Thursday, June 19, 2008

RENCANA : Melengahkan Kebaikan Membawa Keburukan

Oleh MUHAMMAD HISYAM MOHAMAD
KHALIFAH Umar ibn Abdul Aziz (63h-101h) hanya sempat memegang tampuk pemerintahan Kerajaan Bani Ummaiyah untuk selama dua tahun setengah sahaja. Bagaimanapun dalam tempoh yang singkat, Khalifah Umar berjaya mengubah dasar pemerintahan yang bersifat kebangsaan dan perkauman kepada sebuah kerajaan yang berpaksikan nilai agama Islam yang tulen.
Rakyat pula berjaya menikmati kemakmuran ekonomi sehinggakan pada zaman pemerintahannya yang singkat itu dikatakan tiada siapa di kalangan masyarakat Islam yang layak menerima zakat.
Adalah sesuatu yang mengkagumkan kita kerana suasana kemakmuran ekonomi dan ketiadaan golongan yang layak menerima zakat wujud sedangkan pada masa yang sama Khalifah Umar mengambil beberapa langkah berbentuk percukaian yang memberi kesan langsung ke atas kedudukan kewangan negara.
Antara langkah tersebut ialah pemansuhan jizyah ke atas kaum Muslimin bukan berketurunan Arab. Langkah ini sebenarnya dibantah keras oleh para gabenornya dengan alasan apabila semakin ramai orang bukan Arab memeluk Islam, maka bilangan yang membayar jizyah akan bertambah kecil.
Memang ada kebenaran hujah gabenor-gabenor tadi kerana apabila kutipan cukai berkurangan, hasil negara akan menurun. Namun bagi Khalifah Umar, Nabi Muhammad SAW diutus sebagai pembawa petunjuk dan bukan sebagai pemungut cukai.
Justeru, matlamat utama pemerintahannya ialah untuk menegakkan syiar agama Islam dan memastikan setiap anggota masyarakat menikmati kesaksamaan dalam keadilan sosial.
Langkah yang paling penting yang dibuat oleh Khalifah Umar untuk menyelesaikan masalah penurunan hasil kerajaan ini ialah melalui penjimatan dalam pengurusan negara.
Beliau mengambil langkah memansuhkan segala jenis mahrajan (perayaan), upacara-upacara perasmian kerajaan, hadiah-hadiah kepada tetamu dan perbelanjaan-perbelanjaan yang membazir.
Dengan kata lain, kedudukan hasil pendapatan negara yang baik melalui percukaian bukanlah satu jawapan mutlak kepada kemakmuran ekonomi rakyat. Apa yang lebih penting ialah bagaimana pihak pemerintah mengurus hasil cukai dan pendapatan negara tadi untuk kepentingan rakyat.
Pengurusan hasil negara yang berhemah adalah penting. Ia sama pentingnya dengan teladan yang perlu ditunjukkan oleh pihak pemerintah dan jentera pentadbirannya sebelum mereka boleh menyarankan agar rakyat berjimat cermat.
Jadi kunci utama kepada pengurusan kewangan negara yang berhemah ialah ketelusan dan kebertanggungjawaban serta tahu keutamaan dalam menentukan ke mana hasil tadi perlu disalurkan.
Dalam membicarakan tentang ketelusan, pihak kerajaan sebenarnya mempunyai tanggungjawab untuk mendedahkan apa jua yang berlaku di dalam pentabdiran negara. Walaupun persoalan tentang ketelusan ini hanya masyhur sejak kebelakangan ini, tetapi di dalam sejarah Islam, hal ini sudah pun dititikberatkan oleh para khalifah terdahulu.
Kebanyakan kita tentu pernah mendengar kisah Khalifah Umar yang tidak pernah melakukan sebarang tugasan peribadi dengan menggunakan lampu yang dinyalakan dengan minyak kerajaan. Beliau pernah diberitakan pernah menangis selepas sembahyang selepas dilantik menjadi khalifah.
Akan tetapi tangisan beliau bukanlah suatu tangisan gembira kerana mendapat jawatan. Sebaliknya ia merupakan satu tangisan mengenangkan tanggungjawab yang perlu dipikul dan akan disoal oleh Allah SWT di akhirat kelak.
Bagi khalifah Umar, tanggungjawab yang dipikul bukan sekadar satu tanggungjawab yang bersifat terpilih. Ia meliputi tanggungjawab ke atas semua lapisan masyarakat yang ada di dalam negara Islam pada waktu tersebut.
Beliau bukan sekadar mengenangkan nasib rakyat miskin, sakit, tertindas serta mereka yang mempunyai keluarga yang besar tetapi mempunyai sumber kewangan yang sedikit, tetapi nasib banduan di dalam penjara pun tidak terlepas daripada perhatian beliau.
Semasa zaman pemerintahan beliau, tidak banyak peristiwa pembukaan yang berlaku. Tambahan pula beliau tidak banyak memberi penekanan kepada perbelanjaan ketenteraan. Sebaliknya tumpuan utamanya ialah untuk memantapkan jentera pentadbiran serta memajukan ekonomi negara. Maka tidak hairanlah perbelanjaan hasil negara lebih menjurus kepada soal kebajikan dan tujuan pendidikan.
Alangkah elok kalau para pemimpin hari ini dapat mencontohi corak peribadi dan kepimpinan yang ditunjukkan oleh Khalifah Umar ini. Jika hari ini para pemimpin negara sibuk memperkatakan tentang kepimpinan melalui teladan dan sibuk menggesa rakyat mengubah cara hidup bagi menangani masalah kenaikan harga barangan dan perkhidmatan, jadi apa salahnya mereka ini mengambil iktibar daripada cara Khalifah Umar mengurus dan mentadbir negara.
Jika hari ini soal ketelusan dan kebertanggungjawaban pihak pemerintah sering mendatangkan kemusykilan dan kesangsian di kalangan anggota masyarakat, namun kedua-dua persoalan tadi, bukanlah sesuatu yang boleh diragui dan dipertikaikan apabila kita kaitkan dengan Khalifah Ummaiyah yang terbilang ini.
Ketelusan yang ditunjukkan oleh Khalifah Umar adalah satu bentuk ketelusan yang tidak terdapat dalam diri pemerintah pada hari ini. Jika hari ini para pemerintah yang perlu telus dengan peringkat tertinggi kerajaan, namun beliau adalah telus kepada rakyat jelata. Maksudnya rakyat berpeluang untuk tahu apa yang berlaku di dalam pentadbiran beliau selain mereka mendapat maklumat yang tepat tentang sumber kewangan dan perbelanjaan beliau.
Seperkara lagi yang perlu kita renungkan ialah sesuatu kebaikan itu sebenar tidak memerlukan tempoh yang panjang untuk dilaksanakan. Kelewatan pihak pemerintah dalam melaksanakan kebaikan akan hanya menyebabkan rakyat terpaksa menunggu lama sebelum mereka dapat merasai manfaatnya.
Khalifah Umar Ibn Abdul Aziz hanya mengambil masa kurang daripada tiga tahun untuk melaksanakan pelbagai perkara kebaikan kepada rakyatnya yang terdiri daripada agama dan bangsa. Jadi adalah tidak wajar jika sesebuah kerajaan melengah-lengahkan usaha ke arah memperbaiki mutu kehidupan rakyat jelata semata-mata ingin memberi ruang kepada sesuatu yang tidak memberi masalah kepada masyarakat umum

No comments: