Saturday, January 17, 2009

Persepsi Kekalahan BN di Kuala Terengganu

Kekalahan BN itu dianggap satu lagi tamparan yang diterima selepas parti tersebut kecundang di Permatang Pauh pada Ogos lalu. Ia sekaligus akan memberi modal kepada pakatan pembangkang yang disertai oleh Parti Keadilan Rakyat (PKR), DAP dan Pas untuk meneruskan misi mereka mengkhabarkan kepada rakyat bahawa BN semakin ditolak atau sudah tidak relevan lagi.

Semoga kekalahan di Kuala Terengganu akan benar-benar menginsafkan BN dan parti itu perlu melakukan 'post mortem' secara terperinci, telus dan tegas bagi memperbaiki kelemahannya. Ini kerana apa yang berlaku dalam pilihan raya kecil tersebut tidak harus dilihat sebagai 'kalah di satu kerusi sahaja' tetapi perlu dilihat dalam skop yang lebih luas dalam menghadapi pilihan raya umum akan datang.

3 comments:

Anonymous said...

Hikmah kekalahan BN di Pilihanraya Kecil Kuala Terengganu ini mungkin telah atau belum lagi menyedarkan perwakilan yang akan membawa undi ke Perhimpunan Agung Umno tidak lama lagi.

Jika perwakilan masih tidak melihat secara total punca kekalahan ini maka akan berlaku lah keputusan yang amat menyedihkan pada PRU 13 nanti. Ini jelas telah dinyatakan oleh pengundi disemua peringkat akar umbi melalui pilihanrya 12 dan pilihanraya kecil Kuala Terengganu baru baru ini.

Perasaan marah, tidak puas hati terhadap kepimpinan bahagian dan Negeri yang tidak dapat membawa masej daripada cawangan untuk sesuatu isu adalah disebabkan oleh kepimpinan peringkat ini adealah dari kelompok yang menjaga hati pemimpin yang nyata membuat salah serta menjaga jawatan yang disandang dan akan kehilangan projek jika berbuat demikian. Persoalannya adakah hanya bahagian dan negeri sahaja yang berhak menentukan keputusan-bukan dipringkat bawahan.

Kemarahan rakyat terhadap isu isu Agama, ketuanan Melayu, hak keistimewaan orang melayu yang tidak ditangani dengan sewajarnya telah menimbulkan banyak reaksi dikalangan akar umbi- Dasar yang dibuat oleh kepimpinan telah memakan diri sendiri.

Bukan setakat kepimpinan jer yg perlu diubah, akan tetapi yg perlu diubah adalah attitude dan rasuah… memang benar mungkin kepimpinan tertinggi akan berubah dalam sedikit masa lagi, tapi bagaimanakah nasib orang yang telah menjual negara dan melacurkan UMNO??? pemimpin berubah, tapi yang duk jadi penjual negara dan melacurkan UMNO masih ader lagi… orang2 yang bermasalah dengan attitude dan salah laku masih lagi berada di barisan kepimpinan UMNO.

Kepimpinan UMNO harus ingat, rakyat mahukan perubahan didalam parti, rakyat tidak mahukan kepimpinan yang tidak mempunyai hala tuju dalam mempertahankan agenda parti dan khasnya agenda mempertahankan hak hak Melayu didalam negara ini dan menyingkirkan pemimpin yang korup.

Itu pun jika UMNO masih mahu memikirkan pandangan daripada akar umbi yang tidak mahukan pemimpin yang berteraskan mencari kepentingan keluarga didalam parti, merosakkan parti dan banyak mengeluarkan kenyataan-kenyataan bohong demi menjaga reputasi diri tanpa memikirkan kesannya terhadap rakyat.

Anonymous said...

UMNO perlu beri perhatian pada isu rakya

BANYAK diperkatakan di dalam media mengenai punca kekalahan Barisan Nasional (BN) khususnya UMNO pada Pilihan Raya Kecil Parlimen Kuala Trengganu. Semuanya ada, daripada masalah membabitkan calon itu sendiri hinggalah kepada masalah dalaman UMNO Bahagian Kuala Trengganu.

Namun bagi saya, puncanya lebih daripada isu parti dan calon itu sendiri. Ia merangkumi semua perkara, termasuk keadaan ekonomi dan tindakan kerajaan negeri Trengganu sendiri selepas pilihan raya Mac lalu.

Pertama, saya amat setuju dengan pendapat bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohammad bahawa masalah utama berpunca daripada pemilihan calon. Beliau dikatakan sombong dan tidak mesra rakyat. Jika benar, maka pucuk pimpinan mestilah bertanggungjawab kerana memilih calon itu.

Bukan mudah menukar persepsi orang ramai dalam masa dua minggu walaupun beliau tersenyum sepanjang berkempen. Pengundi telah lama mengenali calon ini dan sudah tentu membuat keputusan sendiri.

Sejak awal kempen, saya sudah merasai yang BN akan menghadapi kempen yang sukar apatah lagi Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri terpaksa meminta pengundi mengundi parti dan bukan calon.

Nada percakapan itu menunjukkan BN mengakui calon tersebut menghadapi masalah persepsi. Betul atau tidak hanya pengundi yang tahu. Di situ sudah ada halangan besar bagi BN menghadapi pilihan raya itu.

Kedua, rakyat melihat kerajaan gagal mengawal harga barang berpunca daripada kenaikan harga minyak pada Jun lalu.

Walaupun harga minyak kini turun lebih rendah daripada harga sebelum kenaikan, harga barangan seperti beras, telur, ayam, ikan dan susu bayi masih lagi tinggi. Rakyat tertekan dan memberikan undi protes.

Ketiga, berita yang dibawa oleh media arus perdana terlampau berat sebelah. Liputan waktu perdana oleh sebuah stesen swasta tertumpu kepada berita calon BN sahaja dan calon parti pembangkang diburuk-burukkan. Ia menjadikan penonton meluat.

Taktik pemberitaan lapuk masih digunakan. Contohnya, sebuah cawangan Pas dibubarkan dan ahlinya masuk UMNO. Seorang wakil menyerahkan borang ahli masuk UMNO kepada Menteri Besar. Ini semua berita memperbodohkan fikiran rakyat.

Media cetak juga mesti dipersalahkan kerana menyiarkan berita berat sebelah dan sedap didengar oleh pucuk pimpinan sahaja.

Keempat, rakyat masih ingat keputusan kerajaan negeri membeli kereta Mercedes Benz untuk Exco selepas pilihan raya lalu.

Rakyat melihat wakil mereka sebagai tidak prihatin dan menggunakan duit rakyat untuk bermegah-megah semasa berkhidmat.

Saya percaya ada pengundi yang memberi undi protes kepada BN pada pilihan raya itu kerana isu tersebut. Kerajaan Selangor dan Perak akan menerima nasib yang sama pada pilihan raya umum akan datang.

Kenyataan Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohd Ali Rustam yang mengandaikan BN mungkin menang jika pengundi luar balik mengundi juga tidak tepat kerana ia adalah andaian yang tiada asas kukuh.

Ia lebih kepada kenyataan untuk menyedapkan hati tetapi akan membunuh parti. Pemimpin akan sentiasa beranggapan bahawa pengundi luar tidak balik dan itu punca kekalahan. Hakikatnya, ada isu lebih penting yang perlu diperbetulkan.

Andaian bahawa pengundi muda tidak menyokong kerajaan juga tidak berasas kerana tiada kajian mengenainya. Pengundi pertengahan umur juga ada yang tidak mengundi BN. UMNO harus memberi perhatian kepada golongan ini.

BN juga mesti berubah daripada sikap memberi bila ada pilihan raya kecil seperti menurap jalan berlubang, memberi basikal kepada murid sekolah dan memperbaiki rumah usang. Ia dilihat sebagai tidak ikhlas dan tujuannya dilihat hanya untuk memancing undi. Perkara seperti itu sepatutnya dilakukan secara berterusan.

Inilah caranya bagi BN mendekati rakyat dan hasilnya akan dinikmati pada pilihan raya umum akan datang.

Anonymous said...

Pelbagai persepsi awal dari keputusan pilihanraya kecil Kuala Terengganu.

Keputusan pilihanraya kecil Terengganu yang telah diumumkan sebentar tadi tentu membawa pelbagai persepsi atau tanggapan kepada orang ramai. Antaranya boleh disenaraikan seperti berikut:

1. Tsunami yang melanda BN masih berterusan. Rakyat semakin ghairah hendak melihat BN berada di pihak yang kalah. Sebaliknya ingin melihat Pakatan Rakyat mengambil giliran sebagai peneraju Negara.

2. Pengundi tidak suka kepada orang pilihan Pak Lah sebagai calon.

3. Kemelut politik UMNO di Terengganu antara kumpulan Idris Jusoh dan kumpulan Ahmad Said masih belum reda.

4. Sebagai tanda protes terhadap Najib yang bakal menggantikan Pak Lah sebagai PM. Atau tidak setuju dengan pelan peralihan kuasa.

5. Calon UMNO yang dipilih tidak dipersetujui oleh pihak-pihak lain yang berkepentingan dalam UMNO.

6. Selepas ini akan kedengaranlah lagu Oooo Bangau berkumandang di kalangan orang UMNO yang akan menuding jari menyalahkan orang lain atas kekalahan mereka. Najib sendiri pun dah awal-awal kata yang kekalahan itu bukan tanda yang menunjukkan orang tak suka dia jadi PM.

7. Najib tentu tak berani nak buat piliharaya umum lebih awal dari tahun 2013 bila beliau jadi PM nanti. Mesti dia rasa fobia dari kekalahan di KT ini.

8. Lepas ini ramailah kontraktor yang bergantung kepada kabel politik BN mula cemas hendak menyelamatkan diri dari kapal yang hendak tenggelam.

Saya melihat kesedaran dan kefahaman rakyat Malaysia terhadap amalan demokrasi sudah semakin meningkat. Sebahagian besar rakyat negara ini telah dapat melepasi 'persepsi lama' yang telah ditanamkan dalam pemikiran mereka oleh ahli-ahli politik yang suka mencari 'keuntungan' politik.

Sebelum ini kita biasa ditakutkan dengan label-label seperti parti pembangkang tidak ada kebolehan memerintah, jika parti pembangkang memerintah negara akan hancur dan kacau bilau, jika parti pembangkang memerintah negara akan mundur. Politik ugut dan menakut-nakutkan ini tidak sesuai lagi kepada rakyat yang semakin cerdik dan celik ini.

Rakyat juga telah banyak menuntut piliharaya yang adil, telus dan bebas. Mereka telah mempersoalkan penyalahgunaan agensi kerajaan dalam pilihanraya, undi hantu, undi pos, kebebasan media dan perkara-perkara yang tidak selaras dengan amalan demokrasi.

Ada juga hikmah disebalik PR tidak cukup undi untuk memerintah negara pada pilihanraya umum 2008 lalu. Kalau ketika itu PR dapat cukup undi, sudah tentu kelam kelibut dibuatnya, kerana PR tidak pernah menduga akan berlaku tsunami politik seperti itu.

Sekurang-kurangnya sekarang ini PR telah belajar memerintah lima negeri, dan sudah tentu mereka tidak akan menoleh kebelakang lagi.