"UMNO akan berubah. Saya tidak akan cakap sekarang tetapi saya akan cakap apabila tiba masanya."
MEMANG benar kata orang. Kecemerlangan sesuatu organisasi bergantung kepada ketua. Begitu juga dengan kehancurannya. Ia bergantung kepada kewibawaan serta ketokohan pemimpin tertinggi organisasi tersebut. Bak kata pepatah Cina, "ikan busuk bermula dari kepala."
Tidak lama lagi, dengan izin Allah, Datuk Seri Najib Tun Razak akan dinobatkan sebagai nakhoda baru UMNO.
Alhamdulillah, berkat rahmat serta hidayah-Nya UMNO yang cukup sinonim dengan budaya ke-melayuan, peralihan kuasa kepimpinan berjalan dengan baik sesuai dengan prinsip Islam yang menekankan amalan syura.
Sebagai bakal orang nombor satu UMNO dan negara, Najib bakal menggalas seribu satu tanggungjawab serta amanat rakyat. Seperti biasa beliau nampak tenang, ceria serta penuh dengan keyakinan dan keazaman.
Saya tertarik dengan komen beliau kepada media selepas menghadiri Persidangan Agenda Integriti Nasional, Penilaian dan Hala Tuju di Institut Integriti Malaysia. Katanya: "UMNO akan berubah. Saya tidak akan cakap sekarang tetapi saya akan cakap apabila tiba masanya."
Kenyataan Najib itu bolehlah diibaratkan seperti azimat yang bakal menjadi penawar untuk orang Melayu.
Untuk seseorang pemimpin seperti Najib dapat menerima hakikat mengenai persepsi rakyat bahawa UMNO dan pemimpinnya sombong dan angkuh adalah satu kenyataan yang ikhlas.
Pada hemat saya, ini adalah satu permulaan yang baik daripada bakal Presiden UMNO dan juga bakal Perdana Menteri Malaysia.
Prinsip "keberanian untuk menegakkan kebenaran" seperti ini sudah tidak banyak lagi wujud pada sebahagian besar pemimpin UMNO hari ini.
UMNO secara holistik tidak ada cacat-cela. Yang silap adalah pembudayaan ahli serta pemimpinnya. Manusia mudah lupa bila sudah berkuasa. Lantaran itulah UMNO harus dilihat sebagai pembela utama kepentingan dan agenda Melayu. Najib harus membuktikannya bukan sekadar dengan kata-kata tetapi bersama tindakan. UMNO perlu melakukan perubahan secara "total".
UMNO juga harus dilihat dan membuktikan bahawa ia adil dan berjuang bersungguh-sungguh untuk kepentingan rakyat Malaysia. UMNO sebagai tonggak BN perlu bertolak ansur, saksama dan memahami kehendak rakyat.
Kalau diperhatikan, selepas tsunami 8 Mac 2008, tidak ramai pemimpin UMNO yang berani menyuarakan isi hati berhubung politik negara serta kekalutan parti-parti komponen Barisan Nasional.
Kini sudah sampai masanya untuk UMNO bangun daripada mimpi dan menghadapi realiti sebenar. Tidak guna kita menitis air mata darah sekalipun kalau rakyat menolak UMNO dan BN pada pilihan raya umum akan datang.
Sekarang bukan lagi zaman untuk orang Melayu berzapin dan berdondang sayang. Kita memerlukan perubahan dalam erti kata sebenarnya.
Sejauh mana dan sekuat mana Najib mampu menggalas harapan rakyat akan mula dilihat dalam April ini.
Beliau mempunyai tanggungjawab besar untuk memulihkan kepercayaan terhadap UMNO, memulihkan kuasa orang Melayu, memusnah tohmahan dan meneruskan apa yang telah bermula iaitu era kebangkitan semula UMNO.
Tiga fokus utama yang harus menjadi keutamaan beliau bila memegang tampuk kuasa ialah UMNO, ekonomi dan perpaduan kaum di negara ini.
Beliau perlu memilih pemimpin serta barisan Kabinet yang berwibawa. Najib tidak boleh lagi mendokong biawak hidup dalam Kabinet beliau.
Najib perlu berani menongkah arus - jika perlu - demi membela nasib agama, bangsa dan negara.
DR. MOHD. AZAM RAUZAN
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment