Monday, March 9, 2009

ISU PTI DI SABAH KRONIK – RUJUK UTUSAN BORNEO 14 MEI 2008

Oleh : Colonel Saiful (B)

Kebanjiran PTI di Sabah memang tidak dapat dinafikan telah berlaku sejak berpuluh-puluh tahun dahulu. Kita perlu melihat susur galur dan faktor sejarah yang menyebabkan kenapa kebanjiran ini berlaku sejak sekian lama. Ini adalah kerana terdapatnya faktor push dan pull yang terdapat di Negeri Sabah dan Negara Filipina. Walau bagaimanapun, saya tidak bercadang untuk membincangkan kedua-dua faktor tersebut, namun lebih kepada isu penyelesaian kepada masalah ini.

Kadangkala, kita melihat isu ini sengaja dibiarkan seolah-olah ianya mempunyai agenda politik yang tersendiri. Ini adalah kerana isu PTI bukanlah merupakan isu yang baru yang wujud semalam, tetapi telah berpuluh tahun ianya sering diperkatakan, namun penyelesaiannya masih status quo. Isu ini dilihat sebagai modal untuk bercakap supaya rakyat memandang mereka seolah-olah merekalah pejuang yang hebat dalam menangani isu ini. Kadangkala kita lupa bahawa kita mempunyai ruang, peluang dan kuasa pada masa lampau untuk menyelesaikan isu ini, tetapi tidak berbuat demikian. Inilah yang dikatakan permainan politik yang hebat tetapi rakyat sudah mula pandai menilai permainan tersebut yang hanya dilihat sebagai omongan kosong yang tiada manfaat di sebaliknya.

Isu PTI seharusnya boleh diselesaikan melalui kuasa politik yang sedia ada sama ada di peringkat negeri atau pusat. Ianya terpulang kepada kita bagaimana ianya ditangani sama ada dengan serius atau sebaliknya. Pada hemat saya, tindakan yang diambil oleh pihak berkuasa dengan melaksanakan operasi menangkap PTI ini tidak dapat menyelesaikan masalah ini. Semua PTI yang ditangkap akan dihantar ke Kem Pelarian yang terdapat di negeri ini. Keadaan kem yang daif dan penuh sesak serta prasarana yang tidak kemas akan menimbulkan permasalahan kepada mereka. Kerajaan juga terpaksa mengeluarkan perbelanjaan yang banyak bagi menampung keperluan PTI yang berada di kem pelarian dan ini termasuklah makanan dan senggaraan kem. Selain dari itu, operasi ini dilihat sebagai tidak berkesan kerana tidak semua PTI yang akan ditangkap dan dihantar ke kem pelarian. Kebanyakan mereka akan mencari tempat perlindungan dan tidak akan keluar semasa operasi dijalankan. Kejayaan operasi mungkin hanya 10 peratus sahaja tercapai.

Beberapa persoalan juga perlu dijawab, antaranya bagaimanakah dengan PTI yang telah berada di negeri ini hampir berpuluh-puluh tahun? Apakan mereka ini juga dikategorikan sebagai PTI dan akan dihantar balik ke negara asal mereka jika ditangkap? Adakah negara asal mereka masih mahu menerima mereka? Mereka ini telah bermastautin di negeri ini serta mempunyai keluarga di sini. Ada juga di antara mereka yang telah berkahwin dengan rakyat negeri ini dan mempunyai anak pinak di negeri ini, tetapi masih belum mempunyai sebarang dokumen peribadi. Pulau Berhala di Sandakan misalnya merupakan contoh yang paling ketara. Begitu juga dengan Pulau Jampiras. Inilah sebabnya pulau ini tidak diberi perhatian dari segi pembangunan disebabkan oleh status penduduknya berbanding dengan pulau di sebelahannya iaitu Pulau Nunuyan Laut yang mempunyai prasarana asas seperti sekolah, klinik, bekalan elektrik dan air. Kebanyakan anak-anak penduduk di pulau ini tidak bersekolah kerana tidak mempunyai dokumen bagi tujuan tersebut. Apakah yang akan berlaku pada mereka? Siapakah yang akan membela nasib mereka? Mereka yang tinggal di pulau ini dikategorikan sebagai penduduk awal di sini dan telah berpuluh-puluh tahun menetap di sini. Apakah kita mahu pada masa hadapan tanpa kita sedari timbulnya pengganas dari pulau ini? Pada masa itu, siapa pula yang perlu dipersalahkan? Kita sering menguar-uarkan bahawa kita dan anak-anak kita adalah penentu generasi masa hadapan. Jika anak-anak ini merupakan generasi masa hadapan, apakah persiapan dan perkara yang perlu kita lakukan supaya mereka menjadi generasi masa hadapan yang berguna kepada masyarakat dan negara?

Oleh yang demikian, pada hemat saya, adalah lebih murni dan baik kerajaan negeri dengan kelulusan dari kerajaan pusat menubuhkan jawatankuasa khas dan menggerakkan pasukan petugas yang sedia wujud melaksanakan pendaftaran dan tapisan keselamatan PTI ini secara terbuka di seluruh negeri dengan mengambilkira jangkamasa mereka berada di negeri ini, budaya hidup, tempat kelahiran dan lain-lain yang difikirkan perlu. Sekiranya mereka ini didapati mematuhi syarat-syarat yang telah ditetapkan, maka mereka hendaklah diberi kelonggaran dan dokumen peribadi misalnya seperti IMM 13 untuk tinggal di negeri ini atau dihantar ke Semenanjung. Bagi PTI yang yang dikenalpasti baru tiba di negeri ini hendaklah dihantar pulang dengan sertamerta. Setakat ini Zamboanga merupakan tempat PTI dihantar balik dan ini telah menimbulkan masalah sosial kepada bandaraya tersebut, kerana bukan semua PTI yang datang ke Negeri Sabah berasal dari Zamboanga. Hasil pertemuan kami dengan Mayor Zamboanga pada tahun lepas, beliau akan memohon kerjasama dengan Negara Malaysia berhubung tempat penghantaran PTI supaya ianya dibuat berhampiran dengan tempat asal mereka.

Isu PTI ini dilihat sebagai isu politik dan akan menjadi lebih kronik jika tidak ditangani dengan segera dan terbuka. Ianya boleh diselesaikan tanpa adanya political influence oleh mana-mana pihak. Selain dari itu, masih juga terdapat ramai rakyat di negeri ini yang tiada mempunyai surat beranak dan mykard walaupun mereka memang merupakan rakyat negeri ini. Ini adalah kerana permasalahan di masa lampau yang dibuat atas kepentingan politik yang mana ibubapa mereka diberi kad pengenalan projek bagi tujuan tertentu. Semasa memiliki kad pengenalan tersebut, mereka melahirkan anak dan anak ini tidak dapat mendaftar sebagai rakyat Negeri Sabah kerana kad pengenalan projek yang dimiliki oleh ibubapa mereka. Apabila ibubapa mereka telah memperolehi kad pengenalan yang sah, anak tersebut masih lagi tidak dapat didaftarkan sebagai warganegara kerana dokumennya masih berpandukan kepada kad pengenalan projek yang dimiliki oleh ibubapa mereka. Maka, anak ini akan menjadi pendatang di bumi sendiri dan sentiasa mempunyai perasaan takut di dalam diri mereka ke atas tindakan yang dikenakan sekiranya tertangkap oleh pihak berkuasa, sehinggalah ke akhir hayat mereka. Ini jelas membuktikan kita perlu menyelesaikan masalah yang timbul akibat daripada perbuatan kita sendiri. Oleh yang demikian, tidak perlulah kita menunding jari kepada pihak lain untuk menyelesaikan isu yang dilakukan oleh kita sendiri.

Selain dari itu, karenah birokrasi oleh pejabat pendaftaran dalam pengurusan dokumen-dokumen peribadi seperti surat beranak dan mykkard juga memberi impak kepada rakyat negeri ini yang ingin membuat dokumen peribadi mereka. Rakyat yang datang dari jauh dan terpaksa berbaris sejak dari pagi, namun apabila nombor giliran mereka dipanggil terdapat kesalahan dan dokumen yang tidak lengkap diserahkan kepada pihak jabatan pendaftaran menyebabkan proses pembikinan dokumen peribadi tersebut tidak dapat dibuat. Apatah lagi dengan lagak staf-staf di Jabatan Pendaftaran yang tidak langsung mempunyai sifat berkompromi dalam membantu pengurusan dokumen-dokumen tersebut. Ini telah menyebabkan rakyat merasa bosan untuk datang lagi berurusan dengan pihak Jabatan Pendaftaran. Isu pertindihan mykard juga banyak berlaku dan ini menyebabkan dua atau tiga orang mempunyai nombor mykard yang sama. Adalah wajar penerangan dan prosedur tentang pembikinan surat beranak dan mykard dimaklumkan dengan cara yang lebih berkesan. Operasi pendaftaran bergerak perlu lebih kerap dilakukan dengan pihak Jabatan Imigresen terutama di kawasan-kawasan pendalaman termasuk pulau-pulau yang terdapat di negeri ini. Tindakan segera perlu dilakukan dan ianya terpulang kepada pihak yang berkenaan sama ada untuk berdiam diri atau membiarkan isu ini terus menerus berlaku dan mengharapkan orang lain akan menyelesaikannya pada masa akan datang sepertimana yang berlaku sekarang.

1 comment:

Mutalib MD said...

SENARIO ini berlaku kerana agitasi budaya dan hambatan ekonomi rakyat dua negara iaitu yang menerima dan yang menghambat rakyat mereka untuk memperoleh tukaran wang asing. Kewujudan Task Force secara ad-hoc atau dengan bahasa kasarnya SECARA HARAM merampas Hak Imigrasi Sabah yang dijamin di dalam Perlembagaan Persekutuan. Kajian saudara harus lebih di lapangan daripada kajian rampas dan hambar. Teruskan berusaha untuk merungkai isu PATI yang kebanyakannya sudah menjadi PADI.