Monday, January 19, 2009

‘UMNO hilang daya tarikan’

Daripada nazrullah rosli

MANAMA (Bahrain) 19 Jan. – UMNO perlu segera melakukan perubahan radikal bagi mengembalikan semula keyakinan rakyat terhadap parti itu yang sudah hilang daya tarikan serta membolehkannya memenangi Pilihan Raya Umum Ke-13 akan datang.

Naib Presiden UMNO, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, langkah tersebut perlu kerana UMNO kini dibelenggu oleh pelbagai persepsi negatif yang dilontarkan terhadap parti itu.

“Kita perlu ada wow factor (daya tarikan) supaya pengundi kembali kepada kita. Kini kita kehilangan faktor itu dan kita perlu mencari jalan untuk mendapatkan ia kembali.

“Perdana Menteri (Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi) dan Datuk Seri Najib Razak sebagai penggantinya perlu melakukan perubahan secara radikal terhadap UMNO,” katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Beliau yang berada di sini dalam lawatan kerja Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, mengulas kekalahan Barisan Nasional (BN) dalam Pilihan Raya Kecil Kuala Terengganu pada Sabtu lalu.

Pada pertandingan tiga penjuru itu, calon Pas, Mohd. Abdul Wahid Endut yang memperolehi 32,883 undi menang dengan majoriti 2,631 undi, Datuk Wan Ahmad Farid Wan Salleh (30,252), manakala calon Bebas, Azharudin Mamat @ Adam hanya meraih 193 undi, sekali gus hilang wang pertaruhan.

Muhyiddin juga menegaskan bahawa UMNO sehingga kini masih belum membuat sebarang perubahan walaupun rakyat sudah memberi isyarat jelas supaya parti itu berubah segera.

“Persepsi terhadap UMNO tetap tidak berubah, kita dianggap parti yang sombong, memikirkan kepentingan sendiri serta tidak mendekati rakyat.

“Walaupun saya tidak kata ia betul, tetapi itu adalah persepsi rakyat. Persepsi itu penting kerana ia mempengaruhi rakyat,” katanya.

Sehubungan itu, beliau berkata, UMNO perlu ada penjenamaan semula iaitu kembali kepada cita rasa rakyat tanpa mengorbankan prinsip parti.

http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=0120&pub=Utusan_Malaysia&sec=Muka_Hadapan&pg=mh_03.htm

2 comments:

Anonymous said...

JIKA Pilihan Raya Kecil Parlimen Kuala Terengganu dijadikan ukuran berhubung sambutan generasi muda terhadap UMNO adalah jelas parti berkenaan terpaksa mengakui bahawa mereka gagal menarik golongan itu.

Ini kerana berdasarkan jumlah undi yang diperolehi oleh calon BN, Datuk Wan Ahmad Farid Wan Salleh, kesemua saluran undi yang melibatkan generasi muda menyaksikan BN tewas. Ia juga bermakna selepas Pilihan Raya Umum Ke-12 lalu yang mencatatkan BN kehilangan majoriti dua pertiga di Parlimen, generasi muda semakin menjauhi UMNO dan BN.

Sebaliknya, tumpuan mereka lebih kepada Pas dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) manakala bukan Melayu pula lebih cenderung menyokong DAP. Trend ini seharusnya tidak dibiarkan oleh UMNO dan BN kerana dalam pilihan raya umum akan datang 49 peratus daripada keseluruhan pengundi adalah terdiri daripada pengundi muda.

Oleh itu, kegagalan di Kuala Terengganu seharusnya benar-benar memberikan pengajaran kepada BN terutamanya UMNO supaya melakukan langkah yang lebih agresif untuk memastikan pengundi muda tidak terus meninggalkan mereka.

Sebenarnya, di Kuala Terengganu, sejak dari awal lagi penulis sudah merasakan golongan berkenaan tidak akan menyebelahi BN. Ia bukan sahaja berdasarkan kepada gelagat golongan muda yang begitu megah mengibarkan bendera pembangkang di jalan-jalan raya, malah program-program yang diatur oleh Pemuda atau Puteri juga dilihat sebagai pendekatan yang sudah ditelan zaman.

Dalam soal ini, pemimpin dari luar yang datang termasuklah Ketua Pemuda, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein dan Ketua Puteri, Datuk Noraini Ahmad tidak boleh dipersalahkan kerana mereka hanyalah datang membantu.

Apa juga yang mereka lakukan tidak akan berkesan seandainya sejak awal lagi Pemuda dan Puteri UMNO di peringkat negeri sememangnya tidak popular di kalangan generasi muda. Ia jelas apabila program-program Pemuda khususnya hanya dihadiri oleh mereka yang sudah lama berada dalam Pemuda dan bukannya pengundi-pengundi baru rakyat tempatan.

Lebih malang lagi, menurut sumber, Pemuda UMNO negeri terutamanya, masih dilihat berimej elit sehingga ia menyukarkan usaha untuk menarik golongan muda bersama-sama dengan parti itu.

Keadaan menjadi lebih buruk apabila jentera Pemuda yang datang dari luar termasuk mereka yang sesetengahnya bertaraf pemimpin masih belum mahu belajar budaya tempatan.

Selain bermegah dengan menaiki kereta-kereta mewah, mereka masih kekal berkumpul di coffee house dan lobi-lobi hotel, bukannya keluar membantu berkempen.

Penulis melihat sendiri bagaimana ketika hari pengundian di sebuah hotel terkenal di Kuala Terengganu, berpuluh-puluh ahli Pemuda berkumpul dan berbual sesama mereka, sedangkan ketika itu jam menunjukkan pusat-pusat pengundian mula dibuka.

Suasana ini berbeza dengan ahli-ahli Pemuda Pas yang sanggup semalaman berada di pondok-pondok panas dan terus bekerja apabila fajar menyingsing bagi meraih undi.

Kesudahannya menurut satu sumber BN, ketika Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak melawat pondok-pondok panas tertentu, tiada seorang pun anggota Pemuda yang berada di situ. Semua ini menimbulkan pertanyaan apakah motif sebenar ribuan anggota Pemuda datang ke Kuala Terengganu? Apakah mereka benar-benar datang untuk berkempen bagi memenangkan calon BN atau datang dengan niat berkempen sempena pemilihan UMNO Mac nanti?

Seperkara lagi, beberapa pihak yang berada di Kuala Terengganu sepanjang pilihan raya berlangsung, turut menyifatkan segala program yang dilaksanakan oleh Pemuda boleh dianggap sudah lapuk dan tidak sesuai digunakan lagi.

Ini termasuklah bengkel memperbaiki motosikal yang pada pandangan penulis hanya membuang masa kerana ia tidak memberi keuntungan politik jangka panjang.

Mungkin ramai yang hadir tetapi persoalannya adakah mereka yang datang itu menyelami perjuangan UMNO atau lebih tepat lagi akan memangkah BN?

Justeru tidak keterlaluan jika dikatakan sepanjang pilihan raya Kuala Terengganu, jentera Pemuda dianggap tidak sehebat Dewan Pemuda Pas yang dikatakan memainkan peranan penting dalam usaha memastikan kemenangan calon mereka.

Semua ini terjadi kerana Pemuda UMNO negeri ibarat hidup segan mati tidak mahu dan hanya akan bergerak jika ada pemimpin negeri datang atau ketika musim pilihan raya sahaja. Kegagalan mereka berfungsi sekali gus membawa bencana kepada BN.

Kita tidak boleh mempersalahkan sangat jentera Pemuda dari luar kerana mereka bergantung kepada jentera tempatan. Ini termasuklah dalam mengatur perang saraf - salah satu senjata Pas yang paling berkesan menyerang BN ketika pilihan raya berlangsung.

Penulis difahamkan Pemuda UMNO sememangnya sudah mengatur team untuk tujuan itu, tetapi entah di mana silapnya sehingga ke hari pengundian hanya beberapa helai risalah sahaja yang dikeluarkan.

Bagi Puteri pula, mereka kini bukanlah lagi sebuah pasukan yang digeruni oleh pembangkang. Jika dalam pilihan raya kecil sebelum tahun 2004 dulu Puteri UMNO dianggap salah satu senjata ampuh berikutan keberanian mereka meredah setiap kawasan bagi meraih undi termasuk di dalam rumah pembangkang tetapi semangat perjuangan berkenaan semakin luntur akibat dikaburi dengan jawatan dan kedudukan.

Apa yang berlaku di Kuala Terengganu ialah Puteri hanya menumpukan perhatian di zon selesa iaitu di kawasan yang kalau mereka tidak masuk pun pengundi tetap akan memilih BN. Keadaan ini berbeza dengan suatu ketika dulu apabila Pas begitu bimbang dengan kehadiran Puteri.

Pengalaman penulis ketika Pilihan Raya Kecil Parlimen Pendang dan Dewan Undangan Negeri Anak Bukit yang menyaksikan bagaimana Pas terpaksa melipat gandakan pergerakan Dewan Muslimatnya bagi menghadapi Puteri UMNO sudah tidak kelihatan lagi.

Lebih malangnya lagi apabila ada laporan yang menyatakan terdapat ahli-ahli Puteri yang masuk ke kampung-kampung untuk berkempen, berpakaian seperti hendak pergi 'bershopping', biarpun mereka mengetahui bahawa mereka berada di kawasan luar bandar.

Bagi penulis, gelagat yang ditunjukkan oleh Puteri sepanjang pilihan raya di Kuala Terengganu bukanlah sesuatu yang mengejutkan kerana sejak hari penamaan calon lagi, beberapa pemimpin Puteri yang berbual dengan penulis termasuk ada antaranya bertaraf YB, lebih banyak bercakap soal pemilihan parti pada Mac ini berbanding strategi yang akan digunakan untuk menumbangkan Pas.

Berdasarkan apa yang dipaparkan, jika BN benar-benar ingin menarik perhatian generasi muda menyokongnya, satu usaha untuk memberi nafas baru kepada Pemuda dan Puteri perlu dilakukan.

Ini termasuklah kebijaksanaan memilih pemimpin yang akan menerajui kedua-dua sayap berkenaan mulai Mac nanti.

Pemimpin yang akan dipilih bukan sahaja mempunyai idea bagi menarik sokongan generasi muda tetapi juga mempunyai karisma untuk disukai rakyat. Ini kerana dalam pilihan raya segala faktor akan diambil kira termasuklah bagaimana penampilan seseorang pemimpin itu.

Pilihan Raya Kecil Parlimen Kuala Terengganu seharusnya menyedarkan kepimpinan dan ahli-ahli kedua-dua sayap tersebut bahawa cabaran yang menanti mereka bukanlah sedikit. Tiada gunanya kalau kita hanya sekadar popular di kalangan ahli sahaja sedangkan apabila pilihan raya rakyat menolak BN. Kuala Terengganu sudah membuktikan fakta itu!

Anonymous said...

DIIZINKAN Allah SWT, Datuk Seri Najib Tun Razak akan mengambil alih kepimpinan UMNO Mac ini. Tugas tentu bertambah besar, dan sudah pastilah tanggungjawab juga bertambah. Yang penting amanah perlu dipikul. Dalam situasi semasa, amanah itu cukup berat untuk digalas. Hanya yang gagah dan badang sahaja mampu melakukannya.

Timbangan UMNO, pada masa ini cukup berat. Tubuh badan pertubuhan itu perlu distabilkan semula. Banyak yang perlu dilakukan bagi membolehkan parti Melayu itu terus utuh di atas kakinya.

Parti itu kelihatannya sudah terlalu lama. Jika mantan presidennya, Tun Dr. Mahathir Mohamad yang berusia 85 tahun pun masih tajam dan bersemangat - berfikir dan kritis, UMNO yang lebih muda usianya sudah tidak bermaya.

Benar seperti kata Tan Sri Muhyiddin Yassin UMNO sudah hilang tarikan. ‘‘Kita (UMNO) perlu ada wow factor (daya tarikan) supaya pengundi kembali kepada kita.” Beliau mencadangkan UMNO melakukan perubahan radikal.