluarga atau sanak-saudara, atau sahabat setia. Bayangkanlah ungkapan ‘Umar dengan sesetengah manusia yang ketika rakyatnya sedang menderita, atau ditimpa kesusahan, dia masih lagi punyai masa bersuka ria bersama keluarga.

Jika pemimpin menangis mengenangkan nasib mereka di akhirat. Mudah-mudahan rakyat mereka akan tersenyum gembira di dunia dan mereka pula tidak akan menangis lagi pada hari akhirat kelak. Namun, jika pemimpin asyik ketawa besar di dunia sedangkan rakyat ramai yang menangis derita, pemimpin jenis ini dibimbangi akan menangis besar di hari akhirat.

Wahai para pemimpin, kami sekelian rakyat merindui keadilan, kejujuran dan kesaksamaan dalam pemerintahan kalian. Kami mempunyai hak di dunia untuk bertanya dan memintanya, juga hak di hari akhirat untuk mendakwa dan menuntutnya.

Sumber : http://drmaza.com/home/?p=196

1 comment:

Anonymous said...

Pengampu Dan Penasihat Yang Membawa Reba Dan Rebah

Kepimpinan adalah tanggungjawab dan khidmat. Kecuaian menunaikannya adalah kezaliman. Aduan rakyat dan bisikan mereka jika tidak ditangani boleh menjadi api membakar perasaan kebencian yang meluap-luap. Jika itu diterjemahkan dalam tindakan, maka kestabilan negara akan merasai padahnya.

Saya pernah menyebut dalam satu tulisan yang lepas tentang nasihat Syaiban al-Ra‘i kepada Harun al-Rasyid: “Wahai Amir al-Mukminin, andainya engkau bersahabat dengan orang yang menjadikan engkau rasa takut sehingga engkau merasa aman lebih baik dari engkau bersahabat dengan orang yang menjadi engkau rasa aman sehingga menyebabkan engkau mendapat ketakutan”. Tanya Harun al-Rasyid: “Jelaskan maksudnya untukku”.

Jawab Syaiban: “Sesiapa yang berkata kepada engkau: “engkau bertanggungjawab terhadap rakyatmu, takutlah Allah” lebih baik dari orang yang berkata “Kamu daripada kaum keluarga Nabi diampunkan dosa kamu, kamulah kerabat Nabi!”. Maka menangislah Harun al-Rasyid sehingga mereka yang berada di sekelilingnya bersimpati kepadanya.

Kata Syaiban lagi: “Wahai Amirul Mukminin, apabila saya bercakap, saya bimbangkan tindakan kamu terhadap saya. Jika saya diam, saya bimbangkan bahaya menimpa kamu. Maka saya utamakan kebimbangan bahaya menimba kamu lebih daripada kebimbangan tindakan kamu ke atas saya”. (Ibn Muflih, Al-Adab al-Syar‘iyyah, 1/198, Beirut: Muassasah al-Risalah).

Para penasihat yang jujur yang memberitahu hakikat yang sebenar, -sekalipun boleh menimbulkan keresahan- adalah lebih baik untuk seseorang pemimpin daripada pengampu yang membohonginya sehingga dia buta dengan keadaan negara dan rakyatnya. Penasihat yang jujur akan memberitahu hakikat yang sebenar tentang suasana negara, rakyat dan tanggungjawab itu semua di hadapan Allah sekalipun mungkin akan menimbulkan ketakutan kepada seorang pemimpin.

Dengan ketakutan itu, pemimpin membaiki diri dan keadaan, maka ketakutan akan bertukar menjadi kebahagiaan di dunia dan akhirat. Adapun pengampu, demi kepentingan diri, kedudukan dan harta yang diharapkan dari pemimpin, maka mereka akan mendendang lagu-lagu asyik agar pemimpin nyenyak tidur dibuai mimpi indah sehingga akhirnya ketakutan pun menjelang tiba. Hanya cerita-cerita indah sahaja yang sampaikan ke telinga pemimpin, lalu pemimpin pun gembira dan buta hakikat sebenar rakyatnya.

Saya teringatkan kisah dongeng raja telanjang yang menjadi bahan bacaan kanak-kanak. Kononnya, ada seorang raja yang gilakan pakaian yang cantik-cantik. Lalu muncul beberapa orang penipu yang kononnya boleh menghasilkan pakaian yang paling cantik untuknya. Raja pun bersetuju. Mereka meminta beberapa hari untuk menenunnya di sebuah bilik di istana. Saban malam raja tersebut melawat hasil kerja yang sedang ditenun mereka.

Namun, beliau tidak melihat sebarang benang atau kain yang terhasil, sebaliknya hanya tenunan kosong semata. Apabila raja bertanya, mereka menjawap: “jika tuanku tidak nampak, menunjukkan tuanku mempunyai penyakit yang merbahaya dan boleh membawa maut”. Dalam ketakutan raja menjawap: “Ya, saya nampak, alangkah cantiknya”.

Demikianlah juga menteri-menteri dan para pengiring raja juga mengaku perkara yang sama, kerana ingin mengampu raja. Sehingga pada hari yang dijanjikan, raja pun memakai pakaian yang tidak wujud itu dan disarungkan secara tipu oleh penenun-penenun karut tersebut. Semua pengampu raja memuji keindahan pakaian yang tidak wujud itu, padahal raja sedang bertelanjang.

Apabila raja keluar menemui rakyat, maka semua mata terbeliak dan mulut ternganga. Raja menyangka mereka kagum dengan pakaiannya yang indah. Tiba-tiba beberapa budak kecil menjerit: “Hei! Lihat! Raja kita sedang bertelanjang”. Maka semua rakyat ketawa. Barulah raja tahu bahawa dia telah ditipu oleh ‘taukeh-taukeh’ tenun dan para pengampu yang berada di kelilingnya. Namun masa telah terlambat, dia telah dimalukan di hadapan rakyat.

Walaupun cerita ini dongeng, namun janganlah ia menjadi realiti dalam dunia politik kita hari ini. Seorang pemimpin amatlah malang jika dia ditipu oleh para pengampu sehingga akhirnya dia ditertawakan oleh rakyatnya dek kesilapan yang dilakukannya. Atau dia dibenci oleh rakyatnya, kerana dia ditipu oleh para pengampu konon rakyat sentiasa puas hati dan sukakannya.

Sebab itulah, dosa para pengampu amatlah besar. Dengan nasihat yang buruk, jatuhnya kerajaan-kerajaan lampau dan akan datang. Tuan penasihat ‘dua puluh lima persen’ seperti dalam filem “Tiga Abdul” boleh menyebabkan orang yang dinasihati itu dijual secara lelong. Wahai pemimpin! Berhati-hati dengan para penasihat kalian!”.

Saya tertarik dengan perkataan Hajjaj bin Yusuf al-Thaqafi apabila Khalifah ‘Abd al-Malik bin Marwan meminta dia mensifatkan fitnah. Perkataan ‘fitnah’ seperti yang telah saya sebutkan bermaksud ketidak tenteraram, kekacauan atau hilang keamanan dan kedamaian. Kata al-Hajjaj: “Fitnah itu merebah dengan bisikan, ianya lahir dari aduan” (Ibn Muflih, Al-Adab al-Syar‘iyyah, 1/201).

Maka bisikan dan aduan rakyat bawahan janganlah dipandang ringan. Jangan pemimpin hanya akan mendengar aduan golongan koperat dan berpangkat semata. Tangisan rakyat dan tidak puas hati mereka selalu tidak sampai ke telinga seorang pemimpin jika dia hanya dikelilingi oleh manusia-manusia pengampu dan mencari kemewahan semata.

Jika seseorang ingin menjadikan jawatan kepimpinan sebagai tempat ‘makan angin’ dan santai maka dia seorang yang sangat fasik dan jahat. Pemecah amanah lagi khianat. Sabda Nabi s.a.w: “Tiada seorang pemimpin yang memimpin sepuluh orang (dan ke atas) melainkan dibawa datang pada hari kiamat dalam keadaan diikat. Tidak akan melepaskannya melainkan keadilan, atau dia akan dibinasakan oleh kezaliman” (Riwayat Ahmad, Abu Ya’la dan al-Baihaqi, dinilai sahih oleh al-Albani).

Kepimpinan adalah tanggungjawab dan khidmat. Kecuaian menunaikannya adalah kezaliman. Aduan rakyat dan bisikan mereka jika tidak ditangani boleh menjadi api membakar perasaan kebencian yang meluap-luap. Jika itu diterjemahkan dalam tindakan, maka kestabilan negara akan merasai padahnya.

Media juga janganlah memperbodohkan rakyat dan menipu para pemimpin. Jangan hanya disiarkan berita mengampu semata, sebaliknya siarkan kisah duka dan derita rakyat. Kerana, jika tiada saluran untuk mereka meluahkan rasa, maka ianya akan menjelma dalam bisikan senyap dan aduan pada bukan tempatnya. Maka api fitnah akan merebah, lalu membakar keamanan masyarakat dan negara.

Jika sesuatu isu tidak adil untuk rakyat, janganlah media membuat pembohongan dengan menyiarkan temubual insan-insan yang terpinggir dari realiti sebenar. Lalu pemimpin atasan tertipu, rakyat rasa diperbodohkan. Lantas mereka menyimpan perasaan dendam. Lalu hilang kasih-sayang antara rakyat dan pemimpin akibat perbuatan para pengampu.

Wahai pemimpin, bukalah ruang seluas-luasnya untuk setiap orang mendapatkan haknya. Mudahkanlah jalan untuk sampai kepada kebenaran tanpa gangguan dan tekanan. Jangan pula hanya yang berharta boleh menuntut hak mereka, sementara yang miskin dan susah terpaksa merintih untuk mendapatkannya. Kata Khalifah ‘Ali bin Abi Talib r.a.: “Sesungguhnya binasanya manusia terdahulu kerana mereka menghalang kebenaran sehingga ianya dibeli. Mereka membentangkan kezaliman sehingga ianya ditebus”. (Ibn Muflih, Al-Adab al-Syar‘iyyah, 1/201)

Pemerintahan yang adil adalah pemerintahan yang kerahmatannya dirasai oleh setiap lapisan rakyat. Seperti kata Muhammad bin Ka’ab al-Qurtubi apabila diminta menyifatkan keadilan pemerintah, katanya: “Jadilah engkau bapa kepada yang muda, anak kepada yang tua, saudara kepada yang sebaya. Hukumlah manusia dengan kadar kesalahan dan kemampuan mereka. Jangan engkau pukul disebabkan kemarahanmu walaupun satu pukulan, nanti engkau termasuk dalam golongan yang melampau”. (Ibn Muflih, Al-Adab al-Syar‘iyyah, 1/202).

Jangan pula pemimpin hanya jadi godfather kepada taukeh-taukeh besar yang menjadi pengampu dan tidak mengambil pusing tangisan insan-insan bawahan. Apabila anda memimpin sebuah negara, maka seluruh rakyatnya adalah di bawah tanggung jawab anda. Jika tidak jangan mengidam jawatan kepimpinan. Wujudkan saluran yang ikhlas agar suara orang bawahan sampai ke pendengaran anda. Hapuskan para pembodek yang membohongi anda sehingga garam dikatakan gula, pasir dikatakan beras, tangisan rakyat diberitakan sebagai senyuman.

Saya sentuh tajuk ini kerana saya melihat yang cuba mencari sebab kenapa rakyat menolak mereka. Sesungguhnya sebab itu tidak dapat diperolehi, jika pemberi maklumat atau penganalis itu masih lagi membodek dan pengampu. Carilah insan-insan jujur yang takutkan Allah dan selalu bercakap benar. Di situ akan terubatlah banyak luka dan cedera yang dialami.

Pemimpin apabila membiarkan rakyat yang baik dalam kesusahan, sementara golongan yang tamak lagi mengampu ‘penuh kantong’ dan kekenyangan lagi mewah, maka negara akan rosak. Penentangan terhadap pemimpin akan berlaku dari rakyat bawahan yang tertindas dan golongan tamak yang mula ‘besar kepala’.

Dengarlah apa nasihat Khalifah Mu’awiyah r.a. kepada ‘Amr bin al-As yang sedang berangkat menuju ke Mesir untuk menjadi pemimpin di sana. Kata Mu’awiyah: “Lihatlah kepada keperluan rakyat dan berusahalah untuk menunaikannya. Lihatlah kepada kemelampauan puak yang hina dan berusahalah menghapuskannya. Takutlah kepada orang baik yang lapar dan orang jahat yang kenyang. Sesungguh yang akan memberontak ialah orang baik apabila dia lapar dan orang jahat apabila dia kenyang” (Ibn Muflih, Al-Adab al-Syar‘iyyah, 1/202).

Lebih buruk lagi para pengampu ini apabila melihat seseorang pemimpin akan jatuh atau rebah, mereka akan lari mencari dahan baru untuk berpaut. Maka, pemimpin yang diampu akan menjadi raja telanjang berseorangan, sementara yang mengampu akan menyembunyikan diri di belakang atau melarikan diri dan meletak jawatan.

Maka berhati-hati wahai pemimpin dengan para pengampu anda. Seakan perangai syaitan seperti yang disebut dalam al-Quran: (maksudnya) (Sikap kaum munafik) itu samalah seperti syaitan ketika dia berkata kepada manusia: “kufurlah kamu!” setelah orang itu kufur, berkatalah syaitan kepadanya: “Sesungguhnya aku berlepas diri daripadamu, kerana sebenarnya aku takut kepada Allah, Tuhan Yang Menguasai seluruh alam!“(Surah al-Hasyr: 16).

Dalam ayat lain Allah berfirman: (maksudnya) Dan (ingatlah) ketika syaitan memperhiaskan kepada mereka perbuatan mereka (yang salah itu, untuk dipandang elok dan diteruskan), serta menghasut mereka dengan berkata: “Pada hari ini tidak ada sesiapa pun dari umat manusia Yang dapat mengalahkan kamu, dan sesungguhnya aku adalah pelindung kamu”. Maka apabila kedua-dua puak (angkatan tentera Islam dan kafir musyrik) masing-masing kelihatan (berhadapan), syaitan itu berundur ke belakang sambil berkata: “Aku berlepas diri dari kamu, kerana aku dapat melihat apa yang kamu tidak dapat melihatnya; sesungguhnya aku takut kepada Allah, dan Allah sangat berat azab seksaNya” (Surah al-Anfal: 48).

Ya Allah! Daku telah menyampaikan!!.

http://drmaza.com/home/?p=191