Thursday, June 12, 2008

RENCANA : Golongan Bijak Hidup Lebih Lama

ROME: Individu cerdik berkemungkinan hidup 15 tahun lebih lama atau mencecah sehingga 100 tahun berbanding golongan kurang bijak yang sukar melepasi usia 85 tahun, dakwa sekumpulan penyelidik Itali. Akhbar The Telegraph memetik edisi terbaru New Scientist melaporkan, penyelidik Universiti Calabria mengaitkan keadaan itu dengan apa dikenali sebagai ‘gen pintar’ yang ada dalam tubuh golongan cerdik.
“Sebaliknya, mereka yang memiliki jenis gen yang dikaitkan dengan tahap kecerdikan atau IQ yang rendah, sukar menikmati umur panjang melebihi 85 tahun,” kata ketua penyelidik, Profesor Giuseppe Passarino. Gen dikenali SSADH itu juga sememangnya diketahui berperanan menyingkirkan asid lebihan yang terbentuk dalam otak. Katanya, proses berkenaan dipercayai melindungi sel otak daripada sebarang kerosakan yang boleh merancakkan proses penuaan individu.
Kajian sebelum ini mendakwa dua gen biasa dikenali sebagai ‘T’ terbukti kurang 20 peratus berkesan berbanding jenis ‘C’. Lelaki dan wanita yang mempunyai dua salinan ‘T’ didapati mencapai keputusan kurang baik dalam ujian IQ berbanding lainnya. Dalam kajian terbaru, penyelidik menggunakan sampel lebih 500 rakyat Itali berusia 18 hingga 107 tahun bagi melihat kaitan serta faktor yang mempengaruhi usia lanjut seseorang. Penyelidik itu membentuk apa disifatkan sebagai faktor panjang umur dan kelangsungan hidup dengan membandingkan maklumat genetik responden dengan usia mereka. Saintis itu turut meminta 115 responden yang berusia 65 - 85 tahun, menjalani ujian kognitif dan tahap pemikiran serta mental yang lazimnya digunakan bagi mengesahkan penyakit Alzheimer.
Responden terbabit juga memberikan sampel darah bagi membolehkan saintis menentukan jenis gen yang dibawa mereka. Hasilnya, mereka dapati, responden yang memiliki gen kurang pintar mencatatkan hasil keputusan ujian yang buruk. Hanya sekumpulan kecil mereka berusia lebih 85 tahun manakala yang lebih pintar didapati mencapai usia sehingga 100 tahun. Bagaimanapun, Passarino menegaskan, selain faktor genetik, aspek lain seperti gaya hidup turut berperanan penting menentukan hayat lanjut individu. “Tidak boleh dinafikan lagi gaya hidup seperti membaca dan melakukan tugasan mencabar, jauh lebih penting daripada sekadar memiliki gen yang teruk.” Sementara itu, Profesor Robert Plomin dari Institut Psikiatri, Kolej King di London, yang juga menjadi penyelidik pertama mengenal pasti kesan kognitif SSADH empat tahun lalu, menyambut baik hasil penyelidikan Itali berkenaan. “Apa yang saya temui dan hasil kajian terbaru itu membuktikan hakikat menarik di sebalik gen pintar ini. Biarpun saiz sampel dalam kajian awal adalah kecil iaitu cuma 115 orang menjalani ujian itu berbanding ribuan yang terbabit dalam kajian terbaru, ia tetap ada kaitan dengan keputusan lampau.” - Agensi

No comments: