Tuesday, June 17, 2008

RENCANA - Minda Lestari : Fahami ilmu untuk kehidupan lebih lestari

Bersama Prof Dr Zaini Ujang
PETER Senge dikenali sebagai pencetus gagasan organisasi pembelajaran (learning organization). Menerusi bukunya The Fifth Discipline, Senge mengutarakan gagasan yang menjadi satu kriteria organisasi utama cemerlang dan berdaya maju pada awal 1990-an. Beberapa buku Senge selepas itu berlegar di sekitar organisasi pembelajaran yang digunakan dengan meluas di serata dunia untuk meningkatkan kesedaran organisasi dalam pelbagai sektor, termasuklah sektor pembuatan dan perkhidmatan untuk menghayati konsep pembelajaran berterusan dan sepanjang hayat. Tema yang dikemukakan Senge begitu menarik dan segar dengan idea untuk meningkatkan keupayaan menggarap perkembangan ilmu dan menjana daya saing organisasi. Sumbangan Senge – sarjana ilmu pengurusan oraganisasi dari Institut Teknologi Massachutes (MIT) – menjadi satu ciri terpenting dalam ekonomi berasaskan pengetahuan menghadapi dunia tanpa sempadan.
Itulah faktor membuatkan edisi awal The Fifth Discipline dicetak berulang kali menjangkau jutaan naskhah, sebelum disusuli edisi terkini terbitan 2006. Beberapa minggu lalu, Senge muncul kembali dengan buku dan gagasan baru. Kali ini bersama pembantunya, Bryan Smith, Nina Kruschwitz, Joe Laur dan Sara Schley, menghasilkan buku berjudul The Necessary Revolution: How Individuals and Organizations are Working Together to Create a Sustainable World (2008). Buku setebal 406 halaman itu mempunyai keistimewaan dan merit tersendiri. Buku itu agak istimewa kerana Senge adalah tokoh ilmu yang semakin memahami betapa ekosistem dan pelestarian alam sekitar adalah isu besar yang perlu ditangani segera menerusi pendekatan 'revolusi'. Hal ini tidak terbatas kepada pemikir dan tokoh ilmu seperti Senge, malah turut membabitkan tokoh korporat seperti Anita Roddick (Body Shop), Bill Gates (Microsoft) dan Ingvar Kampard (Ikea).
Tokoh politik – sama ada atas komitmen peribadi atau sekadar terpaksa akur dengan perubahan trend masyarakat – turut sama dengan pelbagai inisiatif dan langkah proaktif. Terkini pada minggu lalu, Presiden Indonesia, Susilo Bambang Yudhoyono dan Perdana Menteri Australia, Kevin Rudd menandatangani kerjasama mengenai perkongsian inisiaitif karbon-hutan untuk mengurangkan pelepasan gas karbon dalam industri pembalakan. Ramai akur, seperti pengakuan Senge, bahawa dunia semakin tenat. Sisa industri, buangan bandar dan pelepasan bahan cemar ke udara menyebabkan pencemaran semakin berleluasa. Hal ini dipersulitkan dengan kerapuhan sistem ekologi yang sepatutnya berupaya untuk menampung pelepasan sisa dan buangan aktiviti 'pembangunan'. Kerapuhan ini disebabkan kemusnahan teras sistem ekologi seperti kepupusan hutan, perubahan sistem tabii sesebuah sungai dan sistem saliran sehingga tidak mampu lagi menyerap limpahan sisa dan proses urbanisasi menjadi fenomena yang semakin tidak terkawal. Lebih menyayat lagi, pelepasan gas karbon terutama karbon dioksida meningkatkan suhu bumi. Laporan Stern 2006 menjelaskan jika tidak ada perubahan drastik terhadap paradigma pembangunan dilaksanakan, maka dunia terpaksa menanggung kos penyelesaian bencana akibat peningkatan suhu bumi pada dekad akan datang melebihi kos (dalam bentuk GDP) akibat Perang Dunia Kedua! Senge mengemukakan tiga prinsip untuk dilaksanakan segera bagi membolehkan kehidupan dunia lebih lestari, iaitu:
Perancangan dan pelaksanaan berasaskan pembangunan lestari.
Tindakan tidak lagi boleh diserahkan kepada kesedaran dan komitmen individu atau kelompok berkepentingan saja.
Perubahan perlu dilakukan dengan kaedah dan pemikiran baru. Pembangunan lestari bermakna pembangunan tanpa menjejaskan sumber dan keperluan generasi akan datang. Dengan kata lain, penyelesaian kepada apa juga masalah semasa – daripada krisis makanan, peningkatan harga bahan api fosil, pengangkutan, urbanisasi sehinggalah pendidikan – perlulah dirumus menggunakan pendekatan lestari menerusi pengurangan tapak ekologi atau analisis kitaran hayat. Agenda dan tindakan dirumuskan itu perlu didukung bersama, sama ada dalam bentuk organisasi atau komuniti. Menurut Senge, kita tidak boleh lagi mengharapkan komitmen individu secara sukarela untuk melakukan perubahan besar kerana skala perubahan diperlukan untuk melestarikan dunia memerlukan inisiatif revolusi pada peringkat global dan sistemik. Itulah rasional perubahan itu perlu dilakukan dengan paradigma, kaedah dan asas pemikiran baru. Menurut Einstein, kita tidak boleh menyelesaikan sesuatu masalah menggunakan kaedah pemikiran sama sehingga menghasilkan masalah itu. Untuk menangani masalah ini, Senge mengemukakan kaedah 'pemikiran sistem' (system thinking). Kaedah ini bermula dengan analisis masalah dari perspektif global, sistemik dan bersepadu. Untuk menangani krisis kenaikan harga bahan api misalnya, kita tidak boleh terikat dengan jenis bahan api hampir serupa. Jika itulah kaedahnya maka terhasil rumusan bahawa penyelesaian ialah penjanaan lebih banyak bahan api mesra alam, seperti biodiesel. Realitinya biodiesel adalah salah satu sebab utama berlakunya krisis makanan ketika ini akibat pengurangan tanah pertanian untuk menghasilkan makanan. Selain itu, proses penjanaan biodiesel juga menghasilkan gas karbon ke ruang atmosfera. Pemikiran sistem juga tidak terikat dengan kepakaran melulu dan cuma satu dimensi. Untuk mengatasi masalah pencemaran sungai misalnya, kita tidak boleh hanya bergantung kepakaran jurutera saliran saja. Memang kepakaran mereka diperlukan tetapi kaedah penyelesaian berasaskan kejuruteraan saliran semata-mata menjurus kepada aspek kuantiti dan kualiti air sungai. Menerusi kaedah pemikiran sistem, kita memerlukan 'pemikir sistem' yang boleh melihat keseluruhan dimensi ekosistem sungai – air, tanah, atmosfera, urbanisasi, industrialisasi, perundangan, polisi, kewangan, perdagangan, sosial, politik dan agama – untuk merumuskan agenda penyelesaian. Kemudian disokong pelbagai kepakaran yang diperlukan dalam satu acuan penyelesaian, tanpa terikat kepada sempadan birokrasi dan disiplin ilmu. Saya bersetuju dengan Senge bahawa kaedah penyelesaian kepada pelbagai masalah ekosistem ketika ini semakin sulit kerana kita terlalu terikat dengan pengkhususan ilmu, kepakaran 'profesional', teknologi dan kerenah birokrasi yang tidak dicerna secara bersepadu. Ini menyebabkan cara berfikir disempitkan sehingga menghalang kita memahami masalah dari perspektif sebenar. Saya teruja dengan The Necessary Revolution. Gagasan Senge kali ini bukan saja mengajar kita supaya berfikir lebih mantap dan bersepadu, malah mengingatkan kita bahawa sesebuah organisasi atau individu perlu bersedia untuk belajar dan terus belajar bagi memahami persekitaran yang semakin rencam, walaupun terpaksa memahami disiplin ilmu baru untuk terus berdaya saing.
Prof Datuk Ir Dr Zaini Ujang ialah Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) Universiti Teknologi Malaysia dan ahli Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN).

RENCANA : Politik Berteraskan Idea

Oleh ABIDIN MUHRIZ
DENGAN meningkatnya seruan ke arah pembaharuan dalam negara, sekarang telah tiba masanya untuk kita meneliti satu elemen penting dalam demokrasi yang ma- tang, iaitu ideologi.
Media antarabangsa sering memberi gambaran seolah-olah Pilihan Raya Umum ke-12 (PRU-12) yang lalu merupakan pertarungan politik antara Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dan Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Jarang sekali terdapat liputan yang mendalam mengenai parti-parti yang mereka pimpin.
Jika ada, Barisan Nasional biasanya dikatakan sebagai gabungan parti berasaskan bangsa manakala pembangkang pula sebagai gabungan 'pelik' sebuah parti pelbagai kaum dengan sebuah parti sosialis dan sebuah lagi parti Islamik.
Dominasi keperibadian tokoh-tokoh tertentu menggambarkan betapa kita masih bergantung kepada pemimpin tersebut dalam membuat keputusan.
Nampaknya kita masih belum memilih pemimpin berdasarkan penilaian kita terhadap idea dan polisi mereka.
Di negara seperti United Kingdom, telah menjadi kebiasaan untuk pengundi kekal dalam sesebuah parti meskipun pemimpin parti tersebut tidak sealiran dengan kefahaman mereka.
Di Malaysia, keahlian dalam sesebuah parti banyak dipengaruhi oleh faktor kepercayaan terhadap pemimpin.
Contoh nyata yang boleh dilihat ialah penubuhan Parti Melayu Semangat 46 oleh Tengku Razaleigh Hamzah, Parti Keadilan oleh penyokong Anwar dan Parti MIUP oleh Datuk Nallakaruppan.
Terkini Tun Dr. Mahathir Mohamad mengisytiharkan keluar daripada UMNO dan mengajak ahli-ahli lain mengikut langkah beliau.
Tetapi setakat ini seruan Dr. Mahathir nampaknya masih belum disambut dan lebih ramai yang mahu memperbaiki UMNO dari dalam. Ini membuka ruang untuk berlakunya pembaharuan ideologi dalam parti tersebut.
UMNO ditubuhkan untuk membolehkan orang Melayu memimpin bangsa Melayu, demi kebaikan bangsa sendiri dalam kerangka Barisan Nasional.
Tetapi selepas PRU-12 para penganalisis hampir sepakat menyatakan bahawa UMNO hanya akan mengundang malang sekiranya mereka kembali kepada sifat perkauman Melayu yang berlebihan.
Maka, ke mana arah UMNO selepas ini?
Penggunaan istilah 'kiri' dan 'kanan' jarang kedengaran dalam politik Malaysia.
Tetapi, mungkin kita boleh mengatakan bahawa golongan kiri di Malaysia merangkumi parti DAP yang merupakan ahli Pergerakan Sosialis Antarabangsa dan juga kelompok dominan dalam Parti Keadilan Rakyat.
FahamanDalam PAS juga terdapat elemen kiri yang agak berpengaruh. Tetapi, kelompok konservatif juga cukup kuat dalam PAS dan mereka sering dilabel sebagai berfahaman kanan, seiring dengan UMNO yang memperjuangkan fahaman etnik-kebangsaan.
Berdasarkan logik ini, peristiwa menghunus keris dan juga seruan ke arah pemerintahan berdasarkan syariah mungkin boleh disatukan sebagai fahaman ultra- kanan.
Terdapat dua lagi sebab kenapa UMNO biasanya dikatakan beraliran kanan. Pertama, parti tersebut asalnya dipenuhi oleh kumpulan elit Melayu.
Diasaskan di istana, dan dipimpin oleh seorang putera raja, UMNO pada peringkat awal dipimpin oleh golongan aristokrat Melayu pro-British yang berjaya merundingkan kemerdekaan negara kita.
Evolusi yang dilalui oleh UMNO kemudiannya menjadikan ia sebuah parti yang menghasilkan golongan Melayu kelas pertengahan (middle-class), walaupun ada yang kaya kerana korupsi, kronisme dan nepotisme.
Faktor kedua yang menyebabkan UMNO biasanya dilabelkan sebagai parti kanan adalah lebih mudah difahami.
UMNO memimpin BN mengalahkan komunis, maka secara logik mudahnya mana-mana parti yang menentang parti komunis yang beraliran kiri mestilah dengan sendirinya beraliran kanan.
Tetapi, dalam zaman globalisasi ini, perkara-perkara di atas tidak cukup untuk membolehkan mana-mana parti dilabel sebagai beraliran kanan di Malaysia.
Parti Konservatif British atau Parti Liberal Demokrat Jepun dikenali sebagai parti kanan-pertengahan (centre-right) bukan kerana fahaman etnik-kebangsaan atau latar belakang ahli parti-parti tersebut.
Sebaliknya, mereka diiktiraf sebagai pertengahan kanan hasil daripada falsafah po- litik mereka yang mendokong liberalisasi ekonomi, sistem pasaran terbuka, institusi keluarga, dan juga masyarakat sivil.
Ringkasnya, falsafah pertengahan kanan menuntut agar bidang kuasa kerajaan dihadkan.
Berdasarkan piawaian ini, parti-parti berteraskan etnik dalam Barisan Nasional termasuk UMNO tidak boleh dilihat sebagai beraliran kanan.
Pada masa yang sama, walaupun terdapat beberapa parti yang dengan jelas mengaku beraliran kiri, terutamanya DAP, terdapat juga beberapa polisi mereka yang cenderung ke arah kanan.
MengurangkanContohnya, Bajet Alternatif DAP 2008 dan Agenda Ekonomi Malaysia PKR turut mengandungi usaha mengurangkan campur tangan kerajaan dalam sistem ekonomi dan sistem harga, serta juga mendokong sistem pasaran yang lebih terbuka. Ini sebenarnya elemen penting dalam fahaman liberalisme klasik yang memacu perjuangan banyak parti-parti berhaluan kanan di seluruh dunia.
Begitu juga dengan seruan untuk pemerkasaan institusi parlimen, kehakiman, kebebasan akhbar, federalisme dan pembanterasan rasuah.
Semua ini sebenarnya konsisten dengan seruan golongan kanan untuk mempertahankan kebebasan individu dan juga evolusi kuasa.
Tetapi, mungkin sahaja dalam proses memperbaiki parti, UMNO akan lebih mampu menjuarai agenda fahaman kanan manakala parti-parti dalam Pakatan Rakyat akan disekat oleh kehendak golongan sosialis kiri yang menuntut campur tangan kerajaan dalam pelbagai perkara.
Masih terlalu awal untuk kita menjangka apa sebenarnya yang akan berlaku di masa hadapan.
PRU-12 menyaksikan kemenangan wakil-wakil rakyat dari kalangan generasi muda yang pernah terlibat dengan parti politik luar negara yang mempunyai falsafah politik yang lebih jelas.
Saya harap pengalaman luar negara golongan muda ini akan membolehkan mereka menghargai kepelbagaian fahaman yang timbul selepas PRU-12.
Sejak Merdeka, negara kita bukan hanya sebuah negara berbilang kaum.
Malahan, negara kita merupakan sebuah persekutuan negeri-negeri berdaulat, yang terbina hasil pertemuan golongan tua dan muda, kampung dan bandar, kaya dan miskin.
Lebih penting lagi, negara kita sebenarnya terbina atas satu aspirasi yang dikongsi bersama, iaitu pembentukan sebuah negara Malaysia untuk seluruh rakyat Malaysia berteraskan prinsip Bersekutu Bertambah Mutu.
Jalan terbaik untuk mencapai aspirasi tersebut ialah dengan memastikan sistem politik negara kita adalah berteraskan prinsip-prinsip dan idea yang jelas.

RENCANA : Miskin Mangsa Pasaran Ekonomi Kapitalis

Oleh RAHISAM RAMLI
ISU yang menyentuh dasar agihan yang adil untuk membasmi kemiskinan wujud semula ketika pelbagai subsidi dikembalikan kepada rakyat di negara ini. Keprihatinan pihak-pihak tertentu secara umumnya menggambarkan beberapa persoalan yang masih kabur tentang mekanisme pengagihan untuk membasmi kemiskinan oleh kerajaan.
Lantaran kerana kenaikan harga minyak global, subsidi sangat memberi makna kepada golongan berpendapatan rendah apatah lagi kepada mereka yang terjerumus ke dalam kancah kemiskinan.
Ini bukan soal tidak berterima kasih de- ngan rebat tunai yang diberi oleh kerajaan tetapi lebih menjurus kepada jaminan bahawa tiada siapa yang akan terpinggir daripada pembangunan ekonomi yang selalu dilihat memihak kepada golongan kaya.
Golongan miskin yang biasanya berpendidikan rendah terpaksa menerima kenyataan bahawa isu global memburukkan lagi kesempitan hidup mereka.
Mereka juga tidak berkemampuan dari segi kemahiran untuk menambah pendapatan isi rumah.
Kekurangan ilmu pengetahuan mengakibatkan kesukaran untuk berfikiran kreatif atau mencari mencari kaedah bagaimana meningkatkan pendapatan harian.
Dalam masa yang sama hampir saban hari media massa mendedahkan kemelut kenaikan harga komoditi. Di sana sini media membongkar keluhan dan keperitan orang awam menanggung kenaikan harga hampir semua jenis barang keperluan. Begitu juga dengan tiba-tiba terdapat juga kekurangan bekalan barangan makanan yang memaksa para pengusaha membeli dengan harga mahal daripada biasa.
Alasan streotaip yang sangat dangkal ialah apabila mengatakan semua harga barang telah naik jadi mereka terpaksa ikut pasaran.
Ketika ini juga begitu banyak kaedah untuk berjimat menghiasi akhbar menyebabkan kaedahnya menjadi isu lapuk ketika ini.
Soalnya siapakah yang perlu berjimat? Golongan kaya atau si miskin yang sering kali menjadi mangsa pasaran ekonomi kapitalis.
Dalam ajaran Islam soal menjaga kebajikan, memastikan golongan miskin mendapat hak dalam kemewahan bukan perbincangan kelas kedua atau sekadar agih semata-mata.
Tetapi mereka juga seiring dan berhak mendapat apa sahaja rebat atau subsidi dalam pelbagai bentuk. Rasulullah SAW dan para sahabat baginda telah menunjukkan bagaimana mereka meletakkan keutamaan kepada golongan miskin sebagai barisan hadapan untuk menikmati agihan kekayaan negara.
Sistem ekonomi Islam sebenarnya menjadi halangan spekulator untuk mengubah persepsi menjaga kebajikan sebagai kelas kedua dalam tingkat membawa kemajuan negara.
Adakah spekulasi menjadi faktor kenaikan harga barangan dan perkhidmatan semata-mata? Mungkin kita tidak pernah kedengaran bahawa spekulasi juga mampu menurunkan harga barangan di pasaran.
Alasan paling popular ketika pengumuman kenaikan seperti kekurangan bekalan di pasaran, permintaan meningkat dengan mendadak menjadi bahan mainan yang menjerat golongan miskin.
Maka perlunya peranan kerajaan menyerap perbelanjaan negara dengan mengurangkan subsidi bagi komoditi tertentu tetapi menanggung pula beban subsidi yang lain.
Sekarang isunya bukan lagi berkisar kepada jumlah kenaikan harga petrol tetapi lebih tertumpu berapakah kenaikan bantuan bakal dinikmati oleh golongan berpendapatan rendah dan miskin.
KestabilanMaka institusi yang memfokuskan pemberian bantuan kebajikan harus berupaya mengenal pasti kelicikan pasaran ekonomi terbuka yang dicanang oleh Amerika Syarikat untuk menggugat kestabilan hidup di negara-negara Islam.
Apapun spekulasi yang bakal dicipta pada masa akan datang ia sangat menuntut persediaan institusi kebajikan untuk turut serta mengenalpasti kaedah jangka masa panjang dengan pemberian bantuan yang mampu mengeluarkan kesempitan hidup golongan miskin.
Dari sudut lain pasaran ekonomi terbuka adalah satu bentuk penjajahan untuk membinasakan sesebuah kerajaan dan menjajah negara.
Bukan sekadar untuk mengaut untung tetapi menjadi alat menguasai negara yang tidak tunduk dengan sistem kapitalis yang benci dengan unsur-unsur kebajikan dan menjaga moral rakyatnya.
Kita boleh membuat andaian berikut sekiranya gagal memastikan mekanisme agihan yang adil untuk golongan miskin:
l Kadar kemiskinan di seluruh negeri akan meningkat.
l Kuasa beli rakyat semakin berkurangan manakala para peniaga tidak mampu meraih keuntungan.
l Kerajaan akan mengalami kekuarangan hasil pendapatan melalui cukai pendapatan dan perniagaan.
l Beban kerajaan dalam memberikan subsidi semakin meningkat.
l Jurang perbezaan pendapatan individu semakin meluas.
Sistem Ekonomi Islam mempunyai ciri-ciri mengutamakan kesejahteraan seluruh komuniti. Kemiskinan adalah satu perkara yang sangat kompleks, bersifat multi dimensi dan menjadi sebahagian daripada aspek pembangunan manusia.
Disebabkan itu dasar kerajaan yang mempunyai objektif membasmi kemiskinan harus jelas serta praktikal.
Selepas ini jangan pula kita terus terkejut dengan isu kenaikan harga komoditi global kerana inilah rupa sebenar dasar langit terbuka yang menjadi sistem kapital.
Namun begitu kita tidak boleh sentiasa bersikap selesa dengan keadaan agihan yang sekadar bersifat sementara sahaja.
Islam tidak sekali-kali menganggap golongan miskin sebagai liabiliti tetapi jika mengabaikan mereka adalah satu tanggungjawab yang akan dipersoalkan oleh Allah SWT di akhirat kelak

Monday, June 16, 2008

KENAIKAN HARGA MINYAK JEJAS USAHA BASMI KEMISKINAN KATA PENGANALISIS

Bagi golongan miskin, kenaikan harga bahan bakar baru-baru ini memberi pukulan hebat terhadap kehidupan mereka. Sejak setahun lepas, mereka terpaksa bergelut untuk hidup akibat kenaikan kos makanan.
Oleh Noor Hayati Muda, Bernama
Beberapa pakar ekonomi berpendapat kenaikan mendadak harga bahan bakar kebelakangan ini, boleh menjejaskan sasaran kerajaan untuk menghapuskan sepenuhnya kemiskinan tegar di negara ini menjelang 2010.Mereka yakin kenaikan harga bahan itu sebanyak 40 peratus seperti yang diumumkan baru-baru ini berikutan kenaikan mendadak harga minyak dunia, pasti memberi kesan yang tidak menggembirakan terhadap rancangan itu.April lepas, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Tan Sri Amirsham A. Aziz berkata beliau yakin kerajaan akan berjaya mencapai sasarannya untuk menghapuskan kemiskinan, walaupun harga minyak dunia terus meningkat.Bagaimanapun, sesetengah ahli ekonomi mempamerkan sikap kurang yakin mereka terhadap prospek itu dengan memberi alasan bahawa berdasarkan kuasa membeli yang ada sekarang, lebih banyak rakyat Malaysia sebenarnya boleh dianggap tergolong dalam kelompok "miskin".Ahli ekonomi kanan Bank Islam Malaysia Azrul Azwar Ahmad Tajudin berkata andaian ini dibuat berdasarkan kuasa membeli dalam kalangan rakyat yang kini menurun dengan begitu ketara berikutan pelaksanaan langkah penyusunan semula subsidi bahan bakar."Seperti sebelum ini, kenaikan harga bahan bakar akan menyebabkan harga semua benda lain turut meningkat, daripada makanan, hinggalah kepada barang keperluan, termasuk perkhidmatan."Bagi golongan miskin, kenaikan harga bahan bakar baru-baru ini memberi pukulan hebat terhadap kehidupan mereka. Sejak setahun lepas, mereka terpaksa bergelut untuk hidup akibat kenaikan kos makanan. Kini, mereka menerima satu lagi pukulan apabila harga bahan bakar melonjak, sedangkan pendapatan mereka tidak bertambah," katanya.Sambil mengkategorikan isi rumah yang berpendapatan kurang RM1,500 sebulan sebagai keluarga miskin, Azrul Azwar berkata sebelum ini, kumpulan berkenaan membelanjakan 40 hingga 50 peratus daripada pendapatan mereka untuk membeli makanan dan apabila harga bahan bakar meningkat sekarang, mereka terpaksa mengikat perut bagi memenuhui keperluan lain.Oleh itu, kata beliau, kaedah yang digunakan sekarang bagi menentukan garis kemiskinan, perlu disemak semula kerana ia tidak mencerminkan hakikat sebenar."Saya rasa pendapatan yang dikategorikan sebagai garis kemiskinan sekarang tidak relevan dengan kos sara hidup yang meningkat hari demi hari. Bagi saya, ia sepatutnya jauh lebih tingi, mungkin sekitar RM1,500 sebulan," katanya.Berdasarkan pengiraan 2005, garis kemiskinan bagi seluruh negara ialah pendapatan bulanan sebanyak RM691, manakala bagi semenanjung pula jumlahnya ialah RM661, Sabah (RM888) dan Sarawak (RM765). Pengiraan ini adalah bagi keluarga yang mempunyai lima anggota.Bagi meringankan beban golongan ini, Azrul Azwar mencadangkan agar kerajaan memperuntukkan sebahagian daripada RM2 bilion yang diperoleh melalui langkah berjimat-cermat yang diumumnya baru-baru ini, untuk diagihkan kepada golongan terbabit."Bukan bantuan dalam bentuk wang. Sebaliknya kerajaan perlu mengenal pasti siapakah yang tergolong dalam kumpulan ini dan membantu mereka dalam bentuk lain," katanya.Bagaimanapun, beliau berpendapat langkah yang diambil kerajaan pada masa ini berada di landasan yang betul ke arah meringankan beban rakyat.Penolong Naib Presiden Jualan Institusi Alliance Investment Bank Shahrul Kamal Ramli, yang sependapat dengan Azrul Anwar bahawa semakin banyak rakyat Malaysia akan tergolong sebagai golongan miskin berikutan kenaikan harga bahan bakar, berkata rakyat negara ini sepatutnya diberi peluang berkongsi kekayaan yang dinikmati oleh syarikat berkaitan kerajaan (GLC).Sambil menyifatkan pengguna sebagai "peserta kecil" dalam sebuah konsortium besar, iaitu negara, beliau berkata seperti pemegang saham dalam syarikat senaraian awam, rakyat negara ini juga sepatutnya dibayar dividen berdasarkan keuntungan yang diraih oleh syarikat itu."Maksud saya ialah GLC yang kebanyakannya dimiliki secara penuh atau sebahagiannya oleh kerajaan seperti Petronas, Tenaga, patut memberi bonus tunai kepada rakyat."Tahukah anda bahawa di Singapura, kerajaan membayar bonus kepada rakyatnya?Tahun lepas, setiap daripada mereka menerima sekitar S$700 atau RM1,800," kata beliau.Menjelaskan rasional cadanganya itu, Shahrul Kamal berkata walaupun kenaikan harga setiap liter petrol sebanyak 78 sen dan diesel sebanyak RM1 menjejaskan semua orang, tetapi golongan miskinlah yang paling teruk menerima akibatnya."Mari kita lihat begini... seorang ada RM1 dan seorang lagi RM100. Tambahan perbelanjaan sebanyak 20 sen bagi orang yang ada RM100 sudah tentu tidak seberapa kesannya, berbanding orang yang hanya ada RM1," kata beliau.Beliau berkata wang yang diberi secara tunai sebagai ganti bagi subsidi bahan bakar, tidak memberi manfaat kepada semua orang yang memerlukan bantuan kerana hanya mereka yang memiliki kenderaan, layak menerimanya."Bagaimana dengan mereka yang tidak memiliki kenderaan dan bergantung sepenuhnya pada pengangkutan awam? Mereka tidak layak menerima rebet itu, sedangkan kenaikan harga bahan bakar memberi kesan yang pelbagai dan kumpulan ini juga menerima akibatnya kerana harga semua barang akan turut meningkat," kata beliau.Shahrul Kamal juga mempertikaikan keberkesanan sesetengah langkah yang dilaksanakan kerajaan seperti kad fleet, yang pada pandangan beliau, boleh disalahgunakan.Beliau berkata kerajaan masih boleh memberi subsidi bahan bakar yang "selesa" kepada rakyat jika kuantum keuntungan Petrons yang diperuntukkan bagi tujuan subsidi, dikira berdasarkan harga pasaran global."Pada masa ini, kerajaan belum menjelaskan formula yang digunakannya dalam mengira peratusan yang diberi oleh Petronas daripada keuntungannya. Mereka hanya beritahu kita jumlahnya."Dalam hal ini, saya mencadangkan, mungkin kerajaan boleh menimbang menggunakan satu kuantum berdasarkan harga pasaran. Contohnya, kalau harganya AS$40 setong, mungkin Petronas patut bayar 40 peratus dan jika lebih AS$80, mereka bayar 75 peratus. Saya yakin, jika ini dilakukan seperti yang sewajarnya, rakyat masih boleh menikmati harga bahan bakar yang tidak membebankan mereka," katanya.Namun demikian, Shahrul Kamal berkata rakyat tidak patut menyalahkan kerajaan tentang keadaan yang wujud sekarang kerana harga bahan bakar dunia tidk boleh dikawal hingga menyebabkannya naik ke paras yang tidak pernah berlaku sebelum ini."Kini, harga minyak mencapai paras paling tinggi dan keadaan ini berpunca, antara lain, daripada peningkatan permintaan daripada ekonomi baru menonjol seperti China dan India. Tapi, perlu diingat bahawa ada faktor lain yang turut menjadi puncanya, termasuk kenaikan kos mencari gali minyak," katanya.Shahrul Kamal bagaimanapun berkata beliau kecewa kerana kerajaan tidak menjelaskan perkara itu dalam bahasa yang mudah difahami oleh orang ramai.Bekas Dekan Fakulti Sastera dan Sains Sosial Universiti Malaya Prof Datuk Dr Zainal Kling pula berkata sebarang bantuan yang diberi kepada rakyat oleh kerajaan perlu berpusat pada tiga aspek iaitu makanan, pengangkutan dan perkhidmatan, termasuk kesihatan."Tiga aspek ini sangat penting bagi golongan miskin kerana mereka memerlukannya untuk meneruskan kehidupan. Oleh itu, kerajaan perlu mencari jalan bagi memastikan kumpulan sasaran ini menerima manfaatnya secara langsung," kata beliau.Bagaimanapun, kata beliau, kesulitan yang dihadapi rakyat Malaysia sekarang bukan berpunca daripada kesilapan kerajaan."Kita telah menikmati kemewahan sejak sekian lama dan kini kita baru merasai sedikit kesulitan. Namun demikian, kerajaan tidak mengabaikan kita, malah berusaha sedaya upaya bagi meringankan beban kita," katanya.

BICARA AGAMA : Amanah Allah Satu Tanggungjawab

DAN (ingatlah) ketika Tuhanmu berfirman kepada malaikat: "Sesungguhnya Aku hendak menjadikan seorang khalifah di bumi." Mereka bertanya (tentang hikmat ketetapan Tuhan itu dengan berkata): "Adakah engkau (Ya Tuhan Kami) hendak menjadikan di bumi itu orang yang akan membuat bencana dan menumpahkan darah (berbunuh-bunuhan), padahal kami sentiasa bertasbih dengan memuji-Mu dan mensucikan-Mu?" Tuhan berfirman: "Sesungguhnya Aku mengetahui akan apa yang kamu tidak mengetahuinya. (al-Baqarah: 30)
HuraianAyat ini menjelaskan bahawa Allah SWT mahu menyerahkan kepada makhluk yang baru diciptakan (dilahirkan) ke dunia ini menerajui kepimpinan untuk mentadbir dan memimpin di bumi ciptaan-Nya. Tugas menjadi pemimpin ini bukanlah suatu tugas yang mudah tetapi Allah SWT Maha Mengetahui bahawa manusia mampu memikul tugas yang dipertanggungjawabkan ini.
Sebagai khalifah Allah yang telah menerima amanah, tugas dan tanggungjawab, seseorang itu wajib menunaikan amanah dan tanggungjawab mereka di dunia ini. Bagi seorang guru, tugas mereka memberi pelajaran dan pendidikan kepada murid-muridnya. Oleh itu, selagi murid-murid itu berada di sekolah, maka guru-guru yang akan mengambil peranan sebagai pendidik. Para guru hendaklah memberi pelajaran dan pendidikan yang sempurna mengikut tanggungjawab sebagai guru.
Begitu pula bagi kakitangan awam yang lain. Tugas hakiki yang mesti diselesaikan bermula dari pagi berlarutan hingga ke petang. Mereka mesti amanah dalam bekerja. Masa bekerja hendaklah dilaksanakan tugas dan tanggungjawab tersebut.
Tepatilah masa, patuhilah arahan dan peraturan di tempat kerja. Mereka tidak boleh sewenang-sewenangnya ponteng kerja, keluar makan minum sesuka hati kerana ini merupakan perkara yang menyalahi peraturan. Oleh itu, kita hendaklah sentiasa ingat tanggungjawab dan amanah sebagai khalifah Allah di dunia ini.
KesimpulanMenjadi pemimpin merupakan tugas yang mudah, tetapi melaksanakan tugas sebagai pemimpin yang telah diamanahkan Allah dengan pelbagai tanggungjawab, itu amat berat untuk dilaksanakan dengan betul. Menerima, menjaga dan melaksanakan amanah ini perlu dilaksanakan dengan sungguh-sungguh kerana tugas ini amat berat dan akan dipersoal oleh Allah SWT di akhirat kelak.
Disediakan oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim)

RENCANA : Pastikan Manfaat Si Miskin

Oleh MOHD. KHUZAIRI ISMAIL(WARTAWAN UTUSAN)

GOLONGAN miskin yang berjumlah kira-kira 30 peratus daripada keseluruhan penduduk di negara ini adalah kumpulan sasar sebenar yang seharusnya menikmati subsidi.
SABTU lalu seluruh negara diserikan dengan wajah-wajah ceria orang ramai yang berpusu-pusu mendapatkan rebat tunai daripada penstrukturan semula subsidi petrol.
Sama ada RM625 untuk pemilik kereta atau RM125 bagi motosikal, jumlah itu sangat besar nilainya dalam mengurangkan beban orang ramai di sebalik peningkatan kos sara hidup ketika ini.
Jika tidak, mana mungkin pejabat pos di seluruh negara diserbu orang ramai seawal pukul tujuh pagi sematamata untuk menuntut rebat tunai berkenaan, walaupun pembayarannya boleh dituntut dalam tempoh yang panjang.
Melihat pemberian rebat tunai itu, jika boleh dibuat kesimpulan, ia sebenarnya hanya memberi kelebihan kepada golongan menengah dan atasan, iaitu rakyat berpendapatan tinggi dan sederhana yang menjalani kehidupan sempurna sehingga mampu memiliki kenderaan.
Golongan yang berpendapatan sederhana itu walaupun tidak dinafikan ikut terjejas dengan kenaikan harga minyak, namun sebenarnya mempunyai banyak ruang untuk bertahan dengan berubah gaya hidup.
Apa yang menjadi persoalan ketika ini ialah, sejauh mana pemberian rebat tunai itu membantu golongan yang berpendapatan rendah dan penduduk yang tergolong dalam kategori miskin?
Demografi penduduk di negara ini ketika ini 30 peratusnya terdiri daripada golongan miskin.
Jumlah itu mewakili keseluruhan penduduk yang agak ramai, malah terdapat di kalangan mereka yang tinggal di bandar-bandar besar termasuk di Kuala Lumpur.
Golongan ini tidak mempunyai kenderaan sendiri, dan jika ada pun hanyalah motosikal yang sangat kecil jumlah rebat tunainya untuk dituntut.
Malangnya, mereka tidak dikecualikan daripada peningkatan kos sara hidup ekoran kenaikan petrol, bahan makanan dan perkhidmatan lain.
Maksudnya, biarpun tidak mendapat rebat tunai atau mendapat dalam jumlah yang kecil, golongan ini tetap perlu membayar harga makanan dan perkhidmatan pada kadar yang sama seperti golongan berpendapatan tinggi dan sederhana yang mendapat rebat tunai yang tinggi.
Justeru bagi golongan miskin, pemberian subsidi petrol itu sebenarnya tidak membawa sebarang makna kepada mereka.
Menilai pemberian subsidi itu, pensyarah Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan, Universiti Sains Malaysia (USM), Dr. Sivamurugan Pandian berpendapat, bantuan kepada rakyat seharusnya berbentuk kebajikan dengan perancangan jangka panjang dan bukannya bersifat sementara.
Dalam situasi ketika ini jelas beliau, subsidi tidak sewajarnya hanya tertumpu untuk mengurangkan beban kenaikan petrol semata-mata, sebaliknya perlu mengambil kira bantuan lain terutamanya yang berkait dengan perbelanjaan harian rakyat.
Golongan miskin yang tidak mempunyai kenderaan misalnya, pastinya mengharapkan satu bentuk subsidi yang boleh dinikmati secara langsung oleh mereka sebagai kumpulan yang selayaknya menerima bantuan, lebih-lebih lagi dalam meredakan keperitan yang mengikat perut mereka.
Justeru, dalam memastikan kumpulan sasaran yang wajar diberikan bantuan itu, kerajaan seharusnya mengenalpasti golongan miskin menerusi pengelasan pendapatan seperti di bawah RM1,000 sebulan bagi penduduk luar bandar dan RM2,000 bagi penduduk bandar.
Golongan itu perlu dipastikan bebas daripada menanggung perubahan perbelanjaan yang besar ekoran peningkatan harga petrol dan kos sara hidup terutamanya dalam perbelanjaan barangan makanan dan keperluan harian.
Pemberian subsidi itu juga meskipun bukan secara tunai sepenuhnya, boleh diperluaskan kepada bidang-bidang penting lain terutamanya bagi sektor pendidikan dan kesihatan dengan bantuan penuh dan maksimum.
''Malah, pemberian bantuan oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) kepada golongan miskin, warga emas, ibu tunggal dan kurang upaya (OKU) perlu dipertimbangkan untuk digandakan kerana jumlah bantuan sedia ada tidak lagi sesuai dengan kos sara hidup ketika ini," jelas beliau.
Turut berpendapat langkah kerajaan memberikan rebat tunai adalah satu langkah mengejut dengan kesan yang terhad, pensyarah Pusat Pengajian Politik dan Strategik, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof. Madya Ruhanas Harun juga menambah, ia hanya menguntungkan golongan berpendapatan sederhana dan tinggi.
Sedangkan golongan miskin katanya, tidak mendapat pembelaan sewajarnya kerana mereka dalam serba kedaifan terpaksa berdepan dengan beban kenaikan harga bahan makanan dan perkhidmatan lain seiring dengan kenaikan harga minyak.
Meskipun golongan itu mendapat bantuan daripada pihak-pihak tertentu, namun dengan jumlah yang agak terhad, ia tidak mampu membawa golongan tersebut keluar daripada desakan kos sara hidup yang turut meningkat.
Apa yang sewajarnya dilakukan dalam membantu golongan miskin ujar beliau, ialah mengenal pasti keperluan utama golongan ini bagi membolehkan mereka dibebaskan daripada kemelut kehidupan yang menyesakkan.
Mengambil contoh pemberian subsidi pendidikan misalnya, golongan miskin perlu dikecualikan daripada sebarang yuran sekolah selain diberikan bantuan buku, alat tulis, makanan dan sebagainya.
Ruhanas juga menarik perhatian bantuan yang diberikan kepada golongan miskin di Eropah yang mana pihak berkuasa tempatan (PBT) di negara berkenaan menyediakan bas sekolah percuma bagi pelajar-pelajar miskin.
''Bentuk pemberian subsidi seperti ini juga adalah antara bantuan yang boleh diberikan oleh kerajaan, sementelah kebanyakan golongan miskin di negara ini mempunyai anak yang ramai," katanya.
Seperkara yang perlu diberi perhatian oleh kerajaan dalam memastikan rakyat tidak terus terbeban dengan kos sara hidup yang tinggi tambah Ruhanas, adalah dengan memastikan harga bahan makanan dan perkhidmatan terkawal dan tidak dinaikkan sewenangwenangnya.
Sebaliknya apa yang menghairankan dan sering berlaku di negara ini sejak sekian lama, setiap kali harga minyak atau gaji pekerja meningkat, ia akan disusuli dengan kenaikan harga barangan dan perkhidmatan.
Justeru, biar sebanyak mana bantuan dan subsidi yang diberikan kerajaan dalam mengurangkan beban rakyat, ia sebenarnya tidak dapat dimanfaatkan kerana harga barangan dan perkhidmatan turut meningkat.

RENCANA : Mekanisme Ringankan Beban Rakyat Mesti Adil

CADANGAN kerajaan untuk memperkemaskan pemberian subsidi minyak kepada rakyat dengan memperkenalkan kad subsidi petrol dan diesel sememangnya banyak kewajarannya.
Ia bukan cadangan baru. Mekanisme penggunaan kad seumpama itu telah dicadangkan oleh beberapa pihak sebelum kerajaan mengumumkan kenaikan harga minyak pada 4 Jun lalu.
Sebelum tarikh tersebut juga ada yang mencadangkan supaya subsidi minyak dibayar menggunakan MyKad.
Hakikatnya mekanisme pemberian subsidi petrol dan diesel dalam bentuk tunai yang terbaru dilaksanakan Sabtu lalu menuntut kajian semula mengenainya dilakukan.
Kegagalan pemilik kenderaan mendisiplinkan diri apabila berhadapan dengan wang ringgit menyebabkan matlamat pemberian subsidi untuk meringankan beban rakyat tidak tercapai.
Wang yang sepatutnya digunakan secara berhemat lesap sekelip mata untuk tujuan yang menyimpang daripada matlamat sebenar kerajaan.
Sebab itu dalam setiap dasar yang ingin dilaksanakan oleh kerajaan, paling penting mekanismenya mesti cekap, berkesan dan adil kepada semua rakyat.
Mekanisme yang terburu-buru hanya mengundang kegagalan selain manfaatnya pula hanya terhad kepada satu golongan sasar.
Pemberian rebat kenderaan misalnya hanya dimanfaatkan oleh pemilik kenderaan sedangkan kesan kenaikan harga minyak yang membawa kepada peningkatan harga barangan serta perkhidmatan dirasai oleh semua golonan rakyat.
Ini termasuk kumpulan yang tidak memiliki kenderaan terutama mereka yang berpendapatan rendah dan terpaksa menanggung peningkatan kos hidup yang semakin tinggi.
Justeru setiap dasar yang berkaitan dengan rakyat terasnya mestilah terdiri daripada kumpulan miskin.
Ini penting supaya golongan tersebut sama-sama memperoleh faedah daripada setiap dasar kerajaan dan tidak berasa terpinggir atau terus tertekan.
Seperkara lagi, dalam menghadapi kesan krisis harga minyak, kerajaan juga perlu bersegera melaksanakan langkah-langkah yang boleh dimanfaatkan oleh semua rakyat secara terus.
Penyediaan jaringan keselamatan sosial bagi golongan miskin, ibu tunggal dan orang kurang upaya misalnya mesti diperkemaskan selaras dengan peningkatan kos hidup.
Jumlah bantuan mesti bersesuaian dengan beban yang terpaksa ditanggung oleh kumpulan tersebut bagi mengelak peningkatan kesan sosial di kalangan masyarakat.
Begitu juga dengan cadangan mengurangkan cukai pendapatan, menurunkan caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja, menambah jumlah barangan kawalan dan meningkatkan mutu pengangkutan awam.
Kesemuanya itu amat berkait rapat dengan usaha meringankan beban rakyat dan pelaksanaannya wajar disegerakan. Paling penting mekanisme yang bakal diguna pakai kelak mesti cekap, berkesan dan adil. Tempoh hampir dua minggu selepas pengumuman kenaikan harga minyak semestinya cukup untuk pihak yang berkenaan berfikir tentang mekanisme terbaik