Tuesday, June 17, 2008

RENCANA : Politik Berteraskan Idea

Oleh ABIDIN MUHRIZ
DENGAN meningkatnya seruan ke arah pembaharuan dalam negara, sekarang telah tiba masanya untuk kita meneliti satu elemen penting dalam demokrasi yang ma- tang, iaitu ideologi.
Media antarabangsa sering memberi gambaran seolah-olah Pilihan Raya Umum ke-12 (PRU-12) yang lalu merupakan pertarungan politik antara Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dan Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Jarang sekali terdapat liputan yang mendalam mengenai parti-parti yang mereka pimpin.
Jika ada, Barisan Nasional biasanya dikatakan sebagai gabungan parti berasaskan bangsa manakala pembangkang pula sebagai gabungan 'pelik' sebuah parti pelbagai kaum dengan sebuah parti sosialis dan sebuah lagi parti Islamik.
Dominasi keperibadian tokoh-tokoh tertentu menggambarkan betapa kita masih bergantung kepada pemimpin tersebut dalam membuat keputusan.
Nampaknya kita masih belum memilih pemimpin berdasarkan penilaian kita terhadap idea dan polisi mereka.
Di negara seperti United Kingdom, telah menjadi kebiasaan untuk pengundi kekal dalam sesebuah parti meskipun pemimpin parti tersebut tidak sealiran dengan kefahaman mereka.
Di Malaysia, keahlian dalam sesebuah parti banyak dipengaruhi oleh faktor kepercayaan terhadap pemimpin.
Contoh nyata yang boleh dilihat ialah penubuhan Parti Melayu Semangat 46 oleh Tengku Razaleigh Hamzah, Parti Keadilan oleh penyokong Anwar dan Parti MIUP oleh Datuk Nallakaruppan.
Terkini Tun Dr. Mahathir Mohamad mengisytiharkan keluar daripada UMNO dan mengajak ahli-ahli lain mengikut langkah beliau.
Tetapi setakat ini seruan Dr. Mahathir nampaknya masih belum disambut dan lebih ramai yang mahu memperbaiki UMNO dari dalam. Ini membuka ruang untuk berlakunya pembaharuan ideologi dalam parti tersebut.
UMNO ditubuhkan untuk membolehkan orang Melayu memimpin bangsa Melayu, demi kebaikan bangsa sendiri dalam kerangka Barisan Nasional.
Tetapi selepas PRU-12 para penganalisis hampir sepakat menyatakan bahawa UMNO hanya akan mengundang malang sekiranya mereka kembali kepada sifat perkauman Melayu yang berlebihan.
Maka, ke mana arah UMNO selepas ini?
Penggunaan istilah 'kiri' dan 'kanan' jarang kedengaran dalam politik Malaysia.
Tetapi, mungkin kita boleh mengatakan bahawa golongan kiri di Malaysia merangkumi parti DAP yang merupakan ahli Pergerakan Sosialis Antarabangsa dan juga kelompok dominan dalam Parti Keadilan Rakyat.
FahamanDalam PAS juga terdapat elemen kiri yang agak berpengaruh. Tetapi, kelompok konservatif juga cukup kuat dalam PAS dan mereka sering dilabel sebagai berfahaman kanan, seiring dengan UMNO yang memperjuangkan fahaman etnik-kebangsaan.
Berdasarkan logik ini, peristiwa menghunus keris dan juga seruan ke arah pemerintahan berdasarkan syariah mungkin boleh disatukan sebagai fahaman ultra- kanan.
Terdapat dua lagi sebab kenapa UMNO biasanya dikatakan beraliran kanan. Pertama, parti tersebut asalnya dipenuhi oleh kumpulan elit Melayu.
Diasaskan di istana, dan dipimpin oleh seorang putera raja, UMNO pada peringkat awal dipimpin oleh golongan aristokrat Melayu pro-British yang berjaya merundingkan kemerdekaan negara kita.
Evolusi yang dilalui oleh UMNO kemudiannya menjadikan ia sebuah parti yang menghasilkan golongan Melayu kelas pertengahan (middle-class), walaupun ada yang kaya kerana korupsi, kronisme dan nepotisme.
Faktor kedua yang menyebabkan UMNO biasanya dilabelkan sebagai parti kanan adalah lebih mudah difahami.
UMNO memimpin BN mengalahkan komunis, maka secara logik mudahnya mana-mana parti yang menentang parti komunis yang beraliran kiri mestilah dengan sendirinya beraliran kanan.
Tetapi, dalam zaman globalisasi ini, perkara-perkara di atas tidak cukup untuk membolehkan mana-mana parti dilabel sebagai beraliran kanan di Malaysia.
Parti Konservatif British atau Parti Liberal Demokrat Jepun dikenali sebagai parti kanan-pertengahan (centre-right) bukan kerana fahaman etnik-kebangsaan atau latar belakang ahli parti-parti tersebut.
Sebaliknya, mereka diiktiraf sebagai pertengahan kanan hasil daripada falsafah po- litik mereka yang mendokong liberalisasi ekonomi, sistem pasaran terbuka, institusi keluarga, dan juga masyarakat sivil.
Ringkasnya, falsafah pertengahan kanan menuntut agar bidang kuasa kerajaan dihadkan.
Berdasarkan piawaian ini, parti-parti berteraskan etnik dalam Barisan Nasional termasuk UMNO tidak boleh dilihat sebagai beraliran kanan.
Pada masa yang sama, walaupun terdapat beberapa parti yang dengan jelas mengaku beraliran kiri, terutamanya DAP, terdapat juga beberapa polisi mereka yang cenderung ke arah kanan.
MengurangkanContohnya, Bajet Alternatif DAP 2008 dan Agenda Ekonomi Malaysia PKR turut mengandungi usaha mengurangkan campur tangan kerajaan dalam sistem ekonomi dan sistem harga, serta juga mendokong sistem pasaran yang lebih terbuka. Ini sebenarnya elemen penting dalam fahaman liberalisme klasik yang memacu perjuangan banyak parti-parti berhaluan kanan di seluruh dunia.
Begitu juga dengan seruan untuk pemerkasaan institusi parlimen, kehakiman, kebebasan akhbar, federalisme dan pembanterasan rasuah.
Semua ini sebenarnya konsisten dengan seruan golongan kanan untuk mempertahankan kebebasan individu dan juga evolusi kuasa.
Tetapi, mungkin sahaja dalam proses memperbaiki parti, UMNO akan lebih mampu menjuarai agenda fahaman kanan manakala parti-parti dalam Pakatan Rakyat akan disekat oleh kehendak golongan sosialis kiri yang menuntut campur tangan kerajaan dalam pelbagai perkara.
Masih terlalu awal untuk kita menjangka apa sebenarnya yang akan berlaku di masa hadapan.
PRU-12 menyaksikan kemenangan wakil-wakil rakyat dari kalangan generasi muda yang pernah terlibat dengan parti politik luar negara yang mempunyai falsafah politik yang lebih jelas.
Saya harap pengalaman luar negara golongan muda ini akan membolehkan mereka menghargai kepelbagaian fahaman yang timbul selepas PRU-12.
Sejak Merdeka, negara kita bukan hanya sebuah negara berbilang kaum.
Malahan, negara kita merupakan sebuah persekutuan negeri-negeri berdaulat, yang terbina hasil pertemuan golongan tua dan muda, kampung dan bandar, kaya dan miskin.
Lebih penting lagi, negara kita sebenarnya terbina atas satu aspirasi yang dikongsi bersama, iaitu pembentukan sebuah negara Malaysia untuk seluruh rakyat Malaysia berteraskan prinsip Bersekutu Bertambah Mutu.
Jalan terbaik untuk mencapai aspirasi tersebut ialah dengan memastikan sistem politik negara kita adalah berteraskan prinsip-prinsip dan idea yang jelas.

No comments: