Thursday, April 23, 2009

PUNCA KELEMAHAN PENCAPAIAN AKADEMIK PELAJAR MELAYU ( "posting" akan siap sebelum ?/4/09)

Kerangka Konsep

1. Faktor yang mempengaruhi kelemahan pelajar Melayu, khususnya pelajar miskin dan di luar bandar, berkait rapat dengan budaya belajar pelajar. Budaya belajar ini boleh diperjelas berdasarkan kerangka konsep yang memperlihatkan perkaitan antara empat faktor yang dikenal pasti mempengaruhi pencapaian akademik pelajar Melayu iaitu keluarga, pelajar, sekolah, dan persekitaran (Rajah 1). Keempat-empat faktor ini mempunyai interaksi antara satu sama lain dalam membentuk persekitaran budaya belajar pelajar.

Rajah: 1
Persekitaran Budaya Belajar

( akan dimasukkan nanti ? )

2. Sejak dilahirkan pembentukan sahsiah, sikap serta persepsi seseorang individu terhadap kehidupan akan datang banyak dipengaruhi oleh keluarganya. Rasulullah s.a.w. bersabda, “Setiap anak itu dilahirkan dalam keadaan yang suci (fitrah), ibu bapanyalah yang akan menjadikannya Yahudi, Nasrani atau Majusi.”

3. Latar belakang keluarga seperti status ekonomi, pegangan agama, budaya keluarga, sikap ibu bapa terhadap nilai pendidikan akan menjadi asas pembentukan identiti individu pelajar. Pendidikan pada peringkat awal yang diperolehi di rumah serta sokongan dan dorongan keluarga akan menjadi asas kepada kejayaan pelajar pada peringkat persekolahan seterusnya. Menurut Lumsden (1994): “Children’s home environment shapes the initial constellation of attitudes they develop toward learning. When parents nurture their children’s natural curiosity about the world by welcoming their questions, encouraging exploration, and familiarising them with resources that can enlarge their world, they are giving their children the message that learning is worthwhile and frequently fun and satisfying.” (ERIC Digest 92)

4. Menurut Gardner (dalam Mohamad Daud, 1994), kanak-kanak yang hidup bersama ibu bapa akan memperoleh nilai kelas sosial yang diamalkan oleh keluarga. Keluarga golongan kelas sosial bawahan selalunya besar, kurang berkemampuan, dan ibu bapa kurang memberi perhatian individu kepada anak-anak. Ibu bapa ini mempunyai harapan rendah terhadap anak-anak, berbual tentang topik yang terbatas, dan mahukan anak-anak mengikut perintah mereka. Manakala keluarga daripada kelas sosial menengah selalunya kecil, menaruh harapan tinggi terhadap anak-anak, sentiasa bekerjasama, dan berusaha untuk memastikan supaya anak-anak mereka mendapat pencapaian yang lebih tinggi. Anak-anak mereka juga mempunyai sifat kendiri yang tinggi.

5. Sekolah dan persekitaran juga merupakan faktor utama dalam mempengaruhi pembentukan sahsiah dan pencapaian pelajar. Faktor sekolah termasuklah guru, kemudahan pembelajaran, persekitaran pembelajaran, pembiayaan pendidikan, sistem pendidikan, cara penyampaian pendidikan, program sokongan, dan hubungan sekolah dan komuniti. Faktor persekitaran termasuk komuniti, budaya sesuatu bangsa/kaum serta sistem sokongan yang wujud dalam masyarakat akan terus mewarnai kehidupan seseorang pelajar. Dengan lain perkataan, budaya belajar seseorang pelajar itu dipengaruhi oleh pelbagai faktor khususnya faktor keluarga, sekolah serta persekitaran yang boleh menentukan kejayaan atau kegagalan seseorang pelajar baik dalam apa bidang pun serta dalam kehidupan sebenarnya.

6. Kajian Factors Influencing the Academic Achievement of Students in Malaysian Schools oleh Universiti Malaya (Leong Yin Ching dan lain-lain, 1990), mendapati keempat-empat faktor yang tersebut di atas mempunyai pengaruh yang berbeza mengikut peringkat persekolahan. Kajian ini melibatkan seramai 25,632 orang pelajar sekolah rendah daripada 686 buah sekolah dan 18,458 pelajar sekolah menengah daripada 119 buah sekolah menengah di seluruh negara. Kajian ini merumuskan bahawa faktor sosioekonomi dan keluarga merupakan faktor terpenting dalam mempengaruhi pencapaian akademik pelajar pada peringkat sekolah rendah (UPSR). Walau bagaimanapun, faktor–faktor ini kurang mempengaruhi pencapaian akademik pada peringkat menengah. Pada peringkat menengah (SRP dan SPM) faktor sekolah dan persekitaran banyak mempengaruhi pencapaian akademik, manakala pada peringkat lepas menengah (STPM), faktor utamanya adalah sekolah.

FAKTOR KELUARGA

7. Kajian-kajian BPPDP (EPRD, 1992, 1994, 1996, dan 2001a) tentang kelemahan pelajar dalam pelajaran dan masalah keciciran di sekolah mendapati faktor keluarga iaitu sikap negatif terhadap pendidikan, masalah kemiskinan, masalah rumah tangga, kurang sokongan terhadap pendidikan, dan kurang hubungan antara keluarga dan sekolah adalah penyumbang kepada pembentukan budaya belajar pelajar.

Sikap Negatif Terhadap Pendidikan

8. Kajian Kes Mengenai Keciciran di Sekolah Menengah (BPPDP, 1996) menggariskan sikap negatif ibu bapa/keluarga terhadap pendidikan termasuklah tidak atau kurang mengambil berat terhadap pendidikan anak, kurang kesedaran tentang kepentingan pelajaran, lebih suka anak bekerja daripada bersekolah, dan membiarkan anak ponteng sekolah. Terdapat juga ibu bapa yang merestui, membiarkan, atau tidak tahu mengambil tindakan terhadap tingkah laku anak yang nakal. Keluhan yang sering diluahkan oleh ibu bapa sebegini adalah seperti “Apa yang boleh kami buat?”, dan “Sekiranya anak-anak tetap tidak mahu bersekolah, apa yang boleh kami lakukan?”. Sikap negatif ini juga menyumbang kepada salah laku moral dan seks di kalangan pelajar. Mengikut perangkaan Bahagian Sekolah, Kementerian Pendidikan Malaysia, di antara bulan Januari dan September tahun 2001 terdapat sebanyak 973 kes salah laku moral yang dilaporkan.

Masalah Kemiskinan

9. Keluarga yang kurang berkemampuan menghadapi masalah untuk membeli peralatan dan bahan pembelajaran, membayar yuran sekolah, tambang bas, dan membeli cermin mata (BPPDP, 1996). Ada juga keluarga kurang berkemampuan yang mengharapkan anak-anak untuk bekerja bagi membantu keluarga. Keluarga miskin juga kurang mampu menyediakan rumah yang selesa untuk seisi keluarga menyebabkan suasana tidak kondusif untuk menjadi tempat belajar. Menurut perangkaan Kementerian Pembangunan Wanita dan Keluarga, sebanyak 7.5 peratus penduduk Malaysia adalah di bawah paras kemiskinan. Ini bermakna seramai 1.7 juta penduduk Malaysia perlu diberi perhatian yang sewajarnya dan daripada jumlah tersebut sebanyak 16.5 peratus adalah daripada keluarga yang diketuai oleh ibu tunggal (The Sun, 22 Mei 2002).

10. Kajian Universiti Malaya (Leong Yin Ching dan lain-lain, 1990) tentang faktor-faktor yang mempengaruhi pencapaian pelajar mendapati bahawa status sosioekonomi merupakan faktor utama bagi menentukan kejayaan seseorang pelajar terutama pada peringkat rendah (29.0%) dan berkurangan pada peringkat menengah (PMR 16.0% dan SPM 9.0%). Walau bagaimanapun, faktor sosioekonomi tidak mempengaruhi pelajar pada peringkat STPM. Kajian ini juga menjelaskan bahawa sosioekonomi keluarga juga mempengaruhi sikap pelajar terhadap aspirasi, motivasi, konsep kendiri, dan penyertaan dalam aktiviti kokurikulum. Kajian Jabatan Kebajikan Masyarakat (Zarinah Arshat dan Rozumah Baharudin,1999) juga mendapati bahawa faktor sosioekonomi, khususnya tahap pendidikan yang diterima oleh ibu bapa, mempengaruhi pencapaian akademik anak mereka. Hubungan kemiskinan dengan pencapaian dikaitkan juga dengan kesan negatif terhadap perkembangan minda. Kesan ini termasuk food deprivation yang mempengaruhi konsentrasi dan pembelajaran harian; kekurangan nutrien atau zat yang mempengaruhi pembesaran; kekurangan pengawasan oleh ahli dewasa dan penjagaan anak yang akan menghad pembelajaran; kekurangan stimulasi yang mengakibatkan kekurangan motivasi untuk belajar dan melambatkan perkembangan kognitif; tingkah laku yang bermasalah; sikap kendiri yang rendah; buta huruf dan pencapaian rendah; gangguan kepada kehadiran ke sekolah dan tercicir dari sekolah; dan kekurangan kemasukan ke universiti.

Masalah Rumah Tangga

11. Rumah tangga yang kucar kacir dan mengalami keruntuhan seperti penceraian, poligami, dan ibu bapa tidak tinggal serumah menyebabkan keruntuhan akhlak dan masalah sosial di kalangan pelajar. Dapatan kajian juga menunjukkan bahawa apabila berlaku penceraian, tanggungjawab memelihara anak selalunya diserahkan kepada datuk atau nenek (BPPDP, 2001a). Faktor-faktor ini menyebabkan kurangnya kemesraan dan komunikasi berkesan antara anak dan ibu bapa.

Kurang Sokongan Terhadap Pendidikan

12. Kajian Drop-out & Low Achievement – Case Studies in Selected Primary Schools in Malaysia (EPRD, 1994) mendapati pelajar yang tercicir dan berpencapaian rendah adalah daripada keluarga yang kurang memberi sokongan terhadap pendidikan anak-anak mereka, kurang mengawasi kemajuan pelajaran anak-anak, tidak menyemak kerja sekolah, menyerah tugas membantu pelajaran kepada anak yang lebih tua, dan lebih suka anak menolong kerja di rumah daripada bersekolah. Terdapat juga keluarga yang kurang mementingkan pendidikan dengan memaksa anak perempuan berkahwin bagi mengurangkan beban keluarga atau tidak menggalakkan anak perempuan belajar ke peringkat tinggi. Selain daripada itu, terdapat juga keluarga yang kurang memperuntukkan wang kepada pendidikan anak tetapi lebih mementingkan kebendaan, penjagaan status, dan hiburan.

Kurang Hubungan Antara Keluarga Dan Sekolah

13. Hubungan yang rapat antara keluarga dan sekolah dapat membantu pelajar untuk berjaya dalam pelajaran. Walau bagaimanapun, dapatan awal Kajian Penilaian Program Intervensi JPN bagi Menangani Keciciran di Sekolah Menengah (BPPDP, 2001b) menunjukkan masih terdapat ibu bapa yang melepaskan tanggungjawab mendidik dan membimbing anak mereka kepada pihak sekolah, sering tidak menghadirkan diri apabila dipanggil untuk berjumpa pihak sekolah, meminta orang lain seperti jiran untuk mengambil rekod kemajuan pelajar, dan kurang mengambil peluang untuk melibatkan diri dalam Persatuan Ibu bapa dan Guru (PIBG). Terdapat juga ibu bapa yang enggan melayan atau membalas surat sekolah tentang masalah pembelajaran atau ponteng sekolah anak-anak mereka. Keadaan ini menyebabkan ibu bapa/keluarga tidak mengetahui tentang pencapaian sebenar anak mereka dalam pelajaran dan kurang memberikan komitmen terhadap program pendidikan di sekolah sama ada dalam bentuk tenaga, masa atau wang ringgit.

FAKTOR PELAJAR

akan disambung................Insyaallah
Dan jangan lupa ikuti maklumat di http://msgsabah.blogspot.com/2009/04/in-digital-age.html (sedang di "updated" juga )
POSTING SETERUSNYA akan lebih menarik ! Insyaallah

1 comment:

celotehcomel said...

i like this article.
currently i am doing a research which the topic is similar with this article.I would like to get to know u more so that we can exchange idea about this.Tq.

-Nisa-