Saturday, June 21, 2008

BICARA AGAMA : Kepimpinan adalah Taklif (sebagai amanah dan tanggungjawab ) Kepimpinan Bukan Tasyrif (Kemasyhuran)

IKLIM politik negara ketika ini seolah-olah berada dalam suasana yang penuh dengan ketidakpastian. Semenjak berakhirnya pilihan raya umum lalu, cakap-cakap politik kedai kopi terus berlegar mengenai kemungkinan berlakunya lompat-melompat di kalangan ahli-ahli Parlimen. Tidak kurang juga di kalangan pimpinan parti yang begitu sibuk bercongak-congak mengenai masa depan dan kedudukan politik masing-masing terutamanya menjelang musim pemilihan parti akan datang.

Fenomena seperti ini tentulah merimas dan mencetuskan perasaan kurang senang rakyat yang pasti mendambakan sesuatu yang lebih bermakna daripada para pemimpin yang dipilih mereka melalui pilihan raya lalu. Apa tidaknya, pada ketika rakyat sedang berhadapan dengan realiti peningkatan kos sara hidup yang semakin meruncing, para pimpinan parti tampak lebih sibuk mencatur soal kuasa dan takhta.

Semuanya ini hanya kerana kegelojohan dan kerakusan sesetengah pimpinan politik negara yang lebih memperhitungkan soal kuasa dan nafsu untuk menjadi pemimpin. Sememangnya kuasa yang secara fitrahnya berkait rapat dengan kepimpinan adalah isu yang cukup penting untuk dibicarakan setulusnya agar natijah yang lahir daripadanya bukan sahaja bermanfaat kepada diri sendiri tetapi yang lebih utama kepada masyarakat keseluruhannya.

Sama ada disedari ataupun tidak, kita sebenarnya sedang mengalami krisis pemikiran dan pendangkalan persepsi terhadap makna kuasa. Dalam membicarakan soal kuasa pasti ramai yang secara sepontan menanggapinya sebagai satu bentuk kemasyhuran atau tasyrif yang boleh mengangkat martabat seseorang ke satu tahap yang menyebabkannya dihormati dan disanjungi masyarakat.

Rasional

Malah tidak kurang yang melihatnya sebagai lesen besar untuk memenuhi keserakahan nafsu. Akibat kedangkalan persepsi inilah kita dapati manusia bagaikan paranoid dan hilang kewarasan apabila membicarakan mengenai kuasa. Manusia seolah-olah hilang pertimbangan rasional apabila kuasa menjadi matlamat hidup, bahkan dipertuhankan sehingga tergamak menggadai prinsip dan nilai-nilai agama.

Apa sahaja sanggup dilakukan demi kuasa. Ada yang rela melabur wang hingga mencecah jutaan ringgit hanya untuk merebut kuasa. Ada yang sanggup menggadaikan prinsip dan nilai agama hanya untuk mempertahankan kuasa. Tidak kurang juga yang sedia berjual-beli ayat-ayat suci al-Quran kerana taksub untuk berkuasa. Mereka memekakkan telinga daripada mendengar amaran Allah yang amat keras: Dan janganlah kalian menjual ayat-ayat-Ku dengan harga yang rendah (al-Baqarah:41).

Sesetengahnya menganggap duit yang dihabiskan untuk membeli sokongan amat berbaloi lantaran limpahan pulangan yang bakal diperoleh amat lumayan harganya. Apa tidaknya, rata-rata bertanggapan dengan kuasa dapat memiliki harta besar, kereta besar, rumah besar, isteri besar dan serba-serbinya besar.

Kadangkala jawatan parti dilihat lebih mahal nilainya berbanding jawatan wakil rakyat. Ini kerana jawatan parti memungkinkan seseorang mendekati pihak atasan yang sekaligus memudahkan limpahan kekayaan disalurkan bagi memperkayakan diri dan suku-sakat.

Soal keberkatan harta dan halal-haram perolehan tidak lagi diperhitungkan. Semuanya kerana dikaburi dengan fatamorgana kuasa yang begitu menghayalkan. Akhirnya kuasa dan kepemimpinan tidak lagi difahami sebagai amanah dan tanggungjawab (taklif) sebaliknya satu bentuk kemuliaan (tasyrif).

Kita sebenarnya lupa atau buat-buat lupa bahawa kuasa merupakan amanah Allah atau taklif iaitu beban tanggungjawab yang akan diperhitungkan pada hari akhirat kelak. Sebab itulah sebagai amanah keagamaan, kegagalan menunaikan amanah kepimpinan boleh menatijahkan risiko hukuman ukhrawi yang berat.

Inilah yang terangkum melalui nasihat Nabi Muhammad SAW kepada Abu Dzar Al-Ghiffari berkenaan dengan konsep kuasa dan kepimpinan sebagaimana sabdanya: Sesungguhnya ia (kuasa) adalah amanah. Dan pada hari kiamat ia merupakan kehinaan dan penyesalan, kecuali bagi yang mengambilnya sesuai dengan haknya dan melaksanakan apa yang menjadi tuntutannya. (Hadis riwayat Muslim).

Dalam hadis lain, Rasulullah juga pernah bersabda: Apabila amanah itu dilenyapkan, maka tunggulah datangnya kiamat. Ditanya kepada baginda, “Wahai Rasulullah, bagaimana melenyapkan amanah itu?” Rasulullah bersabda: Apabila amanah itu diserahkan kepada yang bukan ahlinya, maka tunggulah datangnya kemusnahan!

Beban

Dalam tradisi kepimpinan Islam, taklif atau beban tanggungjawab kepimpinan ini sememangnya amat berat dan cukup kudus. Sebab itulah posisi kepimpinan tidak diminta-minta atau diperebutkan. Malah Rasulullah tidak pernah memberikan posisi kepimpinan kepada yang meminta.

Apa yang pasti, kuasa bukannya suatu bentuk tasyrif (pangkat kebesaran) yang boleh diperdagangkan bagi tujuan kemegahan dan meraih populariti. Kuasa juga bukannya lesen yang menghalalkan segala bentuk rasuah, adu-domba dan fitnah-memfitnah sesama sendiri. Lebih menyedihkan jika kuasa berterusan menjadikan umat bergelumang dengan penyakit hasad-dengki dan benci-membenci hingga terhakisnya kekuatan dan jatidiri.

Sebab itulah penjernihan sikap dan persepsi terhadap konsep kuasa perlu mengakar ke dalam hati nurani setiap individu. Umat harus dipasakkan dalam kerangka pemikiran mereka agar melihat kuasa sebagai taklif atau tanggungjawab dan amanah yang wajib dilaksanakan sebaik mungkin demi memenuhi tuntutan agama dan harapan rakyat.

Dengan memahami hakikat kuasa dan makna kepemimpinan berpandukan suluhan agama yang benar sahajalah yang mampu mengangkat martabat dan mengembalikan maruah para pemimpin hari ini. Sesungguhnya perjuangan memartabatkan bangsa tidak akan membawa sebarang makna kiranya masih tersisa di dalam kotak pemikiran kita sikap mementingkan diri sendiri lantaran begitu taksub hendak berkuasa hingga tercabut semangat perjuangan yang sebenar.

No comments: