Dalam mencapai matlamat sesebuah organisasi, pemimpin perlu proaktif melalui aspek keberkesanan gaya kepimpinannya terhadap pekerja.
Seorang pemimpin tidak semestinya hanya seorang Pengarah ataupun seseorang yang memegang jawatan tertinggi dalam organisasi. Tetapi mereka yang mampu mempengaruhi organisasi ke arah pencapaian matlamat juga boleh diklasifikasikan sebagai pemimpin berasaskan kemampuan memimpin menggunakan kebijaksanaan, kemahiran, pengalaman, tahap senioriti dan sebagainya.
Kepimpinan memainkan peranan yang sangat penting dalam menentukan kejayaan sesebuah organisasi. Teori Kepimpinan Laluan Matlamat (Path Goal Theory) yang diperkenalkan oleh Robert House mencadangkan bahawa tingkah laku pemimpin seharusnya dilihat sebagai suatu tindakan yang boleh memotivasikan pekerja.
Seorang pemimpin perlu menguatkan hubungan di antara gaya kepimpinannya dengan perwatakan pekerja dan agenda tugas sesebuah organisasi. Dengan ini, pemimpin akan memahami bahawa pekerja akan termotivasi sama ada dalam keadaan merasa berkemampuan untuk mencapai sesuatu tugas yang diberikan; ataupun mereka dapat menjangkakan hasil kerja yang akan disiapkan; ataupun berkepercayaan tentang aspek penghargaan yang akan diberikan berkaitan hasilnya.
Justeru, adalah menjadi cabaran kepada seseorang pemimpin untuk menggunakan gaya kepimpinan terbaik bagi menemukan titik keperluan motivasi pekerja. Pemimpin perlu menyediakan elemen-elemen yang difikirkan dapat mengisi keperluan pekerja bagi mencapai matlamat organisasi.
Teori Laluan Matlamat menggariskan tentang empat gaya kepimpinan yang boleh dimanfaatkan untuk memotivasikan pekerja iaitu:
Pertama: Kepimpinan berorientasikan arahan (Directive Leadership)
Ia dikaitkan dengan gaya menyampaikan atau memberi penjelaskan kepada pekerja. Pemimpin memberikan arahan mengenai sesuatu tugas. Dengan menyertakan mengenai apakah harapannya berkaitan tugas tersebut. Pemimpin juga turut memberikan klu mengenai bagaimana tugas itu boleh disempurnakan dan juga penetapan waktu yang diperuntukkan untuk menyelesaikannya. Arahan yang baik disampaikan kepada pekerja secara spesifik supaya pekerja mendapat gambaran awal dan kefahaman yang jelas untuk memulakan sesuatu tugasan yang diberikan.
Kedua: Kepimpinan berorientasikan sokongan (Supportive Leadership)
Ia merujuk kepada tingkah laku memberi pertimbangan kepada pekerja. Iaitu dengan gaya beramah mesra dan prihatin sebagai seorang pemimpin. Tingkah laku ini bertujuan untuk mewujudkan suasana kerja yang menyenangkan kepada pekerja. Di samping itu, seorang pemimpin melayan pekerja tanpa berdasarkan mobiliti sosial dan turut menghormati status kedudukan mereka. Gaya kepimpinan ini mampu mewujudkan suasana mesra agar pekerja termotivasi dengan penuh rela hati bagi melaksanakan sesuatu tugasan.
Ketiga: Kepimpinan berorientasikan penyertaan (Participative Leadership)
Gaya ini pula merujuk kepada pemimpin yang mengalu-alukan penyertaan pekerja untuk mereka berkongsi menetapkan sesuatu keputusan. Pemimpin membuka ruang untuk rundingan kepada pekerja agar mereka dapat menyumbang idea serta pandangan. Begitu juga dengan peluang untuk meningkatkan cadangan dalam sesuatu keputusan berdasarkan persetujuan organisasi.
Keempat: Kepimpinan berorientasikan pencapaian (Achievement-Oriented Leadership)
Kepimpinan dengan gaya ini memberikan cabaran kepada pekerja untuk melaksanakan tugasan pada peringkat tertinggi kemampuan mereka. Pemimpin akan sentiasa mencari peningkatan dan pencapaian yang berkesinambungan. Ini melalui langkah menyatakan keyakinan yang tinggi bahawa pekerja mempunyai kemampuan untuk mencapai matlamat bagi cabaran tersebut.
Teori Laluan Matlamat tidak mengongkong seseorang pemimpin untuk menggunakan hanya satu gaya kepimpinan sahaja. Sebaliknya terbuka kepada penggunaan pelbagai gaya mengikut kesesuaian situasi. Cuma ia lebih tertumpu kepada pemberian motivasi kepada pekerja agar mereka lebih bersemangat untuk melaksanakan tugas dengan sempurna.
Bagi merealisasikan agenda pembangunan, aspek kepimpinan adalah elemen yang sangat penting dalam menentukan kejayaan sesebuah organisasi atau jabatan. Pemimpin berperanan membentuk organisasi yang berkesan dari pelbagai sudut, terutamanya dalam memotivasikan pekerja. Motivasi pekerja perlu diperbaharui dari semasa ke semasa agar pencapaian tugasan dalam organisasi terus meningkat dan berkesinambungan. Kecemerlangan dalam pembangunan negeri adalah terhasil melalui kecemerlangan modal insan dalam setiap organisasi.
Setiap organisasi terutamanya jabatan-jabatan kerajaan perlu diperlengkapkan dengan pengetahuan mengenai gaya kepimpinan. Demikian agar persekitaran kerja yang kondusif dapat diwujudkan. Pencapaian dalam tugasan sesebuah organisasi juga akan lebih meningkat dengan pemantauan serta keprihatinan para pemimpin yang terdapat di dalam sesebuah organisasi.
Kesimpulannya, pemimpin perlu mengarah (directive) jika sesuatu tugasan yang dihadapi adalah kompleks; sekiranya tugasan bersifat kurang mendesak, gaya menyertai (participative) pula boleh digunakan; jika pekerja mempunyai keinginan ke arah kecekapan berganda, gaya berorientasikan pencapaian (achievement oriented) boleh dimanipulasikan; manakala gaya berasaskan penyertaan (participative) pula digunakan bagi pekerja yang memerlukan kawalan. Sesuaikan gaya kepimpinan anda!
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment