Oleh: Kassim Ahmad
Sejak kebelakangan ini, khasnya selepas Pilihanraya Umum ke-12, perbincangan tentang “Ketuanan Melayu” menjadi-jadi. Ini menunjukkan bahawa negara-bangsa Malaysia yang kita tubuhkan pada 31 Ogos, 1957 , atau sebenaranya pada 16 September, 1963, belum wujud di alam nyata. Ini suatu konsep, suatu idea dalam fikiran kita, yang harus dibumikan. Ia akan mengambil masa – dua atau tiga generasi sekurang-kurangnya. Umur negara-bangsa kita baru 51, atau 45 tahun.
Satu kumpulan dalam masyarakat kita menafikan kewujudan bangsa. Asabiah, yang diharamkan dalam Islam, dakwa mereka. Mereka sudah megelirukan dua konsep yang berbeza, iaitu kebangsaan, yang menjadi sunnatullah, dan perkauman yang merupakan suatu kesombongan oleh sesuatu bangsa, dan dengan itu salah. Firman Tuhan,
Wahai rakyat, Kami ciptakan kamu dari lelaki dan perempuan yang sama, dan menjadikan kamu berbagai bangsa dan berbagai kaum supaya kamu saling mengenal. Yang paling baik di antara kamu di sisi Allah ialah yang paling takwa di antara kamu. (Quran, 49: 13)
Dalam Piagam Madinah yang digubal oleh Nabi Muhammad sendiri, Perkara Pertama mengisytiharkan, “Mereka membentuk sebuah masyarakat yang berbeza dari masyarakat-masyarakat lain.”
Mereka juga mengelirukan dua perkara yang berbeza. Yang satu ialah bangsa, dan yang kedua pegangan agama. Pakaian, umpamanya, tergolong ke dalam adat sesuatu bangsa, dan berbeza dari bangsa ke bangsa. Pegangan agama tauhid itu falsafah hidup, dan tidak kena-mengena dengan bangsa.
Nyatalah kategori bangsa dan konsep negara-bangsa (patut disebut di sini bahawa negara-bangsa yang ditubuhkan di Semenanjung Arab ini negara-bangsa yang pertama di dunia, dan Piagam Madinah juga perlembagaan bertulis yang pertama di dunia.) selaras dengan hukum Tuhan. Ini nyata sekali dari kedua-dua petikan di atas. Negara-bangsa ialah tempat dan rumah sesuatu bangsa menjalankan aktiviti kehidupannya, berkembang dan maju, sambil berinteraksi dan bekerjasama dengan bangsa-bangsa lain.
Dalam perbincangan tentang tajuk “Ketuanan Melayu” ini ada tiga aliran fikiran. Pertama, aliran tradisional atau konservatif yang mepertahankan konsep ini secara dogmatik; kedua aliran liberal yang menafikan konsep ini sama sekali; dan aliran ketiga aliran pertengahan yang mengiktiraf keterikatan sejarah dengan konsep ini, tetapi yang menerima juga konsep Bangsa Malaysia mengikut acuan asas sejarah ini.
Ucapan Sultan Perak Sultan Azlan Shah ketika menerima memorandum yang diserahkan oleh gabungan Melayu Perak di Istana Iskandariah, Kuala Kangsa pada 5 November, 2008 menghuraikan perkara-perkara ini dengan jelas. (Sila lihat Utusan Malaysia, 6 November, 2008 yang menyiarkan ucapan ini sepenuhnya.)
Konsep “Ketuanan Melayu”, yang merujuk kepada kesinambungan sejarah negara-bangsa Malaysia kepada Kesultanan Melayu Melaka, telah disalah-ertikan sebagai dominasi sukubangsa Melayu ke atas suku-bangsa lain dalam Malaysia. Timbullah reaksi penentangan dari semua sukubangsa, termasuk sukubangsa Melayu sendiri, dalam Pilihanraya Umum ke-12 pada Mac, 2008. Penentangan ini menjelma dalam dasar baru Pakatan Rakyat, iaitu “Ketuanan Rakyat”.
Penentangan ini timbul dari penyelewengan pimpinan UMNO sendiri. Dari sebuah parti yang berjuang untuk mendapat kemerdekaan daripada Inggeris serta membangunakn bangsa, bersama-sama dengan MCA dan MIC, pada peringkat awal, dan kemudian dalam Barisan Nasional, dari tahun 1974, perjuangan UMNO merosot dengan UMNO menjadi sebuah parti elit yang memberi habuan kepada kroni-kroninya, sedangkan orang Melayu sendiri (dari kelas bawahan), dengan hak kepada pelbagai keistimewaan, diabaikan. Rasuah, pembaziran dan pelbagai bentuk penyelewengan berlaku. Dasar bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar ilmu diporak-perandakan. Ini semua menunjukkan bahawa semangat nasionalisme atau patriotisme pimpinan UMNO sendiri sudah hilang. Inilah masalah pokok UMNO, yang harus dibetulkan segera.
Masih ada masa untuk pembetulan ini. UMNO harus menggariskan falsafah perjuangannya dengan lebih jelas supaya ia boleh memimpin ahli-ahli UMNO dan kader-kadernya. Dengan dijelaskan falsafah perjuagnan ini, UMNO akan kembali semula kepada landasan perjuangannya yang hak, dan ia akan mendapatkan semula kepercayaan sukubangsa Melayu, dan juga sukubangsa lain. Falsafah perjuangan ini mestilah terdiri dari prinsip-prinsip nasionalisme/patriotisme Melayu/Malaysia, humanisme, demokrasi, keadilan dan internasionalisme. Jika separuh daripada 3.2 juta ahli UMNO sekarang menghayati dan bergerak di atas landasan falsafah ini, ia akan menjadi kebal. Tiada parti mana pun boleh mengalahkannya.
Di antara parti dengan Kerajaan, yang mana lebih penting? Jawabnya, partilah yang penting, kerana parti itu badan sukarela, yang lahir dan bergerak dari kesedaran perjuangan bangsa. Sedangkan Kerajaan itu alat yang digajikan untuk mentadbirkan negara mengikut dasar nasional yang dibuat oleh parti. Jadi, parti harus pimpin Kerajaan, dan bukan Kerajaan mendominasi parti, seperti sekarang.
Parti harus ditadbirkan secara demokratik. Parti membuat dasar melalui perbincangan dari atas ke bawah dan dari bawah ke atas. Proses perbincangan dan perundingan akan mengambil sedikit masa, tetapi ia akan membawa hasil yang paling baik. Semua ahli yang layak dibolehkan bertanding untuk semua jawatan dalam parti dengan seorang pencadang dan seorang penyokong. Untuk menghindar calon yang mungkin tidak bertanggungjawab, disyaratkan supaya calon dikenakan sejumlah wang pertaruhan yang tidak boleh dibayar balik. Pertandingan satu kaedah yang harus dianggap normal untuk mendapat pimpinan yang paling baik, dan tidak harus membawa kepada perpecahan.
Cawangan-cawangan UMNO di dalam bandar dan di luar bandar harus memainkan peranan pimpinan kepada rakyat dalam kawasan-kawasan mereka di dalam semua bidang, bukan setakat mengembelingkan sokongan dalam pilihanraya saja. Peranan dan tugas ini boleh menyelesaikan banyak masalah, termasuk mengubah pemikiran rakyat, yang gagal diubah selama ini.
Semua dasar perlu dilihat kembali dan diperbaiki, berdasarkan falsafah perjuangan yang kita sebut di atas. Rasuah, pembaziran dan segala bentuk penyelewengan mesti dihapuskan.
Jika UMNO dapat melakukan ini semua dalam masa setahun akan datang, ia pasti akan mencapai kejayaan yang besar pada masa akan datang, termasuk dalam Pilihan Raya Umum yang ke-13 pada 2013.
Nampaknya, sekarang ini telah timbul suatu fikiran baru bahawa parti yang beradasarkan kaum – itulah masalah politik Jika kita hapuskan parti-parti berdasarkan kaum, semua masalah akan selesai, kata mereka. Ini tidak benar. Jika parti-parti ini boleh bekerjasama dan menjalankan dasar yang baik, itulah yang akan membawa kepada kejayaan, bukan dengan menghapuskan parti yang berdasarkan kaum. Ini tidak bermakna kita tidak mengalu-alukan perkembangan ini. Kita mengalu-alukan perkembangan ini, tetapi kita harus membezakan bentuk dari dasar. Di antara dua perkara ini, dasar lebih penting.
http://kassimahmad.blogspot.com/2008/11/malaysia-tuanya-siapa-oleh-kassim-ahmad.html
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
1 comment:
Perbaiki Pemikiran Cerdik-Pandai Melayu
Kassim Ahmad
12 September, 2008
Sejak Pilihanraya Umum ke-12 apabila Barisan Nasional mengalami kekalahan di empat buah negeri kepada Pakatan Rakyat serta gagal mendapat majoriti dua-pertiga yang biasanya mereka peroleh dalam Kerajaan Pusat, kemerosotan fikiran golongan cerdik-pandai Melayu nampak ketara. Mereka seolah-olah kehilangan pemikiran rasional. Syak-wasangka dan kebencian terhadap suku-bangsa lain di negara ini menjadi-jadi. Mereka melihat musuh di mana-mana. Mereka mendakwa suku-bangsa lain sedang mempertikai hak-hak mereka serta mempertikai kedudukan agama Islam.
Perkembangan ini tidak sihat bagi suku-bangsa Melayu. Ia juga tidak sihat bagi Bangsa Malaysia yang sedang kita bina. Bangsa yang yakin terhadap dirinya tidak perlu takut dan bimbang. Keyakinan diri dan kerasionalan kita akan mempastikan kita berjaya. Kita kenalah perbaiki kecacatan ini dengan segera.
Apakah sebabnya perkara ini berlaku? Apakah kejadian ini perkara baru dalam sejarah bangsa kita? Bagaimanakah kita boleh mengatasinya?
Tidak syak lagi, kegagalan pimpinan Melayu sekarang, khasnya dalam parti orang Melayu yang terbesar, UMNO, memainkan peranan utama. Tidak terlepas dari tanggungjawab ini ialah parti politik Melayu yang kedua, PAS, yang mendakwa memperjuangkan Islam, dan juga Badan-badan Bukan Kerajaan (BBK) Melayu yang penting. Kegagalan mereka ialah memupuk dan menggalakan pemikiran yang kreatif, dinamik, rasional dan progresif dalam kumpulan cerdik-pandai Melayu.
Dengan mendakwa mereka dengan kegagalan ini, analisis kita mungkin tidak tepat, kerana UMNO dengan politik elitnya dan autoritariannya sejak dua dekad lalu tidak dapat memainkan peranan ini. Malah ia telah menyumbang kepada kemerosotan ini. Demikian juga PAS dengan pemikiran Islam konservatifnya yang hanya mahu masyarakat Islam menjadi pakturut kepada fahaman konservatif mereka. Demikian juga, pemikiran Islam arus perdana dalam masyarakat kita, tanpa pimpinan progresif yang tegas dan berani, tetap tenggelam dalam kelebur konservatisme! Jangan lupa, Islam yang datang ke Alam Melayu dalam abad-abad ke-13 hingga ke-15 ialah Islam yang sudah kalah, setelah kejatuhan kota Baghdad kepada kaum gasar, dengan fahaman mistisme mengundur diri dari dunia lebih banyak dari fahaman revolusioner mengubah dunia yang diajar oleh Islam yang asal!
Dalam keadaan ini, kita kena cari jalan keluar dengan mewujudkan pimpinan alternatif, di luar Kerajaan, dan juga di dalam sebuah Kerajaan alternatif, yang boleh meransangkan pertumbuhan cerdik-pandai Melayu dengan sifat-sifat yang telah kita sebutkan. Proses ini memang telah berjalan sejak gerakan pembaharuan Muhammad Abduh pada awal abad ke-20 lagi. Tentu ia telah dan akan terus membuahkan hasil-hasilnya, di samping aliran konservatif yang terus berkonfrontasi dengannya.
Memandang kepada sejarah, pelajaran yang kita dapat ialah keadaan silih bertukar-ganti antara pemikiran aktif dan progresif dengan pemikiran jumud dan konservatif. Syed Sheikh al-Hadi (m. 1934) dan angkatannya selepas Perang Dunia Pertama, diikuti dengan Pendeta Za’aba m. 1973), Dr. Burhanuddin Al-Helmy (m. 1969) dan Prof Dr. ZulkiflyMuhammad (m. 1969). Reaksi kepada kumpulan progresif ini ialah bangkitnya Kaum Tua dari kalangan cerdik-pandai agama Kerajaan. Pimpinan PAS yang progresif di bawah Dr. Burhanuddin, selepas itu bertukar menjadi radikal konservatif di bawah Haji Yusuf Rawa, dan seterusnya sehingga kini, ala-Iran pasca Revolusi Ayatullah Khomeini.
Apabila kita melihat panorama sejarah Kerajaan Melayu yang lebih besar (Kerajaan Melayu Pattani, Kerajaan Melayu Melaka dan Kerajaan Melayu Brunei), kita menyaksikan suatu aliran kemerosotan, tegasnya kehilangan kuasa oleh kerajaan-kerajaan Melayu ini. (Pattani dijajah oleh Thai, Melaka dijajah oleh penjajah-penjajah Eropah, dan Brunei dijajah oleh Inggeris.) Sekarang Pattani terus di bawah Kerajaan Thai, sebagian besar Kerajaan Brunei masuk menjadi Malaysia pada 16 September, 1963, Kerajaan Melaka merdeka menjadi Persekutuan Tanah Melayu dan kemudian Malaysia, dan Singapura menjadi sebuah negara asing yang merdeka.
Aliran ini (perpecahan empayar-empayar pribumi sebelum penjajahan Eropah) tidak khusus kepada Kerajaan Melayu saja. Ia berlaku kepada Empayar Uthmaniah, India, China, Indonesia, Vietnam dan Korea. Tetapi dalam kes Empayar Melayu, perpecahan ini membawa kepada terhapusnya negara-bangsa Melayu, yang kini bertukar menjadi negara-bangsa Malaysia. Peristiwa ini menjadi satu kejutan besar kepada Bangsa Melayu, yang sekarang hanya merupakan suatu komponen, walaupun penting, dalam negara-bangsa Malaysia.
Kesilapan kita ialah kesilapan pimpinan bangsa kita. Mereka membenarkan diri mereka dibeli oleh kaum penjajah dan kaum pendatang. Mereka kalah dengan rasuah – dulu dan sekarang. Seperti kata Bendahara Melak yang agung, Tun Mutahir, “Wahai emas, Tuhan bukannya engkau, tetapi kata-katamu berlaku!”
Sekarang itu sudah menjadi sejarah – hasil perbuatan kita sendiri. Kita tidak perlu tangisi sejarah. Walaupun kita berasal dari bangsa Melayu, kita juga berbangsa manusia, anak-cucu Adam, Homo sapiens! Sekarang sejarah telah mengubah kita menjadi Bangsa Malaysia. Kita, suku-bangsa Melayu mesti memainkan peranan kita yang rasional, aktif, dinamik, kreatif dan progresif untuk mentafsir dan memimpin Bangsa Malaysia yang sedang kita bina dengan rakan-rakan kita suku-bangsa Cina, India dan lain-lain, mengikut acuan yang sudah kita buat dalam Perlembagaan kita. Kita mesti ubah pandangan hidup kita dari bersifat feudal, jumud, lemah dan konsevatif menjadi bersifat aktif, dinamik, revolusioner dan kreatif. Inilah pandangan hidup tauhid Islam yang sebenar.
_____________________
Kassim Ahmad seorang penulis bebas Malaysia. Beliau boleh dihubungi di kassim03@streamyx.com Laman web beliau: http://www.kassimahmad.blogspot.com/
Post a Comment