Sunday, December 28, 2008

Bagaimana menghadapi krisis makanan global

oleh Douglas Southgate

1 Disember 2008

Harga makanan naik melambung pada awal tahun ini tetapi telah mula turun kembali. Namun begitu Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu tetap memberi amaran bahawa dunia mungkin menghadapi satu krisis makanan yang boleh menyebabkan lebih 100 juta manusia menderita.

Bilangan penduduk dunia terus meningkat dan pendapatan mereka juga secara umumnya semakin naik. Ini menyebabkan jumlah pemakanan per kapita juga meningkat. Tetapi adakah harga makanan juga perlu terus melambung? Pertubuhan Makanan dan Pertanian Dunia (Food and Agriculture Organisation) menyatakan dalam laporan mereka baru-baru ini bahawa hampir satu bilion manusia sedang mengalami kekurangan zat makanan. Adakah mereka ini perlu terus menanggung kelaparan? Jawapannya ialah ia sama sekali perlu berlaku.

Pada separuh kedua abad ke 20, bekalan makanan jauh melebihi permintaan. Harga bijirin turun hampir 75%. Oleh kerana bijirin merupakan 60% daripada diet manusia sedunia, kita semua membayar harga yang jauh lebih rendah untuk makanan.

Kini kadar pertambahan populasi dunia telah menjadi lebih rendah tetapi permintaan terhadap makanan terus naik disebabkan pertambahan jumlah pendapatan. Menjelang 2050, permintaan terhadap makanan mungkin meningkat antara 60% hingga 100%. Maka jika kita tidak mempertingkatkan produktiviti per hektar tanah pertanian, harga makanan pasti akan naik.

Peningkatan global permintaan makanan yang dialami sekarang bukanlah sesuatu yang mengejutkan. Ketua Pengarah Pertubuhan Makanan dan Pertanian Dunia, Jacques Diouf, berkata “Ia boleh dijangka, malahan kita telah pun menjangkanya. Masalah ini sebenarnya boleh dielak tetapi dunia gagal mengelaknya.”

Tetapi tidak betul jika kita menyalahkan “dunia”. Yang salah sebenarnya ialah kerajaan-kerajaan di negara-negara tertentu, terutamanya kerajaan negara-negara termiskin. Mereka meletakkan pelbagai halangan perdagangan yang menyukarkan pergerakkan makanan di peringkat antarabangsa. Inilah yang menyebabkan harga makanan terus tinggi.

Hanya 15% perdagangan negara-negara Afrika berlaku dalam benua Afrika sendiri. Tarif yang dikenakan oleh negara-negara termiskin terhadap perdagangan barang makanan secara umumnya lebih tinggi daripada tarif yang dikenakan oleh negara maju. Di selatan gurun Sahara, purata tarif yang dikenakan terhadap barangan import pertanian ialah 33.6%. Regulasi yang berlebihan, birokrasi, kelewatan di sekatan kastam, dan rasuah semuanya menyebabkan situasi menjadi lebih buruk.

Halangan-halangan ini menyebabkan kos pengeluaran makanan menjadi lebih tinggi, dan pengeluar domestik akhirnya tidak bermotivasi untuk bertindakbalas memenuhi peningkatan permintaan.

Ukraine merupakan contoh yang baik. Negara tersebut mempunyai potensi pertanian yang amat tinggi tetapi potensi itu tidak diterokai. Jika petani Ukraine menggunakan teknik pertanian yang lebih efektif dan juga menggunakan teknologi seperti baja yang sesuai, mereka boleh mempertingkat hasil hampir dua kali ganda. Ini akan membolehkan Ukraine mengeksport sekitar 50 ke 80 juta tan lagi bijirin setiap tahun. Jumlah ini cukup untuk membekalkan makanan kepada 50 juta rakyat di negara China. Jika kita gunakan India sebagai contoh pula, oleh kerana kadar pemakan bijirin di India adalah lebih rendah, jumlah tersebut cukup untuk menjadi makanan bagi 100 juta manusia.

Ukraine sebenarnya merupakan sebuah negara pertanian yang baik. Ia pernah menjadi negara utama dalam bidang pertanian pada pertengahan 1880-an. Ukraine juga pernah menjadi pembekal utama makanan bagi seluruh Soviet Union, dan kini ia terus menjadi negara pengeksport makanan walaupun pernah dirosakkan oleh rejim komunis. Masalahnya, kuota eksport dan lain-lain campurtangan kerajaan untuk memastikan harga domestik kekal rendah telah menghapuskan insentif untuk para petani menjadi lebih produktif.

Argentina juga menghadapi masalah yang hampir sama. Sekiranya jumlah tanah pertanian dipertingkatkan daripada sembilan juta hektar kepada 15 juta hektar, Argentina boleh menghasilkan 30 juta tan bijirin lagi. Ini cukup untuk memberi makanan kepada 30 juta rakyat China atau 60 juta rakyat India.

Tetapi di Argentina juga kadar pengeluaran makanan diganggu oleh campurtangan politik. Kerajaan Christina Fernandez telah meneruskan polisi yang diperkenalkan oleh pentadbiran sebelumnya, dan berusaha memastikan harga makanan terus rendah tanpa mempedulikan kos sebenar. Pada bulan Mac lalu, cukai eksport beberapa barang makanantelah dinaikkan. Kacang soya, satu barangan eksort utama, kini dikenakan cukai 45%. Polisi sebegini menyebabkan pertanian menjadi tidak popular, dan jumlah tanah pertanian yang dicucuk tuai terus turun sejak awal 1960-an.

Usaha untuk menjadi mampu diri (self-sufficient) telah menyebabkan banyak negara kini menghadapi masalah, terutamanya negara-negara yang sebenarnya mempunyai potensi tinggi seperti Argentina dan Ukraine.

Nigeria, Senegal dan Malawi juga terus menerus mahu menjadi mampu diri. Dan banyak negara termiskin di kawasan sub-Sahara beriya-iya mengisytiharkan bahawa mereka telah mencapai status mampu diri, dan boleh menjamin sekuriti makanan. Akibatnya, kadar konsumpsi makanan per kapita di rantau tersebut berada di tahap yang membimbangkan.

Kerajaan di negara-negara sebegitu mahu harga makanan terus rendah. Tetapi mereka tidak menyedari bahawa sekatan perdagangan dan eksport, serta polisi percukaian, boleh menyebabkan petani hilang motivasi untuk menjadi lebih produktif. Akibatnya, harga makanan sedunia terus naik.

Banyak negara telah tersalah langkah dalam bertindak balas untuk menghadapi krisis makanan. Hampir 30 negara telah memperkenalkan sekatan eksport atau pengharaman terus eksport. Ini menjadikan harga makanan melambung.

Cara yang lebih baik ialah dengan menggalakan perdagangan makanan secara bebas dan membolehkan para petani menggunakan kepakaran dan kemahiran mereka dengan sepenuhnya.

---
Douglas Southgate, penulis tamu di www.WauBebas.org, ialah Profesor Pertanian, Alam Sekitar dan Ekonomi Pembangunan di Ohio State University, Amerika Syarikat.

No comments: