MENJADI anak kepada seorang Perdana Menteri mungkin impian ramai orang, tetapi mendapat peluang menjawat jawatan yang sama pastinya satu takdir dan pencapaian luar biasa buat empunya diri.
Itulah takdir yang tertulis buat Datuk Seri Najib Tun Razak. Jasa bapanya, Allahyarham Tun Abdul Razak Hussein kepada bangsa Malaysia tidak dapat dinilai dengan kata-kata, dan kini beliau berpeluang untuk menghulurkan jasa seperti yang pernah bapanya sumbangkan.
Sudah 33 tahun Tun Razak meninggalkan kita. Tempoh enam tahun memimpin dimanfaatkan oleh Allahyarham dengan menyediakan platform kukuh dari aspek pembangunan sosial, ekonomi dan fizikal negara.
Bangkit daripada pengalaman hitam 13 Mei 1969, Tun Razak bersama barisan kabinetnya merencana pelan terbaik untuk membina satu warga yang bersatu. Biarpun mereka dipisahkan oleh sempadan rumpun bangsa, bahasa dan kepercayaan yang berbeza.
Bapa Pembangunan itu juga amat sinonim dengan inisiatifnya mengukuhkan kedudukan ekonomi orang Melayu menerusi Dasar Ekonomi Baru (DEB) dan pembukaan tanah-tanah rancangan Felda.
Hakikatnya, Tun Razak tidak hanya meninggalkan semua itu untuk kita. Malah, beliau mewariskan kepada negara satu lagi 'hadiah' yang tidak ternilai harganya - seorang insan bernama Najib.
Memetik tulisan yang diabadikan dalam buku berjudul Tun Abdul Razak: A Personal Portrait terbitan Utusan Publications & Distributors, di dalamnya Najib pernah berkongsi satu cerita tentang bapa kesayangannya itu:
"Masih ingat sewaktu masih kanak-kanak dulu, kami ingin sekali mempunyai sebuah kolam renang. Tetapi selepas puas menunggu selama kira-kira sebulan, permintaan itu ditolak.
"Setelah meneliti anggaran belanja yang disediakan oleh Jabatan Kerja Raya, beliau akhirnya memberitahu, 'Tidak boleh. Nanti apa pula orang kata?'
"Beliau (Allahyarham Tun Razak) berpegang kepada prinsip, hingga menidakkan banyak perkara yang diingini oleh keluarga, semata-mata supaya tiada orang bercakap mengenainya. Atas sebab itu jugalah orang melihatnya sebagai seorang yang sederhana keinginannya."
Tangga hierarki politik dalam UMNO dan kerajaan didaki oleh Tun Razak pada tahun 1950-an hingga beliau menjadi Perdana Menteri pada tahun 1970. Kini legasi itu diteruskan oleh anak sulungnya, Datuk Seri Najib.
Najib bernafas dan membesar dengan melihat bapanya mengemudikan negara yang pada ketika itu masih berada dalam fasa awal memperoleh kemerdekaan.
Biarpun begitu, penglibatan Najib dalam arena politik tempatan boleh dianggap sebagai tidak sengaja.
Pemergian mendadak dan tidak terduga Tun Razak pada usia 54 tahun, iaitu pada 14 Januari 1976, akibat penyakit leukemia, telah mengubah laluan kerjaya beliau secara dramatik.
Mendapat sokongan padu daripada UMNO Pahang, kekosongan kerusi Parlimen Pekan kemudian diisi oleh Najib, graduan jurusan Ekonomi Industri dari Universiti Nottingham, England yang ketika itu baru berusia 23 tahun.
Najib sekali gus memegang rekod dipilih menjadi Ahli Parlimen termuda dalam sejarah Malaysia. Sebelum itu, beliau sempat berkhidmat di Bank Negara dan Petronas selaku Pengurus Hal Ehwal Awam.
Di kalangan pemimpin senior, tidak ramai yang yakin Najib mampu mengharungi segala sepak terajang politik nasional tanpa bekal nama gah Allahyarham bapanya. Namun, Najib membuktikan beliau berjaya berdiri di atas meritnya sendiri.
Sebenarnya nama Tun Razak hanya memberikan beliau permulaan yang hebat, tetapi apa yang dicapainya adalah liku-liku perjuangan yang terpaksa ditempuhinya sendiri.
Buktinya, anak muda itu terus diberi kepercayaan untuk memegang jawatan penting dalam kerajaan. Dalam tempoh setahun selepas bertanding kerusi Parlimen Pekan pada 1976, Najib diberi kepercayaan dengan dilantik sebagai Timbalan Menteri Tenaga, Telekomunikasi dan Pos, sebelum berkhidmat selaku Timbalan Menteri Pendidikan dan Timbalan Menteri Kewangan.
Najib kemudian dipilih untuk menerajui kerajaan negeri Pahang sebagai Menteri Besar selepas pilihan raya 1982. Bintang ahli politik kelahiran Kuala Lipis, Pahang itu terus bersinar apabila beliau mula memegang portfolio sebagai menteri penuh di beberapa kementerian termasuklah Kementerian Belia dan Sukan, Kementerian Pertahanan (dua kali) dan Kementerian Pendidikan.
Benar, Najib menyambung legasi ayahnya. Namun, harus diingat bahawa mereka berdua berjuang dalam dua era yang sangat berbeza.
Tun Razak memainkan peranannya dalam zaman mengisi kemerdekaan, sedangkan Najib kini memikul tugas memastikan UMNO terus relevan dan ekonomi Malaysia terus gah di pentas antarabangsa.
"Kita tidak boleh lihat Najib dan Allahyarham Tun Razak secara tertutup. Najib pasti akan mengutamakan perpaduan selain gaya kepimpinan yang disifatkan sebagai berjiwa rakyat sebagaimana Tun Razak. Sesuai dengan pepatah Melayu, ke mana tumpahnya kuah kalau tidak ke nasi.
"Selain itu, agenda pendidikan dan ekonomi pasti akan diberi perhatian khusus di bawah kepimpinan Najib. Harus diingat juga bahawa satu realiti dalam kepimpinan ialah apabila seseorang menjadi perdana menteri, beliau pasti akan mencipta satu agenda tersendiri yang sesuai dengan kehendak zaman dan tuntutan rakyat," kata Presiden Yayasan Kajian dan Strategi Melayu, Datuk Dr. Radzi Abd. Latiff.
Pengalaman berjuang begitu lama dalam politik sehingga dilantik sebagai orang nombor satu negara sememangnya menjadi aset paling berharga buat Najib.
Sepanjang menyaksikan kepimpinan empat orang Perdana Menteri silih berganti, Najib tentunya memperoleh banyak pendedahan tentang cara terbaik menyelesaikan masalah dan memaksimumkan peluang.Ketika ditanya mengenai hubungan antara Najib dengan Perdana Menteri sebelum ini, Radzi menyatakan saat paling signifikan kepada rakyat adalah ketika beliau menjadi Timbalan Perdana Menteri.
Najib membuktikan beliau merupakan seorang Timbalan Perdana Menteri yang setia kepada ketuanya. Beliau tidak tergesa-gesa dan tidak pernah cuba membuktikan dirinya lebih handal. Ciri-ciri seorang pengikut yang baik sentiasa ada dalam dirinya.
"Pada masa yang sama, kita boleh lihat Najib cukup fokus untuk menyempurnakan tugas yang dipertanggungjawabkan ke atasnya. Tidak kira ketika menjawat apa-apa jawatan pun. Najib tidak melakukan sesuatu demi populariti atau bersikap retorik," katanya.
Biar apa pun tanggapan serta harapan rakyat terhadap seorang lelaki bernama Najib, yang pastinya beliau datang daripada 'benih' terbaik dan akan terus berusaha membawa Malaysia ke satu tahap yang lebih tinggi.
1 comment:
terima kasih menyediakan artikel ini krn dapat membantu saya menyiapkan folio
Post a Comment