Wednesday, April 8, 2009

‘KREATIF DAN INOVATIF TANGANI CABARAN’

Setiausaha Kerajaan Negeri Sabah

KREATIF, INOVATIF DAN INTEGRITI
Dalam era globalisasi serta krisis ekonomi global yang melanda seluruh dunia pada ketika ini, perkhidmatan awam tidak lagi boleh mengekalkan sistem sedia ada, yakni melaksanakan tugas-tugas rutin yang hanya menekankan kepada konsep kepuasan pelanggan semata-mata. Sebaliknya, anggota perkhidmatan awam perlu sentiasa kreatif dan inovatif dalam menangani cabaran-cabaran masakini dan akan datang.

Perkhidmatan awam memerlukan anggota yang berkeupayaan untuk berfikir di luar kebiasaan, mampu menjangka dan mengatasi cabaran-cabaran yang dihadapi. Jika kita terus kekal dengan sistem sedia ada, negara kita akan tertinggal jauh di belakang kerana tidak mampu bersaing dengan negara-negara lain.

Jika perkhidmatan awam atau agensi kerajaan tidak mampu menangani cabaran, ia boleh menyebabkan kewujudannya tidak lagi relevan dan akhirnya wujudlah senario yang digambarkan oleh Ketua Setiausaha Negara, iaitu “you don’t do it well, other people will do it for you”.

Berdasarkan amalan semasa, setiap agensi menyediakan mekanisme untuk pelanggan mengemukakan cadangan dan aduan. Menerusi cadangan dan aduan pelanggan, agensi akan meneliti keperluan serta kesesuaian dan seterusnya melaksanakan penambahbaikan. Penambahbaikan yang dilaksanakan menerusi input daripada pelanggan bukanlah suatu perkara yang tidak baik malah kita sememangnya digalakkan untuk mendapatkan idea-idea baru dari pelbagai sumber. Namun demikian, amalan seumpama ini lebih berbentuk penyediaan perkhidmatan untuk memenuhi keperluan semasa pelanggan. Ianya bersifat sementara.

Perkhidmatan Awam sebenarnya boleh mengurangkan kebergantungan kepada input pelanggan di samping mengurangkan aduan-aduan negatif keatas Perkhidmatan Awam keseluruhannya menerusi keupayaan berfikir secara strategik dan keupayaan menjangkakan apakah bentuk perkhidmatan terbaik yang diinginkan oleh pelanggan pada masa hadapan. Jika ini dilakukan, perkhidmatan yang dianggap terbaik yang sepatutnya hanya perlu kita disediakan pada masa hadapan telahpun kita sediakan pada hari ini. Dengan kata lain, kita telah mendahului kehendak masa hadapan pelanggan.

Selain memiliki sifat atau budaya kreatif dan inovatif dalam menghadapi dan mengatasi cabaran, budaya ini juga perlu diterapkan agar anggota perkhidmatan awam berkebolehan menjana idea-idea baru untuk kesejahteraan rakyat keseluruhannya. Kejayaan organisasi kita seharusnya tidak lagi dinilai berdasarkan kejayaan melaksanakan program-program rutin sebagaimana ditetapkan setiap tahun. Kejayaan kita juga tidak harus dinilai berdasarkan pelaksanaan program-program kualiti semata-mata. Sebaliknya, ukuran kejayaan kita perlu didasarkan kepada keupayaan kita memperkenalkan perubahan, idea-idea dan program-program baru yang menjurus kepada kesejahteraan rakyat. Dan yang lebih penting, idea kreatif dan inovatif tersebut hendaklah menjadi realiti. Jika kita tidak berubah kepada budaya kreatif dan inovatif maka kita akan terus dibelenggu oleh budaya kerja dan pemikiran “Systems Maintenance”. Kita tidak lagi boleh kekal dan selesa dengan apa yang kita lakukan pada ketika ini yang hanya menumpukan kepada pelaksanaan tugas-tugas rutin. Anggota-anggota perkhidmatan awam perlu menyedari bahawa perkhidmatan awam merupakan agen perubahan dan keupayaan untuk membuat perubahan ini hanya boleh dilaksanakan menerusi pemikiran yang kreatif dan inovatif.

Pada akhirnya, budaya pemikiran kreatif dan inovatif bukan hanya menjawab persoalan tentang tercapaikah sasaran kerja tahunan agensi? Sebaliknya, ia menjawab persoalan tentang apakah perubahan yang telah dibuat oleh agensi berkenaan yang membawa impak kepada kesejahteraan rakyat keseluruhannya.

Keupayaan berfikir secara kreatif dan inovatif, memperkenalkan dan melaksanakan idea-idea baru tidak membawa sebarang manfaat sekiranya anggota perkhidmatan awam tidak memiliki nilai-nilai integriti yang tinggi.

Konsep Integriti dalam bahasa yang mudah ialah keperibadian mulia yakni nilai-nilai yang unggul pada diri individu dan organisasi. Keperibadian mulia ini termasuklah sifat amanah, rajin, bertanggungjawab, menepati masa, berdisiplin dan semua sifat-sifat positif dalam diri seseorang individu. Ini bermakna nilai kreatif dan inovatif juga merupakan ciri-ciri integriti. Pegawai yang berintegriti merupakan pegawai yang melaksanakan tugas dan tanggungjawabnya mengikut kepentingan umum.

Sebagai sebuah institusi yang besar, kita tidak menafikan terdapat segelintir anggota perkhidmatan awam yang masih belum memperlihatkan prestasi yang membanggakan. Walaupun bilangannya kecil tetapi golongan ini berpotensi mencemarkan imej perkhidmatan awam. Golongan ini boleh kita ibaratkan sebagai nila setitik yang boleh merosakkan susu sebelanga.

Sehubungan itu, saya menyeru kepada semua ketua jabatan agar sentiasa melaksanakan program-program integriti secara in-house yang berbentuk menerap nilai-nilai murni, mengikis amalan negatif dan memperkukuhkan nilai-nilai integriti sedia ada di kalangan anggota masing-masing.

Kita juga perlu tegas melaksanakan tindakan tatatertib kepada anggota yang melanggar peraturan kerajaan.
~ Madiyem ~Kunjungi: http://www.skn.sabah.gov.my/

No comments: