Friday, March 13, 2009

PENDIDIKAN

1. Pendidikan adalah suatu proses pengajaran dan pembelajaran yang melibatkan perhubungan atau komunikasi dan interaksi di antara individu dengan individu yang lain seperti seorang ibu dengan anaknya atau seorang pengikut dengan ketuanya atau seumpamanya. Ia juga boleh berlaku di antara individu dengan beberapa individu yang lain seperti di antara seorang anak dengan kedua ibu bapa atau keluarganya atau dengan rakan sebaya, seorang guru dengan murid-muridnya atau seumpamanya.

2. Pendidikan juga merupakan suatu proses komunikasi dan interaksi di antara manusia dengan persekitarannya seperti sekolah, media massa, tempat tinggal, pekerjaan dan tempat bekerja serta institusi masyarakat lainnya.

3. Oleh kerana pendidikan adalah suatu proses penerimaan dan penyebaran maklumat, maka ilmu dan budaya yang tersebar secara langsung dan tidak langsung akan mempengaruhi perkembangan fizikal, sosial dan rohani manusia. Proses ini berlaku sehingga manusia mencapai keserasian dalam kehidupannya yang perlu berinteraksi dengan individu dan masyarakat serta alam dan dalam keperluan perhubungan beribadah kepada Tuhan (Allah s.w.t.)(Ab. Rahman Abu Bakar, 1992).

4. Al Quran telah memberi beberapa garis panduan sebagai asas bagi mewujudkan perhubungan atau interaksi yang berkesan di antara seseorang dengan seseorang insan yang lain. Di antara ayat-ayat Al Quran yang menjelaskan tentang perkara di atas ialah:

"Perkataan yang baik dan perbuatan memaafkan (kesilapan mereka) adalah lebih baik daripada memberi sedekah (pemberian) yang diiringi (dengan perbuatan atau perkataan) menyakitkan hati. Dan (ingatlah) Allah maha kaya dan maha penyantun". (Al-Baqarah: 263)

"Dan kalaulah engkau terpaksa berpaling daripada mereka untuk tidak melayani mereka kerana menuntut Rahmat Tuhan kamu yang kamu mengharapkannya, maka katakanlah kepada mereka kata-kata yang baik menyenangkan hati". (Al-Isra' : 28)
"Maka rahmat Allah yang menyebabkan kamu berlemah lembut terhadap mereka. Sekiranya kamu bersikap keras lagi berhati kasar, tentulah mereka menjauhkan diri dari sekelilingmu". (Al-'Imran : 159)

"Serulah (manusia) ke jalan (agama) Tuhanmu dengan hikmah kebijaksanaan dan nasihat yang baik dan berbahasalah dengan mereka dengan cara yang sebaik-baiknya….." (An-Nahl : 125)

5. Petunjuk-petunjuk dari ayat-ayat Al Quran di atas telah menggariskan bahawa hikmah kebijaksanaan, lemah lembut dan percakapan dan bahasa yang baik adalah menjadi asas bagi mewujudkan komunikasi dan interaksi berkesan di antara sesama insan. Manakala sifat-sifat keras dan kasar serta kata-kata yang menyakitkan adalah dilarang.

No comments: