Sunday, June 29, 2008

PROGRAM MEMBASMI KEMISKINAN : 6 Strategi baru basmi kemiskinan tegar

KUANTAN 29 Jun - Kerajaan memperkenalkan enam dasar baru bagi memperkasakan strategi pembasmian kemiskinan tegar penduduk luar bandar terutamanya dalam menghadapi beban kenaikan harga barang masa kini.

Menteri Kemajuan Wilayah dan Luar Bandar, Tan Sri Muhammad Muhd. Taib (gambar) berkata, enam strategi itu ialah penubuhan asrama sejahtera bagi menangani masalah pembelajaran anak-anak keluarga miskin tegar dan mewujudkan pejabat cawangan kementerian di setiap negeri.

Menurut beliau, kerajaan juga akan membuka Pusat Usahawan Luar Bandar (REC) yang berperanan sebagai pusat sehenti dalam membantu peniaga luar bandar mendapatkan bantuan dan khidmat nasihat.

''Kerajaan akan melaksanakan pemetaan projek infrastruktur dan kemudahan dalam lingkungan 30 kilometer dari bandar utama serta memperhebatkan projek agropolitan sebagai lonjakan mega mengeluarkan lebih ramai penduduk daripada kelompok miskin tegar," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mempengerusikan Mesyuarat Penyelarasan Bersama Exco-Exco Luar Bandar seluruh negara di Wisma Seri Pahang, di sini hari ini.

Muhammad memberitahu, strategi terakhir ialah menyelaraskan senarai penduduk miskin tegar di bawah sistem e-Kasih dan Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU).
Dalam mesyuarat itu juga, tambah beliau, pihaknya bersetuju supaya semua projek agropolitan di seluruh negara diletakkan di bawah Kementerian Kemajuan Wilayah dan Luar Bandar.

''Ini kerana, kepakaran yang sedia ada dalam kementerian ini serta agensi di bawahnya bagi memastikan matlamat pembasmian kemiskinan secara bersepadu dapat dicapai," katanya.
Menurut beliau, kesemua dasar tersebut bertujuan menangani ketidakseimbangan dan jurang pembangunan sosioekonomi antara wilayah dan kawasan luar bandar.

Bagi melaksanakan strategi tersebut, jelas beliau, pihaknya memohon peruntukan sebanyak RM3.86 bilion sebagai tambahan kepada peruntukan RM11 bilion yang disediakan dalam Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9).

Katanya, daripada RM11 bilion yang diperoleh, sebanyak 53 peratus diperuntukkan bagi penyediaan kemudahan asas seperti bekalan air, elektrik dan jalan raya.

Sehingga tahun lalu, kata beliau, sebanyak RM3.8 bilion telah dibelanjakan, manakala pada tahun ini, sejumlah RM2.4 bilion telah digunakan untuk melaksanakan pelbagai projek.

''Sabah dan Sarawak menerima peruntukan lebih tinggi berbanding negeri lain iaitu masing-masing mendapat RM2 bilion dan Sarawak RM1.9 bilion," katanya.

No comments: