Friday, March 20, 2009

Jadikan perpaduan agenda UMNO


KOTA KINABALU 20 Mac - Ketika sokongan terhadap UMNO dilihat semakin terhakis, seorang pemimpin parti itu dari Sabah hari ini menyarankan agar UMNO menjadikan perpaduan sebagai satu daripada agenda utamanya pada perhimpunan agungnya minggu depan.

Ketua UMNO Bahagian Kota Belud, Datuk Salleh Said Keruak, berkata, agenda itu penting kerana ia menjurus kepada pengukuhan hubungan muhibah antara kaum dan ini dapat mengembalikan kekuatan UMNO.

"Walaupun UMNO adalah parti Melayu ia seharusnya disenangi dan dihormati oleh segenap lapisan masyarakat di negara ini," katanya kepada Bernama di sini hari ini.

Salleh berkata Perhimpunan Agung UMNO dari 24 hingga 28 Mac ini merupakan pentas terbaik bagi perwakilan memilih pemimpin berwibawa yang akan menentukan corak dan hala tuju UMNO pada masa depan.

"Kita perlu barisan pemimpin yang boleh membantu bakal presiden parti Datuk Seri Najib Tun Razak memperkukuhkan parti serta menangani masalah ekonomi yang sedang melanda negara ini.

"Sebab itu, perwakilan perlu bijak membuat pilihan demi masa depan parti dan negara," katanya.

— Bernama

No comments: