Friday, June 20, 2008

BERITA UTAMA : BPR Siasat Dakwaan Teck Lee Kes Rasuah RM5 Juta

Oleh JAMDI NASIR dan TAN MING WAI
KOTA KINABALU 20 Jun – Presiden Parti Maju Sabah (SAPP), Datuk Yong Teck Lee kini disiasat kerana disyaki terlibat dalam satu kes rasuah membabitkan RM5 juta yang didakwa dilakukannya ketika menjadi Ketua Menteri Sabah.
Ketua Pengarah Badan Pencegah Rasuah (BPR), Datuk Seri Ahmad Said Hamdan berkata, siasatan dibuat berasaskan satu kenyataan mengenai pembabitan Teck Lee dalam satu perbicaraan kes rasuah di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, semalam.
Menurut beliau, apa yang disebut oleh saksi di mahkamah itu adalah suatu maklumat baru kepada BPR dan menjadi tanggungjawab badan tersebut untuk mengkajinya daripada pelbagai sudut sebelum tindakan lanjut diambil.
‘‘Kita memandang serius apa yang ditimbulkan di mahkamah semalam dan BPR akan menjalankan siasatan terperinci mengenai perkara ini.
“Jika benar ia berlaku, kita akan ambil tindakan sewajarnya,’’ kata beliau ketika ditemui di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu di sini hari ini selepas lawatan kerja dua hari ke Sabah.
Semalam, Mahkamah Tinggi diberitahu bahawa Teck Lee mengarahkan pembayaran wang lebih RM5 juta, iaitu hasil keuntungan jualan saham syarikat milik kerajaan negeri Sabah, kepada ejen pilihannya pada 1996.
Bekas Pengarah Briskmark Enterprise Sdn. Bhd., Datuk Wasli Mohd. Said dilaporkan memberitahu mahkamah, semasa menjadi Pengurus Besar Lembaga Kemajuan Tanah Negeri Sabah (LKTNS), beliau berjumpa bekas Ketua Menteri itu di pejabatnya untuk memberi taklimat mengenai cadangan pengambilalihan pengurusan 40 peratus saham Sapi Plantation milik LKTNS.
Menurut Wasli, peguam yang mewakilinya, William Cheah mencadangkan penubuhan syarikat (Briskmark) untuk dijadikan wadah bagi dana politik dan memintanya memberikan taklimat kepada Ketua Menteri berhubung perkara itu.
“Saya memberikan taklimat kepada Ketua Menteri mengenai perkara itu dan memberitahunya tentang keuntungan daripada langkah penyenaraian membabitkan saham Sapi dalam PPB Oil Palms,” kata Wasli.
Beliau berkata, selepas perjumpaan pertama itu, beliau ada bertemu Teck Lee beberapa kali lagi iaitu bukan sahaja di pejabat tetapi juga di tempat lain di mana bekas Ketua Menteri itu mengarahkannya membayar sebahagian keuntungan penjualan saham itu kepada ejen pilihannya.
Mengulas lanjut, Ahmad Said berkata, tindakan BPR memulakan siasatan ke atas Teck Lee tiada kaitan sama sekali dengan pengumuman Presiden SAPP itu dua hari lalu bahawa beliau hilang keyakinan terhadap kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi.
“Itu cuma satu kebetulan kerana perkara itu (dakwaan rasuah RM5 juta) baru disebut di mahkamah, jadi kita kena menyiasat. Itu suatu perkara baru bagi BPR, dahulu siasatan kita tumpukan kepada sudut lain. Kita tidak pernah mendengar mengenainya sebelum ini,” ujar beliau.
Beliau menambah, oleh kerana perkara yang disebutkan itu telah lama berlaku, BPR perlu memulakan siasatan dengan pelbagai pihak yang terlibat termasuk mengambil keterangan daripada Teck Lee dan Wasli sendiri.
Sementara itu, Pengarah Siasatan BPR, Datuk Mohd. Shukri Abdull berkata di sini hari ini, beliau telah mengarahkan siasatan dijalankan segera ke atas Teck Lee ekoran pendedahan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.
Beliau turut ditanya mengenai satu lagi dakwaan berhubung penglibatan lapan ahli lembaga pengarah Briskmark yang didakwa Wasli dibayar RM500,000 setiap seorang sebagai ‘derma’.
Mohd. Shukri berkata, mereka juga akan disiasat dan dipanggil memberi keterangan sekiranya didapati ada hubung kait dengan rasuah.

http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2008&dt=0621&pub=Utusan_Malaysia&sec=Muka_Hadapan&pg=mh_03.htm

2 comments:

Anonymous said...

Katanya lagi, beberapa para pengarah turut menerima RM500,000.00 ada juga yang kurang sikit kuasa mendapat RM300,000.00. Mengapa para pengarah ini tak di siasat? Apakah kita masih perlu menebalkan "KONSEP DOUBLE STANGARD" yang ada? Kalau macam ini lebih baik ACA sendiri yang buat rasuah. Undang-undang kita tak mungkin dapat ditegakkan dengan cara dan pendekatan begini. Lawan politi disiasat, kawan politik dibiarkan bermaharaja lela. Pls open our eyes and see the darkest cloud covering our system. Di mana konsep Bersih Cekap dan Amanah yang you cari?

Anonymous said...

Di mana konsep Bersih Cekap dan Amanah yang you cari? Persoalan yang kita semua kena mencari jawapannya. Walau bagaimanapun mohon baca Laporan yang boleh dibaca dengan "double click gambar dibawah perkataan JAUHILAH RASUAH"