Saturday, July 12, 2008

Dunia rosak sebab zionis dan penjajah

Oleh Dato' Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang

SEMUA di kalangan kita menyedari bahawa dunia Islam terletak dalam kedudukan yang strategik di peta dunia.

Negara-negara umat Islam kaya dengan hasil bumi semulajadi yang turut sama memberi sumbangan kepada seluruh dunia. Umat Islam bertebaran di seluruh dunia sama ada di Timur atau Barat.

Mereka merupakan tenaga manusia yang memikul amanah dakwah agama Islam, yang mengajak kepada keamanan , keadilan dan persaudaraan antara sesama manusia.

Tenaga kerja umat Islam pula dapat menjana tenaga kerja mahir dalam pasaran global yang luas. Umat Islam juga merupakan umat yang mampu membangunkan tamadun manusia dan mentajdidkannya. Namun kesan dan pengaruh penjajah masih lagi utuh dan teguh.

Situasi ini menghalang usaha murni untuk membangunkan aspek kerohanian dan material umat Islam itu sendiri apatah lagi untuk mambangunkan manusia keseluruhannya supaya mereka menjadi umat yang disebut oleh Allah sebagai umat yang terbaik.

Marilah kita menyedari bahawa Orde baru dunia hari ini adalah merupakan hasil dan cetusan strategi penjajah yang bertujuan untuk membendung kebangkitan Islam dan seterusnya menyekat umat Islam daripada kembali kepada ajaran agama Islam yang menjadi punca keagungan kita.

Negara-negara umat Islam hari ini tidak mempunyai kebebasan dalam menyusun hal ehwal ekonomi, pentadbiran, pendidikan dan media. Mereka masih dibelenggu oleh peraturan yang ditetapkan oleh penjajah. Namun pada masa ini peraturan-peraturan penjajah itu dilaksanakan oleh anak bangsa kita yang menerajui sistem pemerintahan dan mereka bercakap dengan bahasa kita.

Dalam masa yang sama, gerakan Islam yang berjuang untuk membebaskan umat ini daripada cengkaman penjajah terpaksa berdepan dengan berbagai halangan dan rintangan sama ada dari dalam atau luar.

Sekalipun mereka bergerak dengan cara aman seperti menggunakan kaedah demokrasi, kebebasan hak asasi manusia, keadilan dan berbagai syiar yang dimomokkan oleh order baru pada masa ini, gerakan Islam masih dihalang daripada menegakkan syiar-syiar tersebut kecuali dengan syarat mengubah Islam atau mengenepikan asas-asas keimanan dan akhlak sebagaimana yang dikehendaki oleh mereka.

Jika kita mengimbau sejarah umat Islam, kita dapati umat Islam telah berjaya memberikan sumbangan yang besar kepada umat manusia khususnya di zaman keagungan Islam. Islam telah mengemukakan sistem yang terbaik dalam menguruskan sumber manusia sama ada dalam pembentukan individu, sistem pemerintahan, pengurusan ekonomi dan sebagainya.

Islam juga berjaya memberikan definisi yang jelas mengenai nilai-nilai baik, keadilan, persaudaraan antara sesama manusia dan hak-hak asasi kemanusiaan. Dari sudut yang lain Islam juga berjaya meletakkan manusia sebagai hamba yang mengabdikan diri kepada Allah dan menjadi khalifah Allah di atas muka bumi ini.

Antara keistimewaan Islam adalah kesesuaiannya dengan fitrah dan naluri semula jadi manusia. Oleh itu al-Quran memberikan petunjuk kepada manusia sama ada melalui peraturan-peraturannya atau kisah-kisah yang dipaparkan supaya ia menjadi panduan kepada manusia dalam semua urusan mereka.

Islam merupakan agama yang paling sempurna mengatasi segala idealogi dan pemikiran yang dijadikan asas kepada order baru dunia hari ini. Kepincangan dan kelemahan idealogi manusia ini boleh mengancam keamanan dan kestabilan dunia sehingga tersebarnya gejala-gejala buruk dalam masyarakat dan negara. Manusia diancam kebuluran dan ketakutan sehingga akhirnya boleh membawa kepada kemusnahan dan kehancuran.

Kami mengucapkan ribuan terima kasih kepada saudara-saudara kita di Turki yang telah menganjurkan muktamar tahunan yang menghimpunkan seluruh persatuan-persatuan dan gerakan Islam di seluruh dunia.

Muktamar ini diharap akan dapat menyatukan saf perjuangan umat Islam. Saya juga berharap semoga muktamar ini akan dapat menyelaraskan kerja-kerja ini dengan lebih baik dan teratur supaya kita akan berjaya memimpin umat ini untuk mencapai objektif yang diharapkan dan menyelamatkan umat manusia daripada agama yang menyimpang serta idealogi yang merosakkan.

Mudah-mudahan usaha ini akan menyebabkan kita berjaya menjulang tinggi agama Islam yang mulia ini sekalipun ia dibenci oleh orang yang kufur.

Islam sebagai agama yang syumul dan global memerlukan kita bersikap positif dalam menangani isu-isu berkaitan dengan politik, keamanan, ekonomi, akhlak, alam sekitar dan sebagainya.

Sungguhpun gerakan Islam disekat daripada bergerak secara bebas kita masih boleh berdepan secara aman dalam negara yang demokrasi.

Dari sudut yang lain, kita juga tidak akan berdiam diri terhadap sebarang bentuk kezaliman yang dilakukan secara terang-terangan bagi menghalang kemenangan kita di setiap tempat.

Begitu juga kezaliman yang menyekat kemajuan kita dalam bidang sains dan teknologi serta paksaan untuk kita patuh dan tunduk dalam usaha untuk menjajah bumi umat Islam dan menghalang hak-hak kita untuk hidup.

Dalam perayaan memperingati pembukaan kota Istanbul oleh orang-orang Turki yang keluar dari Asia Tengah dengan dipimpin oleh Muhammad al-Fatih r.h. mengingatkan kita kembali bahawa Islam akan memuliakan mereka yang berpegang dengan ajarannya.

Sebagaimana Allah telah memuliakan masyarakat Arab yang keluar dari tengah padang pasir dan berjaya menewaskan dua kuasa besar dunia pada masa itu iaitu Rom dan Parsi.

Mereka berjaya memimpin dunia setelah mereka berpegang kepada ajaran Islam. Kita juga akan berjaya memulihkan dunia yang telah dirosakkan oleh golongan Zionis dan penjajah moden ini jika kita kembali kepada Islam kerana kita berada di atas landasan yang benar.

Kebenaran akan terus kekal dan akan mendapat pertolongan daripada Allah SWT Mereka membuat perancangan-perancangan jahat mereka sedang Allah juga merancang untuk mereka dan ingatlah bahawa Allah tidak akan menyalahi janji kepada para rasul-Nya dan Allah Maha Perkasa lagi Maha Bertindak.

3 comments:

abe MIE 'TERJAH' said...

http://pkrpasdap.blogspot.com

kat malaysia kawan kepada zionis ialah anwar ibrahim.

kalau dia kawn dan sahabat rapat dengan zionis, matlamatnya satu-untuk menghancurkan keamanan negara islam

KADAYAN BANTING said...

Salam, just singgah melawat

KADAYAN BANTING said...

Salam, just singgah melawat