Wednesday, March 18, 2009

Apakah Respond Media-Komuniti Kepada Senario Pemulihan Persepsi - UMNO

Jangan layan rayuan - Dr. M

Oleh SAIFULIZAM MOHAMAD dan MUHAMMAD DAYNE AZMIN
pengarang@utusan.com.my

KUALA LUMPUR 18 Mac - Lembaga Disiplin UMNO perlu tegas dalam setiap keputusan yang dibuat dan tidak perlu melayan sebarang rayuan kerana ia hanya akan menjejaskan kredibiliti dan imej parti.

Bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad berkata, segala keputusan yang telah dibuat oleh pihak lembaga semalam wajar dikekalkan sebagai bukti kesungguhan UMNO membanteras gejala politik wang.

Katanya, sebarang rayuan untuk membolehkan mereka yang dihukum bertanding semula tidak perlu dilayan.

''Memang orang bersalah ada hak untuk merayu tetapi semua pihak tahu yang dia ini bersalah. Sekiranya dengan tiba-tiba orang seperti ini diberi kelonggaran, ia akan menyebabkan kredibiliti UMNO dan jawatankuasa disiplin hancur sama sekali.

''Jangan ganggu keputusan ini. Jika Majlis Tertinggi (MT) kata lain, tidak ada gunanya wujud jawatankuasa disiplin,'' katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai akan berlakunya beberapa kemungkinan ekoran keputusan yang dibuat oleh Lembaga Disiplin semalam.

Antara keputusannya ialah melarang Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Mohd. Ali Rustam daripada bertanding atau dipilih merebut jawatan Timbalan Presiden selepas pihak lembaga mendapati tiga ejennya didapati bersalah mengamalkan politik wang.

Pengerusi lembaga berkenaan, Tan Sri Tengku Ahmad Rithauddeen Tengku Ismail turut mengumumkan, Naib Ketua Pemuda, Khairy Jamaluddin bersalah di bawah perkara yang sama tetapi dikenakan tindakan amaran.

Sementara itu Dr. Mahathir berkata, dalam apa jua keadaan terutama ketika dikenakan hukuman, seorang pemimpin seperti Mohd. Ali wajar mengutamakan kepentingan parti lebih daripada kepentingannya sendiri.

Ujar beliau, dengan kata lain inilah masanya Mohd. Ali menunjukkan kesetiaannya yang tidak berbelah bagi kepada parti.

''Jika dia betul-betul jujur dan setia kepada parti, inilah masanya dia tunjukkan kesetiaan kerana dengan dia disingkir, parti terselamat.

"Namun begitu jika dia fikir kepentingannya sahaja ini bermakna kualiti kepimpinan UMNO sudah merosot,'' katanya.

Begitu juga dengan pihak yang bersimpati dengan hukuman yang diterima oleh Mohd. Ali, Dr. Mahathir berkata, mereka merupakan golongan yang menyokong gejala rasuah.

''Jika mereka kata simpati, ini bermakna mereka sokong rasuah. Dalam kes ini bukan Lembaga Disiplin sahaja tahu malah semua orang tahu apa yang berlaku.

''Orang yang menyokong rasuah akan memburukkan lagi UMNO dan akan menyebabkan UMNO kalah dan secara tidak langsung mereka mengkhianati UMNO,'' ujarnya.

Dr. Mahathir berkata, sebagai ahli UMNO yang ikhlas dengan perjuangan, mereka sepatutnya akur dengan setiap keputusan yang telah dibuat oleh pihak lembaga.

''Jangan apabila tiba kena batang hidung sendiri tidak mahu sokong tetapi bila kena orang lain hendak sokong pula. Ahli UMNO kena akur dengan keputusan Lembaga Disiplin," katanya.

''Mereka perlu menolak gejala rasuah tidak kira siapa pun yang melakukannya sama ada kena pada pihaknya atau pihak orang lain,'' ujarnya.


Gantung jawatan parti - Ku Li
KUALA LUMPUR 18 Mac - Calon-calon jawatan tertinggi parti yang didapati terlibat dalam politik wang perlu digantung daripada sebarang jawatan parti dan bukan sekadar dihalang bertanding.

Ketua UMNO Bahagian Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah berpendapat, Lembaga Disiplin parti patut bertindak adil dan tidak membezakan hukuman ke atas para pengamal politik wang sekalipun mereka memegang jawatan berlainan dalam parti.

"Kalau benar bersalah patut dihukum, tidak boleh diberi amaran saja. Jangan pilih 'ikan bilis' saja, 'jerung' lepas," katanya kepada pemberita di lobi Parlimen hari ini.

Beliau mengulas kes politik wang melibatkan Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Mohd. Ali Rustam serta ejen-ejennya.

Semalam, Lembaga Disiplin memutuskan Mohd. Ali dilarang bertanding jawatan Timbalan Presiden pada pemilihan parti bermula 26 Mac ini.

Tengku Razaleigh khuatir, perbezaan hukuman itu mampu mengelirukan rakyat dan ahli parti sehingga menyebabkan Lembaga Disiplin dilihat tidak berwibawa dan tidak konsisten.

"Jika rayuan Mohd. Ali untuk bertanding jawatan Timbalan Presiden itu diluluskan (oleh Panel Rayuan Lembaga Disiplin UMNO), maka ahli-ahli lembaga itu mana nak letak muka, mereka harus letak jawatan," tegasnya.

No comments: