Tuesday, June 17, 2008

RENCANA : Miskin Mangsa Pasaran Ekonomi Kapitalis

Oleh RAHISAM RAMLI
ISU yang menyentuh dasar agihan yang adil untuk membasmi kemiskinan wujud semula ketika pelbagai subsidi dikembalikan kepada rakyat di negara ini. Keprihatinan pihak-pihak tertentu secara umumnya menggambarkan beberapa persoalan yang masih kabur tentang mekanisme pengagihan untuk membasmi kemiskinan oleh kerajaan.
Lantaran kerana kenaikan harga minyak global, subsidi sangat memberi makna kepada golongan berpendapatan rendah apatah lagi kepada mereka yang terjerumus ke dalam kancah kemiskinan.
Ini bukan soal tidak berterima kasih de- ngan rebat tunai yang diberi oleh kerajaan tetapi lebih menjurus kepada jaminan bahawa tiada siapa yang akan terpinggir daripada pembangunan ekonomi yang selalu dilihat memihak kepada golongan kaya.
Golongan miskin yang biasanya berpendidikan rendah terpaksa menerima kenyataan bahawa isu global memburukkan lagi kesempitan hidup mereka.
Mereka juga tidak berkemampuan dari segi kemahiran untuk menambah pendapatan isi rumah.
Kekurangan ilmu pengetahuan mengakibatkan kesukaran untuk berfikiran kreatif atau mencari mencari kaedah bagaimana meningkatkan pendapatan harian.
Dalam masa yang sama hampir saban hari media massa mendedahkan kemelut kenaikan harga komoditi. Di sana sini media membongkar keluhan dan keperitan orang awam menanggung kenaikan harga hampir semua jenis barang keperluan. Begitu juga dengan tiba-tiba terdapat juga kekurangan bekalan barangan makanan yang memaksa para pengusaha membeli dengan harga mahal daripada biasa.
Alasan streotaip yang sangat dangkal ialah apabila mengatakan semua harga barang telah naik jadi mereka terpaksa ikut pasaran.
Ketika ini juga begitu banyak kaedah untuk berjimat menghiasi akhbar menyebabkan kaedahnya menjadi isu lapuk ketika ini.
Soalnya siapakah yang perlu berjimat? Golongan kaya atau si miskin yang sering kali menjadi mangsa pasaran ekonomi kapitalis.
Dalam ajaran Islam soal menjaga kebajikan, memastikan golongan miskin mendapat hak dalam kemewahan bukan perbincangan kelas kedua atau sekadar agih semata-mata.
Tetapi mereka juga seiring dan berhak mendapat apa sahaja rebat atau subsidi dalam pelbagai bentuk. Rasulullah SAW dan para sahabat baginda telah menunjukkan bagaimana mereka meletakkan keutamaan kepada golongan miskin sebagai barisan hadapan untuk menikmati agihan kekayaan negara.
Sistem ekonomi Islam sebenarnya menjadi halangan spekulator untuk mengubah persepsi menjaga kebajikan sebagai kelas kedua dalam tingkat membawa kemajuan negara.
Adakah spekulasi menjadi faktor kenaikan harga barangan dan perkhidmatan semata-mata? Mungkin kita tidak pernah kedengaran bahawa spekulasi juga mampu menurunkan harga barangan di pasaran.
Alasan paling popular ketika pengumuman kenaikan seperti kekurangan bekalan di pasaran, permintaan meningkat dengan mendadak menjadi bahan mainan yang menjerat golongan miskin.
Maka perlunya peranan kerajaan menyerap perbelanjaan negara dengan mengurangkan subsidi bagi komoditi tertentu tetapi menanggung pula beban subsidi yang lain.
Sekarang isunya bukan lagi berkisar kepada jumlah kenaikan harga petrol tetapi lebih tertumpu berapakah kenaikan bantuan bakal dinikmati oleh golongan berpendapatan rendah dan miskin.
KestabilanMaka institusi yang memfokuskan pemberian bantuan kebajikan harus berupaya mengenal pasti kelicikan pasaran ekonomi terbuka yang dicanang oleh Amerika Syarikat untuk menggugat kestabilan hidup di negara-negara Islam.
Apapun spekulasi yang bakal dicipta pada masa akan datang ia sangat menuntut persediaan institusi kebajikan untuk turut serta mengenalpasti kaedah jangka masa panjang dengan pemberian bantuan yang mampu mengeluarkan kesempitan hidup golongan miskin.
Dari sudut lain pasaran ekonomi terbuka adalah satu bentuk penjajahan untuk membinasakan sesebuah kerajaan dan menjajah negara.
Bukan sekadar untuk mengaut untung tetapi menjadi alat menguasai negara yang tidak tunduk dengan sistem kapitalis yang benci dengan unsur-unsur kebajikan dan menjaga moral rakyatnya.
Kita boleh membuat andaian berikut sekiranya gagal memastikan mekanisme agihan yang adil untuk golongan miskin:
l Kadar kemiskinan di seluruh negeri akan meningkat.
l Kuasa beli rakyat semakin berkurangan manakala para peniaga tidak mampu meraih keuntungan.
l Kerajaan akan mengalami kekuarangan hasil pendapatan melalui cukai pendapatan dan perniagaan.
l Beban kerajaan dalam memberikan subsidi semakin meningkat.
l Jurang perbezaan pendapatan individu semakin meluas.
Sistem Ekonomi Islam mempunyai ciri-ciri mengutamakan kesejahteraan seluruh komuniti. Kemiskinan adalah satu perkara yang sangat kompleks, bersifat multi dimensi dan menjadi sebahagian daripada aspek pembangunan manusia.
Disebabkan itu dasar kerajaan yang mempunyai objektif membasmi kemiskinan harus jelas serta praktikal.
Selepas ini jangan pula kita terus terkejut dengan isu kenaikan harga komoditi global kerana inilah rupa sebenar dasar langit terbuka yang menjadi sistem kapital.
Namun begitu kita tidak boleh sentiasa bersikap selesa dengan keadaan agihan yang sekadar bersifat sementara sahaja.
Islam tidak sekali-kali menganggap golongan miskin sebagai liabiliti tetapi jika mengabaikan mereka adalah satu tanggungjawab yang akan dipersoalkan oleh Allah SWT di akhirat kelak

No comments: