YBM Tengku Razaleigh Hamzah
Tonggaknya ialah keyakinan
Krisis kewangan masa kini bertitik-tolak daripada keyakinan kurang rasional dan nafsu serakah yang mengembungkan gelembung spekulasi dalam bidang perumahan di Amerika Syarikat (AS). Kelemahan tadbir urus kewangan pula menjadi kancah di mana berleluasa pelbagai amalan tidak jujur kalangan oportunis. Nama-nama besar di Wall Street pun turut terpalit apabila busa harapan itu pecah berderai dan ramai yang kerugian. Ranapnya keyakinan terhadap sektor kewangan bererti pincanglah aliran kredit seantero dunia. Momok ketidakpastian membuat isi rumah menangguhkan berbelanja. Akibatnya, penggunaan pun mengecut dan para pelabur bersembunyi. Lantas berlakulah hilang keyakinan secara besar-besaran.
Gerakan melonjak dan merudum makroekonomi memang berunsurkan dan dicetuskan oleh jangkaan. Jika hilang keyakinan menjadi faktor intrinsik bagi masalah yang dihadapi, pastinya penyelesaian masalah itu mesti bermula dengan usaha memulihkan keyakinan. Namun, kita yang tengadah selepas terhantuk tentu sudah belajar bahawa keyakinan tersebut harus padu dan perlu tegak atas kesedaran tulen lagi waras mengenai prospek kita. Penelitian terhadap ekonomi global menyajikan iktibar iaitu keyakinan yang goyah, yakni yang berasaskan gunung harapan tidak rasional, hanya akan menjatuhkan kita ke dalam kancah kekecewaan serta menularkan sifat pesimis.
Sebelum kita melayani mimpi untuk mengubah realiti, terlebih dahulu kita perlu sedar serta memahaminya betul-betul. Kebenaran yang tentunya terasa pahit dan menyakitkan perlu dihadapi terlebih dahulu sebelum kita meyakini diri sendiri dan membangkitkan keinginan orang lain untuk mempercayai kita. Kini, kita di Malaysia, sudah terlewat dan tidak lagi boleh mengelak menggunakan jurus politik bersenjatakan tebu di bibir.
Ayuh kita melangkah kanan dengan kejujuran dan mengakui yang simbahan atau tempias krisis ekonomi global tetap akan mengenai kita.
Sebenarnya para pemimpin kita menjejaskan lagi kredibiliti pihak kerajaan dengan berniaga di hujung lidah demi menonjolkan realiti alternatif kepada rakyat. Memang saya faham kita tidak ingin menakutkan pasaran dan para pengundi, namun kita semua bukan lagi katak dalam bidalan lama, yang tidak ada akses kepada maklumat. Kini, hanya yang betul-betul bebal saja boleh ceria di bawah tempurungnya walhal seantero dunia sedang menangani apa yang Jeffrey Sachs sebut sebagai “ekonomi dunia yang terumbang-ambing di tubir malapetaka maha dahsyat yang belum pernah menjengah alam ini sebelumnya.” Umum tentu mengesyaki yang pemimpin yang menidakkan keseriusan krisis ini sebenarnya tiada sebarang gagasan untuk menanganinya, jauh sekali untuk mengunggulinya. Semakin punahlah kredibiliti pihak kerajaan sedangkan kredibiliti dan keyakinan kerajaan sebenarnya perumus dan kuncinya.
Negara kita berdagang dan mengeksport keluaran kita. Secara relatif, memang kita terlindung daripada hentaman gelombang pertama berupa kegagalan sistem kewangan, namun begitu, tiada jalan keluar bagi kita daripada kesan kemelesetan permintaan ekonomi global. Kerajaan serta Bank Negara berkeras mengekalkan kadar pertumbuhan kita tahun ini sebanyak 3,5%. Namun saya khuatir pencapaian sebenar mungkin jauh di bawah paras itu. Perangkaan terkini menyerlahkan aktiviti industri yang menukik manakala output perkilangan bulan November, mengecut 9.4% berbanding tempoh yang sama setahun lalu. Pencapaian bulan Disember mungkin lebih teruk. Eksport kita merosot. Lebihan imbangan pembayaran sebanyak RM26 bilion dalam suku kedua secara dramatik merudum 180 darjah menjadi defisit RM31 bilion dalam suku ketiga. Sesiapa saja yang menyaksikan pesatnya kemerosotan itu akan tertanya-tanya sama ada kita mampu selamat daripada kemelesetan. Krisis ini hanya bersifat sejagat dalam suku keempat tahun lepas namun dalam jangka masa satu suku itu saja, pengecutan melebihi 10 peratus disaksikan di kedua-dua sektor perkilangan di sini dan di Singapura. Nampaknya, para pembuat dasar Singapura lebih gusar daripada pihak kita. Mereka yang di seberang tambak mendapati bahawa keadaan sebenarnya lebih buruk daripada jangkaan mereka sesudah mereka mengisytiharkan bahawa kemelesetan sedang melanda. Walhal kita baru mula jatuh dan waktu kita akan berpijak pada dasarnya masih terlalu jauh lagi
Kalaupun kita capai pertumbuhan tiga setengah peratus, itu belum cukup untuk menampung keperluan mewujudkan jumlah pekerjaan yang cukup bagi bilangan besar warga muda yang akan menyertai tenaga kerja kita. Berdasarkan profil demografi kita serta hakikat kita sebagai pengeluar minyak, angka dasar pertumbuhan lengai kita bukan 0% tetapi lebih hampir kepada 4%.
Ertinya, kita bermasalah. Maka perlu sekali kita akui yang kita tidak berkeadaan cukup segar bugar untuk menangani masalah itu. Kelihatan seolah-olah pertumbuhan ekonomi kita yang pada dekad-dekad awalnya pesat berkembang ala keluk menanjak kini mendatar manakala sistem penyampaian awam kita semakin kaku dan beku dan mereka yang menerajui ekonomi kita sudah kekeringan ilham.
Krisis kewangan dalam konteks hala tuju pembangunan kita
Kita yang pernah tersohor sebagai pengeluar kos rendah kini terjebak dan terkapai-kapai antara hakikat lampau itu dengan kegagalan transformasi kita menjadi ekonomi berintensif pengetahuan. Krisis Ekonomi Asia tahun 1997 menamatkan era pertumbuhan tinggi kita yang berterusan selama bertahun-tahun. Sektor perkilangan kita yang menunjangi pertumbuhan pesat itu ditenggelami oleh lonjakan negara China dan India yang muncul sebagai pengeluar kos rendah ulung dengan pasaran domestik raksasa mereka.
Kita bak banduan dalam apa yang dicanangkan sebagai ‘jebak pendapatan sederhana’ . Keluaran kita tak semurah barangan para pengeluar kos rendah dan tidak semaju sehingga setara untuk bersaing dengan para pengeluar yang lebih maju lagi inovatif. Lantas kita diapit dan terawang-awang tanpa kisah ekonomi sendiri. Sebagaimana syarikat yang berjaya, ekonomi yang berjaya juga harus mempunyai kisah yang menambat perhatian, dan kita tidak punyai kisah sedemikian. Kejatuhan kos komunikasi serta kos pengangkutan menjuruskan para jurutera, pengurus dan pereka bentuk daripada negara kaya-kaya untuk mencari sinergi kerjasama dengan buruh lebih murah negara yang daif-daif demi memperoleh kelebihan dalam hal produktiviti dan kos pengeluaran. Penyejagatan pasaran buruh hanya menguntungkan negara-negara yang kaya dan yang miskin dan pada masa yang sama membekukan ekonomi negara-negara dalam jalur tengah yang tenaga kerjanya bukannya lebih pintar walhal upah dan gaji mereka tidak pula lebih murah. Ya, kita yang terjepit dalam jalur tengah itu. Para pekerja kita yang dirundung upah dan gaji yang beku dalam senario lonjakan kos kehidupan.
Menurut Bank Dunia, di Malaysia, sumbangan bidang perkhidmatan mencakup 46.2% daripada KDNK pada tahun 1987. Pada hemat anda, berapakah cakupannya pada tahun 2007? 46.4%.
Berapa agaknya kadar peningkatan upah benar para pekerja kita di antara tahun 1994 dan 2007? Sebanyak 2.6% dalam sektor domestik dan 2.8% dalam sektor eksport.
Jumlah pekerja asing tidak mahir, baik yang berdokumen sah atau sebaliknya mencakup 30-40% daripada tenaga kerja kita. Sementara itu, di kawasan Asia Timur, Malaysia satu-satunya negara di mana bilangan profesional ekspatriatnya semakin berkurang. Malaysia satu-satunya negara Asia Timur di mana kenaikan upah sektor swastanya mengekori kenaikan sektor kerajaan dan bukan sebaliknya.
Adakah kita perlu mengetahui hakikat ini setelah diberitahu pihak Bank Dunia? Selama ini, Unit Perancang Ekonomi (EPU) kita buat apa? Adakah kabinet meneliti perangkaan tersebut dan mengusahakan sesuatu? Sudahkah kita membicarakan dan memahami betul-betul hal ini di peringkat nasional?
Peningkatan pendapatan menerusi peningkatan daya pengeluaran ialah satu-satunya jalan menuju kemakmuran. Pertumbuhan tinggi berterusan negara China dijana oleh kemapanan pertumbuhan produktivitinya. Sebaliknya kegagalan kita meningkatkan daya pengeluaran dan pendapatan para pekerja dikaburkan oleh rentetan pemasukan buruh asing. Akibatnya kita bertopang atas buruh murah itu.
Pertumbuhan yang rendah
Satu lagi faktor yang mengaburkan prestasi buruk kita sepanjang sedekad nan lalu ialah hakikat betapa ekonomi dunia mengalami pengalaman terbesar dalam sejarah. Sepanjang pertumbuhan pesat yang menyaksikan purata pertumbuhan ekonomi dunia sebanyak 4.5 peratus, secara purata pencapaian kita adalah pada tahap 4 hingga 5 peratus. Sementara itu, dua negara yang paling ramai penduduk itu menikmati kadar pertumbuhan dua angka lantas melipatgandakan pendapatan per kapita. Seiringan dengan itu, dunia menyaksikan perkembangan kebajikan insaniah yang terhebat dalam sejarah dengan pelolosan beratus juta umat daripada kemelut kemiskinan. Tempoh pertumbuhan pesat itu sudah tamat dan kita terlepas kereta api.
Pabila kita meneliti kad laporan prestasi anak kita, tidakkah kita memasang harapan berdasarkan apa yang pernah kita berikan dan tahap yang mereka mampu capai. Atas perbandingan sedemikian, negara yang diberkati dengan kekayaan sumber asli dan budaya, masyarakat yang stabil serta pelbagai institusi yang bagus-bagus, kita nampak gred “GAGAL” pada kad laporan nusa kita. Kita sepatutnya melatih warga muda kita agar berdaya saing tapi sebaliknya kita mengeluarkan begitu ramai yang daif dari segi kemahiran dan sikap yang wajar bagi kerja asas apatah lagi untuk ekonomi global yang sememangnya sudah berada di dalam garis sempadan negara kita sendiri.
Setiap dekad baru memaksa kita mendapatkan ‘sebaya ekonomi’ baru yang kita jadikan mistar demi menunjukkan yang kita tidak jatuh darjah, sebab semua ‘bekas sebaya’ kita telah jauh meninggalkan kita. Kita gagal melihat betapa martabat kita telah merosot. Bukankah pada tahun 1960an kita setaraf Taiwan dan Korea, manakala dalam 1980an kita sederet dengan Singapura dan Hong Kong. Tapi kini, sebagai destinasi pelaburan pun kita sedikit ketinggalan berbanding Vietnam. Saya masih ingat tatkala dikunjungi delegasi dari Taiwan dan Hong Kong yang datang untuk belajar daripada kita.
Ketidaksamaan
Kita juga tidak dapat melegakan kegusaran sendiri dengan mengatakan kita mengorbankan pertumbuhan demi ekuiti sosial. Biarpun kerajaan sudah berdekad-dekad menjalankan pelbagai langkah pengagihan semula kekayaan, bagi Malaysia, pekali Gini, yakni pengukur standard bagi ketidaksamaan, terus melonjak. Malah di rantau ini hanya Papua New Guinea yang mengalami tahap ketidaksamaan yang lebih tinggi daripada negara kita. Agihan pendapatan kitalah yang paling tidak sama di Asia Tenggara. Jika mahu hujahkan yang ini bahana mengimbangi pertumbuhan dengan ekuiti pun, hujah itu meleset sebab kita gagal baik dalam hal pertumbuhan mahupun dari segi ekuiti.
Bagaimana boleh kita melonjak dari pendapatan pertengahan kepada pendapatan tinggi? Barisan negara yang berjaya melakukannya baru-baru ini memiliki ciri sepunya yakni mereka mengambil iktibar daripada rentetan krisis lepas-lepas. Ekonomi Korea, Taiwan, Hong Kong dan Singapura masing-masing tiada penimbal berupa sumber asli lantas setiap negara tersebut lebih terdedah kepada kemelut ekonomi berbanding Malaysia. Secara relatif, orientasi perdagangan mereka jauh lebih besar berbanding kita, maka mereka bakal lebih teruk bahana kemerosotan pesat yang melanda kini. Namun, kita sebenarnya sekadar menipu diri sendiri jika kita terus berasa selesa kononnya sebab pasaran modal kita tidak begitu terbuka seperti pasaran modal mereka yang terdedah. Masalah sebenar kita ialah kita melindungi diri sendiri daripada aktiviti pembelajaran, yang memerlukan mandat berupa perubahan perilaku atau pengetahuan secara sistematik yang berlandaskan (iktibar daripada) pengalaman yang terkumpul.
Kekebalan daripada krisis ekonomi (seandainya sesiapa memiliki ekonomi Zaman Batu, mereka pasti sentiasa kebal sepenuhnya), bukan kriteria bagi kejayaan dalam hal lonjakan pembangunan yang merupakan pembeza utama antara mereka yang unggul dan kalangan yang sekadar turut serta. Kejayaan terletak pada kemampuan organisasi kerajaan belajar dan mengubah serta menyesuaikan diri dengan pelbagai strategi baru berkaitan dengan ekonomi nasional ketika kita sedang menghadapi krisis itu. Setiap krisis besar sebenarnya merupakan sama ada peluang emas bagi kita mentransformasikan ekonomi atau batu penghalang yang menggagalkan cita-cita kita. Soalnya ialah sama ada pembuatan dasar dan sistem pelaksanaan dasar kita cukup bersedia serta bermotivasi untuk mengambil iktibar daripada krisis yang sedang melanda kini. Pokoknya ialah kemampuan dan tadbir urus kerajaan kita.
Kita perlu melatih semula dan memahirkan semula kalangan yang hilang pekerjaan akibat krisis ini. Usaha itu tidak boleh dibuat secara ad hoc seperti memadamkan api. Perlu ada keselarasan dalam program serta kursus yang ‘serasi’ dengan kalangan yang dilatih, yakni menurut Pelan Kemahiran Kebangsaan yang selanjutnya menyangga wawasan bagi Ekonomi kita. Pekerjaan yang hilang, terutamanya dalam sektor perkilangan, tidak akan muncul semula, jadi kita wajib ada pelan serta wawasan .
Selepas berprestasi tidak menggalakkan dan tanpa pelan atau wawasan bagi pertumbuhan tinggi yang mampan, akibat apa yang bakal kita terima pabila bahtera kita belayar menempuh badai ekonomi yang sedang melanda? Kita berdepan dengan dua senario yakni kerosakan atau penurunan status atau kelas.
Kerosakan
Kesahan kerajaan kita yang mentadbir negara yang membangun didasarkan atas jaminan berupa keamanan sosial dan pembangunan ekonomi.
Seperti cerapan Profesor Clive Kessler: “Di Malaysia, keamanan sosial bergantung pada penerusan, dan jangkaan berterusan terhadap pertumbuhan ekonomi dan kemakmuran; manakala pertumbuhan ekonomi dan kemakmuran pula bergantung pada penerusan dan jaminan adanya keamanan sosial.” Hubungan timbal balik antara keamanan dan pertumbuhan ini mendedahkan kita kepada kitaran maklum balas yang ganas: jika salah satu jentera itu gagal, jentera lagi satu akan turut gagal lantas kita terdorong ke dalam lingkaran kegagalan yang pasti menderitakan. Margin ralat kita lebih tipis daripada yang kita jangkakan. Keadaan dan struktur sosiopolitik kita membayangkan ada kemelut yang akan mengiringi peluncuran kita menjadi negara yang langsung tidak relevan nun di bawah sana. Bagaikan basikal atau pesawat terbang, untuk menghindari daripada jatuh, kita perlu berlari pada kelajuan tertentu.
Penurunan Status
Mengikut senario kedua, kita mungkin terus wujud selepas menyusur kemerosotan pesat ekonomi ini. Namun kemunculan kita adalah dengan ekonomi yang gagal memenuhi permintaan ekonomi global, maka kita jatuh ke aras lebih rendah, menurut pelan pembangunan kita sendiri, lalu menggelepar dan kejang dalam kemelut berupa pertumbuhan yang begitu rendah. Lambat laun kita akan menderita dan menghadapi senario pertama seperti yang digambarkan.
Kita seharusnya merenungi krisis ini dalam konteks sejarah kita sebagai sebuah negara yang masih muda. Malaysia belum lagi wujud tatkala dunia kali terakhir mengalami pengecutan ekonomi sebegini. Kritis sekali saat dan ketika krisis ini melanda dalam hubungan hala tuju pembangunan ekonomi dan sistem politik kita. Gabungan ketiga-tiga faktor ini menjadi ramuan sempurna bagi kemelut: tatkala negara begitu memerlukan kepimpinan sedangkan sistem yang kita ada bagi memilih dan mengesahkan kepimpinan politik kita seolah-olah sudah gagal berfungsi.
KE MANA KITA SETERUSNYA
Tafsiran saya tentang prestasi kita mungkin berbunyi agak keras namun senario dunia sebenar lebih keras lagi. Tidak terniat saya untuk menyinggung mana-mana pihak tetapi saya percaya kita perlu sedar betapa berbahayanya keadaan kita sekarang sebelum kita beroleh ilham apa yang mesti dilakukan seterusnya.
Bagi jangka masa sederhana, kita perlukan lonjakan dalam bidang pembangunan. Sayangnya ‘lonjakan’ bukan sebarang unjuran garis lurus berlandaskan masa kini. Ia bukan menghendaki kita untuk lebih banyak melakukan apa yang pernah kita lakukan. Kita tidak akan sampai ke sana dengan membina lebih banyak lebuh raya, mengisytiharkan lebih banyak Koridor Raya Pertumbuhan atau menanam lebih banyak kelapa sawit. Jalan menuju ke atas berteraskan pencapaian yang kompleks yang seterusnya berlandaskan penambahbaikan transformatif dalam tadbir urus dan reformasi terhadap sistem politik kita.
Kemelesetan ekonomi dunia ialah peluang maha penting untuk kita menyahut cabaran memulakan pelbagai langkah berani lagi imaginatif demi mempersiapkan serta melengkapkan semula enjin penjana ekonomi Malaysia. Membawa penambahbaikan transformatif dalam tadbir urus serta politik bererti kita menjadikan diri seperti cacing kepanasan tetapi secara positif. Maka pihak kerajaan perlu berani berbelanja demi mendapatkan perkara yang betul dengan cara yang betul demi merangsang permintaan.
Ada dua kriteria bagi ‘perkara yang betul’ yakni pelaburan awam yang mencetuskan kesan pengganda yang paling meluas dalam tempoh jangka masa pendek dan jangka masa lebih panjang. Sering terdapat tukar ganti antara kesan terhadap permintaan dan keupayaan ekonomi lebih baik, bagi jangka masa pendek. Bagi jangka masa yang panjang pula, kedua-duanya adalah sama. “Pengganda jangka panjang” setara betul dengan keupayaan lebih baik keseluruhan sistem.
Jadi, kita mesti fikirkan masak-masak sebelum membelanjakan “rangsangan fiskal” - apa yang diperoleh dengannya mesti benar-benar wajar. Tiada apa yang benar-benar tiada risiko atau kesan yang merumitkan. Demi membiayai rangsangan itu, kita perlu mengalami defisit. Oleh itu, ini bukan fasal mengagihkan wang secara suka-suka. Setakat ini belum ada kesan pakej rangsangan yang diuar-uarkan pada bulan November 2008. Hujah ekonomi yang mendasari langkah tersebut juga tidak diperjelaskan.
Bukan pakej rangsangan atau langkah berbelanja di sana sini yang kita perlukan. Yang diperlukan dan yang boleh kita manfaatkan daripada krisis sekarang ialah peluang melaksanakan rangkaian projek berani yang berlatarkan kisah ekonomi sewajarnya demi membolehkan Malaysia melakukan lonjakan pembangunan yang kita tunggu-tunggu sudah sekian lama. Inilah cabaran ekonomi sekali seumur hidup. Kita wajib menyahut cabaran ini dengan penuh tekad untuk melakarkan sejarah. Ertinya, usah ketengahkan pakej rangsangan berupa perbelanjaan kerajaan yang bertujuan untuk meraih undi rakyat yakni yang hanya menguntungkan kalangan yang berkepentingan. Sebaliknya, wujudkan set projek pelaburan awam berwawasan yang direka dengan penuh strategi, yang ditadbirkan dengan ketulusan sejati.
Izinkan saya mengesyorkan dua program dan set reformasi yang membolehkan pelaksanaannya.
PUSAT MINYAK DAN GAS
Sememangnya kita beruntung besar berkat minyak dan gas kita, namun kita belum lagi memanfaatkan kekuatan strategik kita dalam sektor ini biarpun kelebihan dalam hal sumber asli dan strategik kita ini tiada tolok bandingannya:
Di rantau ini, Malaysia ialah peneraju para pengeluar Minyak dan Gas.
Rizab kita yang terbukti dan diiktiraf itu kian berkembang dengan penemuan besar-besaran tahun-tahun kebelakangan ini.
Lebih daripada separuh tanan tahunan kumpulan kapal dagang dunia melalui Selat Melaka dan seterusnya memasuki Laut China Selatan. Aliran minyak menerusi Selat Melaka tiga kali ganda besar berbanding aliran menerusi Terusan Suez dan 15 kali ganda besar berbanding aliran menerusi Terusan Panama. Kita tinggal bersebelahan laluan perkapalan yang paling penting di dunia.
Mungkin para leluhur kita pada abad ke-15 lebih banyak memanfaatkan kelebihan tersebut berbanding kita yang alpa ini.
Sedangkan kita ada Petronas yang merupakan antara syarikat minyak ulung dunia.
Malah kita punyai jalinan hubungan perdagangan yang kuat dengan para pengeluar minyak Timur Tengah.
Memang prestasi kita boleh lebih baik lagi. Sedarlah dan amati bagaimana Singapura yang tiada sumber minyak kini menjadi antara tiga pemain global terulung dalam bidang perdagangan, penapisan dan pengeluaran peralatan industri minyak dan gas.
Tiga tahun lalu, ketika Malaysia masih menjadi pengerusi OIC, saya mencadangkan Pelan Strategik Kebangsaan yang berwawasan untuk membangunkan Malaysia menjadi pusat Minyak dan Gas Asia, serta menerajui bidang penapisan, perkapalan, pengedaran, penyimpanan dan pengeluaran hiliran.
Kita harus membangunkan kemudahan penyimpanan di luar pesisir pantai bagi para negara pengeluar lain yang bumi mereka menghadapi risiko besar. Cari gali, pengekstrakan dan pengeluaran minyak dan gas kian dipacu oleh teknologi serta merupakan operasi bernilai tinggi tatkala simpanan minyak dunia semakin kurang. Pastinya beruntung besar jika kita ada kemampuan R&D sendiri dalam bidang cari gali, pengekstrakan dan pengeluaran. Kita seharusnya membuat pengkhususan dalam bidang teknologi tenaga, termasuk sumber tenaga alternatif demi bersedia menghadapi masa mendatang yang terhad atau mengehadkan sumber dan penggunaan karbonnya.
Sebaiknya, kita hendaklah menjalinkan perkongsian sepanjang rantaian nilai yang sewajarnya. Ini termasuklah rangkaian perjanjian dengan para pengeluar Teluk dan dengan para pengguna utama dunia demi penambahbaikan keselamatan minyak. Mungkin kita boleh membentuk perkongsian Kerajaan dengan Kerajaan di rantau ASEAN, menyediakan insentif cukai serta mengetengahkan Kontrak Perkongsian Pengeluaran yang inovatif.
Hal ini begitu menguja. Segala daya usaha ini hanya boleh berfungsi jika kita berkemampuan lebih baik untuk membiayai dan memperdagangkan minyak dan gas. Memandangkan kita sudah ada kelebihan dari segi geografi dan strategi, kita hendaklah menjadi negara OIC yang pertama sekali membangunkan Bursa niaga spot dan hadapan bagi Minyak dan Gas.
Biar apa pun pilihan yang pihak kerajaan buat, perlu difahami bahawa untuk kita sampai ke satah pertumbuhan yang lebih tinggi, pengkhususan memang perlu dan kita perlukan kerajaan yang mampu memberikan hala tuju, daya penggerak serta kemampuan eksekutif untuk memupuk pengkhususan sedemikian. Sememangnya globalisasi mewajibkan tumpuan tidak putus-putus atas kelebihan daya saing. Dan kita perlukan kisah kita sendiri.
PERUMAHAN
Ayuh kita mulakan program pemilikan rumah sendiri di seluruh negara. Sektor pembinaan mewujudkan kesan pengganda dalam lebih daripada seratus industri. Sedikit sangat projek nasional yang lain yang boleh kita jalankan yang boleh mengadakan kesan sosial dan kesan pengganda ekonomi sedemikian.
Perumahan ialah asas modal sosial yang berkuasa sekali malah ia menggenapkan serta menghayati erti kewarganegaraan. Projek perumahan kebangsaan memberi kita peluang untuk mereka bentuk seluruh masyarakat dan bandar berserta prasarana pengangkutan, komunikasi, pendidikan dan rekreasi segandingan dengan set piawaian dan matlamat sosial. Dengannya, kita berkesempatan merancang inventori rumah demi memenuhi keperluan pemilikan rumah sendiri dengan pelbagai pilihan bagi keperluan lokasi dan gaya hidup yang berbeza. Perumahan ialah cara membangunkan harmoni antara kaum, membina sekolah berintegrasi serta membantu kalangan miskin tanpa mewujudkan sebarang topangan.
Marilah kita semua komited dalam hal berusaha agar setiap keluarga warga Malaysia memiliki rumah mereka sendiri. Wawasan ini menjadi cabaran yang radikal agar negara kita berprestasi lebih baik. Memang penambahbaikan luar biasa diperlukan dalam hal kemampuan kita mereka bentuk, membina dan membiayai projek-projek perumahan. Kita perlu mengasaskan lembaga berkanun untuk menyelia pembangunan, pentadbiran dan pengurusan perumahan. Tanah berada di bawah bidang kuasa pihak Negeri maka pihak merekalah yang perlu melaksanakan projek-projek ini. Perlulah wujud atau memaksa pewujudan penyelarasan yang jauh lebih baik antara kerajaan Negeri dan Persekutuan, terutamanya berlatarkan senario di mana tidak semestinya parti politik yang sama berkuasa di kedua-dua tempat.
Pembiayaan bagi pelaburan ini mungkin boleh tersalur menerusi perubahan dalam KWSP di mana pihak kerajaan harus mencarumkan jumlah setara terhadap nilai harta tanah berkenaan. Perbelanjaan ini yang bersumberkan simpanan tidak akan mencetuskan inflasi. Sukar bagi saya memikirkan cara-cara lain yang lebih baik untuk menyegarkan semula ekonomi kita di samping memberikan warga kita titik tumpuan untuk menggantungkan harapan, agar mereka boleh berbangga serta mempunyai jaring keselamatan yang turut menggalakkan tabiat menabung dan keusahawanan.
REFORMASI SEKTOR AWAM
Kita tidak boleh menunggu sehingga krisis ini berakhir sebelum menangani dan menambah baik sistem penyampaian awam kita sebab kita kelak memerlukan perkhidmatan awam yang dinaikkan taraf demi melaksanakan program awam yang besar-besar dengan penuh kejayaan.
Ketika keadaan ekonomi amat mencabarlah kita memerlukan penambahbaikan dalam bidang tadbir urus. Tatkala Franklin Delano Roosevelt melaksanakan Gagasan Baru beliau (”New Deal”) demi membawa Amerika keluar daripada Zaman Meleset, ramai yang gusar seandainya langkah itu kelak mencetuskan peluang besar untuk kegiatan rasuah. Namun segala jangkaan buruk sedemikian meleset sebab semua pelaksanaan Gagasan Baru itu berjalan dengan penuh ketelusan, yang belum pernah terjadi sebelumnya. Kejayaan FDR itu disebabkan beliau mewajibkan penyeliaan dan pengawal seliaan dalam pelaksanaan program pemulihan beliau.
Demikian jugalah, dua program yang saya syorkan ini akan gagal jika amalan rasuah yang kini berleluasa dalam negara kita mengganggu-gugat dan meranapkannya. Jika itu berlaku, bukan sahaja ekonomi kita gagal dipulihkan bahkan kita akan memikul beban tambahan. Maka, sebahagian daripada pengurusan projek program-program ini perlu menubuhkan bahagian yang bebas dan berkuasa khusus untuk menyiasat rungutan fasal penipuan.
Kini peranan sektor awam jauh lebih kompleks berbanding apa yang mampu sesiapa fikirkan sedekad nan lampau. “Sistem penyampaian awam” yang direka bentuk bagi menangani cabaran tahun 1950an mustahil boleh menghadapi pelbagai permintaan rumit era abad ke-21. Krisis sekarang ini membenih dan membiak dalam waktu Internet sedangkan para pengawal selia perlu kelam kabut sebelum memahami duduk perkara sebenar. Kini kerajaan perlu lebih pintar, kuat dan lebih segera memberi respons daripada dulu jika ingin bermain di padang yang setara dengan pihak dalam bidang perniagaan. Kita memerlukan kepimpinan kita mengubah model perkhidmatan awam yang berunsurkan pendekatan perancangan pusat abad lampau yang dipacu oleh pelan belanjawan dan beralih kepada model di mana kerajaan berperanan sebagai pemudah cara, pengumpul dan pelancar urus niaga. Yakni kerajaan yang menyasarkan hasil ekonomi dan bukannya kuota perakaunan.
Sebagaimana sektor swasta mewajibkan warganya berbakat serta ada kemampuan menganjur dan mengatur cara, kita juga harus mendesak agar sektor awam memiliki kemampuan yang sama. Kini teras daya saing sesebuah negara ialah kerajaan yang berkualiti.. Namun begitu, bukan sesuatu yang ganjil mengharapkan prestasi tinggi daripada perkhidmatan awam yang dipimpin oleh para elit yang intelek sebab itulah cara Perkhidmatan Awam Malaya (MCS) beroperasi pada zaman dahulu. Dan ramai antara kita yang masih ingat kehebatan itu.
KESIMPULAN
Pada petang ini, apa yang saya garis kasarkan sekadar syor-syor saya sendiri. Saya pasti ada banyak lagi gagasan bernas daripada ramai tokoh yang menghadiri acara ini.
Izinkan saya mengakhiri wacana di mana saya bermula yakni dalam hal keyakinan.
Kita perlu memulihkan keyakinan kita terhadap institusi-institusi asas kita, pihak kepimpinan kita, integriti Persekutuan ini, kedaulatan undang-undang dan Perlembagaan kebangsaan kita. Kesemuanya sejiwa dan senada dengan keyakinan ekonomi yang perlu demi meleraikan kekangan terhadap kredit, pelaburan dan penggunaan agar semua orang boleh terus memainkan peranan masing-masing. Kita perlu sekali memulihkan keyakinan di Malaysia.
Keyakinan tulen semata-mata harapan yang berlandaskan tanggapan mengenai kebenaran. Ia modal sosial dan kepercayaan terhadap kemampuan dan masa depan masyarakat. Ia beroleh inspirasi daripada para pemimpin yang bersedia membawa kita untuk tidak gentar menilai kedudukan kita kini, dan seterusnya kepada wawasan tentang kemampuan kita pada hari mendatang. Ertinya, kita ada kisah sendiri yang berharga bagi kita dan menjadi maruah kita.
Negara ini tidak mampu lagi menampung kelas ahli politik yang tidak berpijak atas realiti malah memperniagakan kelmarin yang tiada jaminan, mahupun kerajaan yang telah lupa apakah tekad dan tujuannya sendiri. Kita perlukan pembaharuan kepimpinan sebagai langkah pertama ke arah memulihkan keyakinan hakiki.
Perangkaan ekonomi sekadar petunjuk bagi aktiviti dan jangkaan komuniti unik yang kita cuba bangunkan. Maka, usaha membangunkan ekonomi dan membangunkan negara, menyediakan tadbir urus yang bagus, berwibawa serta sentiasa jujur, BUKAN perkara yang boleh tercapai secara tersendiri atau secara berasingan. Menyalakan semula api keyakinan kita bererti kita menghidupkan semula projek untuk membangunkan Malaysia.
http://razaleigh.com/
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment