Monday, June 16, 2008

RENCANA : Pastikan Manfaat Si Miskin

Oleh MOHD. KHUZAIRI ISMAIL(WARTAWAN UTUSAN)

GOLONGAN miskin yang berjumlah kira-kira 30 peratus daripada keseluruhan penduduk di negara ini adalah kumpulan sasar sebenar yang seharusnya menikmati subsidi.
SABTU lalu seluruh negara diserikan dengan wajah-wajah ceria orang ramai yang berpusu-pusu mendapatkan rebat tunai daripada penstrukturan semula subsidi petrol.
Sama ada RM625 untuk pemilik kereta atau RM125 bagi motosikal, jumlah itu sangat besar nilainya dalam mengurangkan beban orang ramai di sebalik peningkatan kos sara hidup ketika ini.
Jika tidak, mana mungkin pejabat pos di seluruh negara diserbu orang ramai seawal pukul tujuh pagi sematamata untuk menuntut rebat tunai berkenaan, walaupun pembayarannya boleh dituntut dalam tempoh yang panjang.
Melihat pemberian rebat tunai itu, jika boleh dibuat kesimpulan, ia sebenarnya hanya memberi kelebihan kepada golongan menengah dan atasan, iaitu rakyat berpendapatan tinggi dan sederhana yang menjalani kehidupan sempurna sehingga mampu memiliki kenderaan.
Golongan yang berpendapatan sederhana itu walaupun tidak dinafikan ikut terjejas dengan kenaikan harga minyak, namun sebenarnya mempunyai banyak ruang untuk bertahan dengan berubah gaya hidup.
Apa yang menjadi persoalan ketika ini ialah, sejauh mana pemberian rebat tunai itu membantu golongan yang berpendapatan rendah dan penduduk yang tergolong dalam kategori miskin?
Demografi penduduk di negara ini ketika ini 30 peratusnya terdiri daripada golongan miskin.
Jumlah itu mewakili keseluruhan penduduk yang agak ramai, malah terdapat di kalangan mereka yang tinggal di bandar-bandar besar termasuk di Kuala Lumpur.
Golongan ini tidak mempunyai kenderaan sendiri, dan jika ada pun hanyalah motosikal yang sangat kecil jumlah rebat tunainya untuk dituntut.
Malangnya, mereka tidak dikecualikan daripada peningkatan kos sara hidup ekoran kenaikan petrol, bahan makanan dan perkhidmatan lain.
Maksudnya, biarpun tidak mendapat rebat tunai atau mendapat dalam jumlah yang kecil, golongan ini tetap perlu membayar harga makanan dan perkhidmatan pada kadar yang sama seperti golongan berpendapatan tinggi dan sederhana yang mendapat rebat tunai yang tinggi.
Justeru bagi golongan miskin, pemberian subsidi petrol itu sebenarnya tidak membawa sebarang makna kepada mereka.
Menilai pemberian subsidi itu, pensyarah Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan, Universiti Sains Malaysia (USM), Dr. Sivamurugan Pandian berpendapat, bantuan kepada rakyat seharusnya berbentuk kebajikan dengan perancangan jangka panjang dan bukannya bersifat sementara.
Dalam situasi ketika ini jelas beliau, subsidi tidak sewajarnya hanya tertumpu untuk mengurangkan beban kenaikan petrol semata-mata, sebaliknya perlu mengambil kira bantuan lain terutamanya yang berkait dengan perbelanjaan harian rakyat.
Golongan miskin yang tidak mempunyai kenderaan misalnya, pastinya mengharapkan satu bentuk subsidi yang boleh dinikmati secara langsung oleh mereka sebagai kumpulan yang selayaknya menerima bantuan, lebih-lebih lagi dalam meredakan keperitan yang mengikat perut mereka.
Justeru, dalam memastikan kumpulan sasaran yang wajar diberikan bantuan itu, kerajaan seharusnya mengenalpasti golongan miskin menerusi pengelasan pendapatan seperti di bawah RM1,000 sebulan bagi penduduk luar bandar dan RM2,000 bagi penduduk bandar.
Golongan itu perlu dipastikan bebas daripada menanggung perubahan perbelanjaan yang besar ekoran peningkatan harga petrol dan kos sara hidup terutamanya dalam perbelanjaan barangan makanan dan keperluan harian.
Pemberian subsidi itu juga meskipun bukan secara tunai sepenuhnya, boleh diperluaskan kepada bidang-bidang penting lain terutamanya bagi sektor pendidikan dan kesihatan dengan bantuan penuh dan maksimum.
''Malah, pemberian bantuan oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) kepada golongan miskin, warga emas, ibu tunggal dan kurang upaya (OKU) perlu dipertimbangkan untuk digandakan kerana jumlah bantuan sedia ada tidak lagi sesuai dengan kos sara hidup ketika ini," jelas beliau.
Turut berpendapat langkah kerajaan memberikan rebat tunai adalah satu langkah mengejut dengan kesan yang terhad, pensyarah Pusat Pengajian Politik dan Strategik, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof. Madya Ruhanas Harun juga menambah, ia hanya menguntungkan golongan berpendapatan sederhana dan tinggi.
Sedangkan golongan miskin katanya, tidak mendapat pembelaan sewajarnya kerana mereka dalam serba kedaifan terpaksa berdepan dengan beban kenaikan harga bahan makanan dan perkhidmatan lain seiring dengan kenaikan harga minyak.
Meskipun golongan itu mendapat bantuan daripada pihak-pihak tertentu, namun dengan jumlah yang agak terhad, ia tidak mampu membawa golongan tersebut keluar daripada desakan kos sara hidup yang turut meningkat.
Apa yang sewajarnya dilakukan dalam membantu golongan miskin ujar beliau, ialah mengenal pasti keperluan utama golongan ini bagi membolehkan mereka dibebaskan daripada kemelut kehidupan yang menyesakkan.
Mengambil contoh pemberian subsidi pendidikan misalnya, golongan miskin perlu dikecualikan daripada sebarang yuran sekolah selain diberikan bantuan buku, alat tulis, makanan dan sebagainya.
Ruhanas juga menarik perhatian bantuan yang diberikan kepada golongan miskin di Eropah yang mana pihak berkuasa tempatan (PBT) di negara berkenaan menyediakan bas sekolah percuma bagi pelajar-pelajar miskin.
''Bentuk pemberian subsidi seperti ini juga adalah antara bantuan yang boleh diberikan oleh kerajaan, sementelah kebanyakan golongan miskin di negara ini mempunyai anak yang ramai," katanya.
Seperkara yang perlu diberi perhatian oleh kerajaan dalam memastikan rakyat tidak terus terbeban dengan kos sara hidup yang tinggi tambah Ruhanas, adalah dengan memastikan harga bahan makanan dan perkhidmatan terkawal dan tidak dinaikkan sewenangwenangnya.
Sebaliknya apa yang menghairankan dan sering berlaku di negara ini sejak sekian lama, setiap kali harga minyak atau gaji pekerja meningkat, ia akan disusuli dengan kenaikan harga barangan dan perkhidmatan.
Justeru, biar sebanyak mana bantuan dan subsidi yang diberikan kerajaan dalam mengurangkan beban rakyat, ia sebenarnya tidak dapat dimanfaatkan kerana harga barangan dan perkhidmatan turut meningkat.

No comments: