Monday, June 16, 2008

RENCANAN : Bapa Dituntut Main Peranan Tangani Inflasi

PADA saat dunia mengalami pasang surut ekonomi akibat kenaikan harga minyak hingga ekonomi menjadi tidak stabil akibatnya, peranan manusia yang bergelar bapa kini menjadi semakin mencabar.
Inflasi yang wujud akibat ketidaktentuan harga barangan dan pendapatan menghimpit golongan bapa yang majoritinya menjadi pencari nafkah keluarga. Setiap sen pendapatan kini terletak kepada kebijaksanaan seorang bapa untuk menimbang dan menyukat perbelanjaan, namun secara dasarnya peranan ini amat berat untuk dimainkan kerana segala aspek kehidupan telah mengalami peningkatan kos yang bergerak secara domino.
Setiap bapa sewajarnya mengambil peranan utama untuk mengawasi pergerakan akaun keluarga agar tiada belanja wajib terlepas pandang dan akan menyebabkan tunggakan yang bertapuk menjadi belanja tambahan yang menggelincirkan bajet setiap bulan.
Setiap hari harga barangan keperluan sudah sampai ke tahap membuatkan kita terfikir ingin membuat dua tiga kerja sebagai menambah punca pendapatan. Kesan domino akibat kenaikan minyak menjadikan barang keperluan seperti makanan meningkat beransur-ansur dengan alasan untuk mengatasi penambahan kos pengangkutan.
Keadaan ekonomi yang terkawal amat diperlukan bagi kestabilan entiti kekeluargaan di sesebuah negara. Hari Bapa yang disambut pada 15 Jun lalu perlu menjadi titik tolak bagi seorang bapa memainkan peranan proaktif menjadi pengawal ekonomi domestik dan seterusnya dapat merangsang ekonomi secara makro.
Menyekat perbelanjaan hingga ke tahap berjimat dan culas mengeluarkan belanja sewajar diamalkan dan patut dielakkan seboleh-bolehnya. Bagi bil-bil tertunggak perlu diselesaikan terlebih dahulu dan belanja membeli makanan dan keluar berjalan-jalan makan angin perlu dicatu.
Sekiranya bil tidak dibayar risiko disaman kerana tidak membayar kad kredit, hutang kereta atau membayar gadai janji rumah kemungkinan akan meningkatkan kos tidak langsung iaitu kos peguam. Jadi bil perlu diberi keutamaan untuk dibayar.
Keresahan kepada masa depan ekonomi yang hampir ke tahap inflasi lima peratus tahun depan memerlukan bapa memainkan peranan menambah pendapatan selain daripada menjaga bajet bulanan keluarga. Langkah kerajaan membenarkan kakitangan berpendapatan rendah membuat kerja sampingan adalah dialu-alukan pada saat ini.
Golongan berpendapatan tinggi pun boleh mencari pendapatan dengan menyumbangkan bakat dan idea yang boleh menghasilkan wang cuma usaha dan ikhtiar kita sahaja yang diperlukan.
Namun bapa yang diberi peluang melakukan kerja sampingan bagi menampung kos hidup yang tinggi di kota perlu menjauhi diri daripada melakukan kerja sampingan haram di sisi undang-undang dan agama.
Pada zaman inflasi ini mendidik anak menyesuaikan diri dengan iklim inflasi adalah lebih baik daripada mengenang sejarah keagungan pemberian subsidi kepada anak-anak. Biarlah kisah subsidi ini menjadi mimpi-mimpi indah kepada generasi terdahulu.
Kita perlu berpijak di bumi nyata dan mengakui kewujudan globalisasi dan monopoli ekonomi oleh negara yang menguasai pasaran minyak. Cuma kadang kala kita tidak mengerti apakah mekanisme yang menyebabkan kenaikan harga minyak. Adakah kerana minyak sudah mengering atau ada pihak yang mengeksploitasi kemampuan emas hitam itu?
Sesungguhnya peranan bapa adalah mendidik anak-anak agar bijak berbelanja dengan menabung dan bukannya memanjakan mereka dengan makanan segera yang bercukai kastam. Pada zaman inflasi, seorang bapa punya tugas besar mengawal keluar masuk duit yang menjadi alat pertukaran nilai.
Apa yang penting nilai kekeluargaan perlu lebih diutamakan untuk mendidik anak-anak bukannya nilai duit yang dibazirkan oleh kita. Peranan bapa perlu lebih proaktif mengatasi inflasi kerana dalam zaman inflasi yang sedang bermula kita perlu berjimat cermat kerana hanya itu sahaja jawapan kepada semua langkah penyelesaian.
- ABDUL RAZAK IDRIS
Banting, Selangor.

No comments: