Oleh Abdul Rahman Mahmud
DALAM dunia globalisasi, aspek ekonomi adalah langkah terpenting dalam usaha membangunkan sesebuah negara secara lestari. Oleh itu, apa saja krisis yang timbul dalam hal ekonomi akan menjejaskan misi melestarikan pembangunan. Kini, dunia sedang berhadapan dengan krisis inflasi global yang semakin meningkat. Kadar inflasi yang tinggi boleh membawa kesan buruk terhadap aktiviti ekonomi dan sosial sesebuah negara.
Kadar inflasi didorong kenaikan harga minyak di pasaran dunia kini amat sukar dibendung. Penganalisis ekonomi menjangkakan harga minyak dunia akan terus mencecah pada paras AS$200 dolar setong sehingga akhir tahun ini. Sehingga kini tiada sebarang petanda harga minyak akan turun.
Keadaan ini sekiranya tidak dibendung dengan langkah konstruktif sudah pasti akan membawa pelbagai masalah kepada keharmonian masyarakat dunia. Inflasi secara umumnya ditakrifkan sebagai kenaikan harga berterusan dalam tingkat harga umum. Harga umum bermaksud paras harga bagi keseluruhan barang dan perkhidmatan yang ada dalam sesuatu ekonomi pada sesuatu masa tertentu.
Krisis inflasi global yang berlaku kini, banyak didorong kenaikan harga minyak di pasaran dunia, sekali gus mendorong kepada kenaikan harga barang keperluan lain. Kenaikan harga barang berlaku disebabkan ada peningkatan kos pengeluaran dan pengangkutan yang amat bergantung kepada penggunaan minyak.
Masyarakat yang berpendapatan rendah di kawasan bandar dan luar bandar sudah tentu merasai keperitannya. Kenaikan harga barang keperluan akan mengurangkan kuasa membeli rakyat. Hanya mereka berpendapatan tinggi, mampu membeli barang berkualiti. Ini menyebabkan mereka yang berpendapatan rendah terpaksa memilih barang yang rendah kualitinya, sesuai dengan pendapatan mereka. Akibatnya kualiti hidup rakyat akan menurun dan keselesaan yang pernah dikecapi sebelum ini, kini seolah-olah akan berakhir.
Kenaikan inflasi secara berterusan juga amat membimbangkan kerana ia boleh menambah jumlah rakyat miskin di dunia. Seperti mana, yang pernah diungkapkan Indra Ghandi, iaitu kemiskinan adalah punca pencemaran yang paling besar.
Sebelum ini, Bank Dunia pernah menyatakan mengenai kenaikan harga makanan, dijangka menyebabkan 100 juta penduduk dunia jatuh dalam kategori kemiskinan melarat. Fenomena kenaikan harga makanan ini juga dijangka akan berlarutan sehingga 2015.
Selain itu, inflasi global juga boleh menjejaskan pembangunan dalam sektor ekonomi. Pembangunan aktiviti industri, perdagangan dan perkhidmatan akan menerima kesan langsung. Peluang pekerjaan mula menyusut dan kadar pengangguran semakin meningkat. Keadaan ini akan mendorong kepada tekanan hidup masyarakat yang dijangka membawa peningkatan terhadap gejala sosial. Tidak dapat dinafikan apa yang berlaku kini adalah impak daripada globalisasi ekonomi. Fenomena ini adalah satu ancaman besar terhadap kelestarian pembangunan sesebuah negara, wilayah dan dunia secara umumnya.
Namun timbul juga persoalan adakah konsep pembangunan lestari itu benar-benar diterapkan dalam proses pembangunan atau pun ia sekadar hiasan semata-mata. Tanpa mengira apa juga persoalannya, kita perlu melakukan ulangkaji terhadap apa yang sudah berlaku kini. Mengulangkaji dalam erti kata menilai semula impak globalisasi terhadap kelestarian pembangunan. Globalisasi bukan hanya memberikan kesan kepada ekonomi, malah mengheret masyarakat dunia ke kancah globalisasi kemiskinan.
Justeru, pembangunan lestari perlu dilihat dalam aspek menyeluruh. Elemen dalam pembangunan seperti ekonomi, sosial, budaya serta penggunaan sumber alam perlu diurus dalam ruang lingkup yang bersepadu dan bukannya dalam bentuk yang terpisah antara satu sama lain.
Strategi pembangunan lestari perlu diperkukuhkan dengan langkah berkesan untuk berhadapan dengan globalisasi. Dalam konteks negara kita, usaha mengukuhkan teras ekonomi rakyat perlu dipertingkatkan. Isu mengenai kenaikan harga barang perlu diatasi dengan cara berhikmah dengan pendekatan kelestarian.
Kebergantungan terhadap sumber asli tidak boleh diperbaharui seperti minyak perlu dikurangkan. Alternatif bagi menggunakan tenaga boleh diperbaharui seperti solar, angin, dan ombak adalah langkah bijak yang perlu diusahakan dengan serius. Langkah kerajaan untuk mengadakan Dasar Tenaga Nasional dilihat wajar dan bertepatan pada masanya.
Usaha ke arah memperluaskan industri pertanian untuk bekalan makanan dalam negara adalah suatu langkah proaktif yang amat wajar dilaksanakan. Pengeluaran bekalan makanan dalam negara dapat mengurangkan import bahan makanan daripada luar yang kini mengalami peningkatan harga kos penghantaran dan pengeluaran.
Sebarang kegiatan untuk mengeksploitasi sumber asli seperti pembalakan hutan dan perlombongan secara besar-besaran perlu disekat dan dihentikan. Atas kepentingan ekonomi, sumber alam tidak sepatutnya dijadikan mangsanya. Kos memulihkan semula akibat kerosakan adalah lebih besar daripada nilai ekonomi yang dijana daripada kegiatan itu.
Di samping itu, peranan rakyat dalam mengamalkan gaya hidup mesra alam amat dituntut. Kini perubahan sikap dan amalan terhadap perbelanjaan perlu berubah. Pembaziran ketika membeli barang, perlu dielakkan. Konsep 5R + 1C, iaitu guna semula (reuse), kurangkan (reduce), kitar semula (recycle), fikir semula (rethink), baiki semula (repair) dan kompos (composting) perlu menjadi amalan dalam kehidupan. Amalan ini seharusnya bukan sekadar dilaksanakan pada peringkat rakyat, tetapi perlu juga diserapkan dalam pentadbiran organisasi kerajaan dan swasta.
Sesungguhnya isu ekonomi adalah ancaman globalisasi yang tidak mudah dielakkan. Kesan globalisasi ekonomi sudah diterima di kebanyakan negara di dunia. Negara kita juga turut menerima tempias daripada pusaran globalisasi yang memaksa penstrukturan semula subsidi dan tambahan belanjawan kepada RM230 bilion bagi Rancangan Malaysia Kesembilan.
Dalam menghadapi globalisasi ini, strategi berkesan menerusi pengukuhan teras ekonomi rakyat, mengurangkan kebergantungan kepada pasaran global serta perubahan sikap masyarakat adalah langkah terbaik dalam meneruskan agenda membangunkan negara secara lestari.
Penulis, lulusan Sarjana Kejuruteraan Alam Sekitar dan Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Bio Proses kini bertugas sebagai Pegawai Kawalan Alam Sekitar.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment