Sunday, March 15, 2009

ANTARA IMPIAN ORANG MELAYU?

Gabungan UMNO-Pas impian orang Melayu - Dr. Mohamad Khir Toyo

KUALA LUMPUR 15 Mac - Cadangan untuk mewujudkan satu kerajaan perpaduan yang menggabungkan Barisan Nasional (BN) khususnya UMNO dan Pas merupakan impian seluruh masyarakat Melayu di negara ini.

Ia adalah kerana kedua-dua parti tersebut merupakan dua parti terbesar orang Melayu yang selama ini sering bertentangan dalam apa jua isu disebabkan perbezaan ideologi dan prinsip dalam politik.

Ahli Majlis Tertinggi (MT) UMNO, Datuk Seri Dr. Mohamad Khir Toyo berkata, segala usaha yang boleh menggerakkan ke arah merealisasikan impian tersebut antaranya mengadakan pertemuan di peringkat kepimpinan parti perlu dilakukan secara bersungguh-sungguh.

"Saya pernah berjumpa dengan beberapa pemimpin Pas dan saya bercakap mengenai perkara ini. Mereka memberi reaksi yang amat positif dan mereka sendiri mengakui kerjasama UMNO-Pas adalah impian bagi seluruh masyarakat Islam terutama orang Melayu.

"Siapa tidak mahu melihat UMNO dan Pas bersatu? Apa yang penting sekarang, pihak UMNO dan Pas harus mengetepikan perbezaan fahaman politik supaya kita dapat memulakan segera usaha ini," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Beliau mengulas cadangan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang agar semua parti politik di negara ini bersatu bagi mewujudkan kerajaan perpaduan dalam satu temuramah dengan sebuah portal berita baru-baru ini.

Presiden Pas itu mencadangkan pembentukan kerajaan perpaduan iaitu semua pihak bekerjasama untuk kepentingan negara bukan lagi untuk kepentingan parti masing-masing yang sempit.

Bagaimanapun, bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad ketika mengulas kenyataan itu berkata, kerajaan campuran antara BN dan Pas seperti mana dicadangkan oleh Abdul Hadi tidak perlu.

Dalam pada itu, Mohamad Khir berkata, antara faktor utama beliau mahu kerjasama itu berjaya direalisasikan adalah disebabkan agama.

Beliau berkata, gabungan antara kedua-dua parti berkenaan akan menguatkan lagi kedudukan Islam sekali gus memelihara kesuciannya dicemari oleh mana-mana pihak.

"Saya optimis hasrat ini akan tercapai pada satu hari nanti. Sebenarnya, tiada perbezaan yang ketara antara UMNO dan Pas kerana kita saudara seagama yang sentiasa menjunjung syariat Rasulullah.

"Selain mengetepikan perbezaan fahaman politik, sifat dendam antara UMNO dan Pas perlu dikikiskan. Bagi saya, ini merupakan kerja agama kerana ia akhirnya bermatlamatkan untuk membela agama, bangsa dan negara kita.

"Bagi kaum lain, mereka tidak harus khuatir kerana hak mereka tetap akan terpelihara seperti mana termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan," katanya.

Dalam perkembangan yang sama, Mohamad Khir yakin dengan kewibawaan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mengulangi sejarah yang pernah dibuat oleh bapanya yang juga Perdana Menteri Kedua, Allahyarham Tun Abdul Razak.

"Tun Abdul Razak pernah membawa masuk Pas untuk menyertai parti kerajaan pada tahun 1974. Walaupun usaha itu hanya bertahan setakat empat tahun, sekurang-kurangnya Tun Abdul Razak berjaya melakukannya," katanya.

Nada yang sama turut disuarakan oleh Ketua Penerangan UMNO Johor, Dr. Mohd. Puad Zarkashi.

Beliau berkata, antara langkah awal yang boleh dilaksanakan ialah mengadakan muzakarah antara UMNO dan Pas dengan menemukan pemimpin utama antara kedua-dua pihak.

Kata beliau, melalui muzakarah berkenaan, UMNO dan Pas boleh mencari satu titik persamaan dalam isu-isu tertentu yang akhirnya memberi faedah kepada usaha membela agama, bangsa dan negara.

Selain itu, pembentukan kerajaan campuran di Perak juga boleh dijadikan langkah awal kerjasama antara BN atau secara khususnya UMNO dengan pihak Pas.

"Di Malaysia hanya UMNO dan Pas sahaja parti orang Melayu. Jika ini dapat direalisasikan saya percaya pihak yang paling gembira ialah orang Melayu sendiri.

"Saya mengimpikan ia benar-benar terjadi dan saya akan sentiasa berdoa kepada Allah agar apa yang kita impikan akhirnya menjadi kenyataan," katanya lagi.



Unity goverment: Guan Eng kurang ajar, mahu lihat Melayu berpecah - Mukhriz

KESEDARAN dan pandangan siasah Mukhriz Mahathir mengenai kepentingan perpaduan Melayu lebih sihat daripada pandangan dan pemikiran politik bapaknya. Mukhriz mungkin terelak daripada turut mewarisi genetik kebencian melulu kepada Pas seperti mana yang dianuti oleh bapaknya, Mahathir Mohamad.

Bapaknya adalah seorang pembenci Pas yang tegar. Bagi Mahathir beliau melihat Pas samalah seperti Israel melihat rakyat Palestin! Bagi Mahathir Pas adalah parti politik yang munafik dan sempit, tidak progresif. Walaupun dia pernah menumpang pentas Pas sewaku dipecat dari Umno tahun 1969, namun Mahathir tidak boleh menerima ideologi Pas dan cara Pas berpolitik.

Mahathir menganggap Pas juga parti yang berubah-rubah dan tidak konsisten mengenai Melayu.

Dalam hal ini mungkin Mahathir benar bahawa Pas tidak konsisten mengenai Melayu. Tetapi beliau haru memperbesarkan kanta matanya lebih dahulu melihat apakah perubahan itu ke arah mengempitkan pemikiran politik ataupun sebaliknya. Mahathir harus mengkaji perubahan Pas itu mengikut idealisme para penerajunya serta keperluan semasa bukan terus berpegang kepada paradigma lama Pas.

Perubahan pendekatan, tektik dan strategi tidak menjadi masalah, asalkan jangan pada dasarnya. Mana-mana parti boleh dan perlu melakukan perubahan untuk kemajuan perjuangannya. Perubahan kepada teknik tidak menjadi masalah kerana Pas juga menerima pakai politik Machiavellisme.

Tetapi kali ini Mukhriz melihat di luar kerangka yang bapaknya lihat mengenai cadangan peribadi Presiden Pas, Abdul Hadi Awang perlunya diwujudkan kerajaan perpaduan atau unity goverment. Penerimaan Mukhriz mengenai cadangan Abdul Hadi itu atau kepentingan Melayu bersatu terkesan apabila ahli Parlimen Jerlun itu membelasah Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guang Eng yang ingin menanyakan lebih lanjut Abdul Hadi berhubung cadangan itu. Bagi Mukhriz sikap Guan Eng itu sebagai kurang ajar.

Mukhriz mentafsirkan sikap Guan Eng itu sebagai orang yang mahu melihat Melayu terus berpecah kerana dengan perpecahan itu DAP akan mengambil kesempatan. DAP akan mencari makan dari kelompongan perpaduah Melayu!

Kata Mukhriz sikap Guan Eng itu sebagai kurang ajar. Jarang kita mendengar Mukhriz mengeluarkan kata-kata keras dan berani begitu. Walaupun masa kini Mukhriz sedang berkempen untuk memenangi jawatan ketua pemuda Umno dan kenyataan itu sebahagian daripada alat kempennya, namun apa yang disuarakan itu patut dihormati dan ia satu tuntutan bersama.

Orang Melayu perlu mengenepikan perbezaan dan ideologi politik untuk duduk sekali merancang dan berfikir mengenai masa depan kuasa politik mereka.

Keberanian dan pandangan Mukhriz itu juga agak anih kerana ianya kontras dengan pendirian dan sikap politik sekular bapaknya. Mahathir masih lagi terus membenci Pas dan tidak meletakan setitik kepercayaan pun kalau Pas dan Umno boleh duduk sekali.

Mahathir ketika diminta mengulas cadangan Abdul Hadi itu awal-awal lagi menolak dengan mengatakan ia tidak payah dilakukan. Alasannya percubaan itu sudah dibuat pada tahun 1970-an dulu tetapi gagal disebabkan Pas tidak berfikir seperti Barisan Nasional.

Mahathir nampaknya begitu pesimis terhadap cadangan Abdul Hadi itu dan tidak berusaha untuk melenturkan hatinya walaupun sudah tidak lagi menjadi Presiden Umno dan Perdana Menteri. Sepatutnya sebagai barang klasik dalam politik, Mahathir juga dapat mengurangkan ramuan-ramuan panas dan pedas dalam juadah pemikiran politiknya sesuai seperti menu orla yang tidak boleh makan pedas dan terlalu manis.

Ketidakyakinan atau rasa serit Mahathir untuk melihat Umno dan Pas duduk sekali itu sama dengan sikap dan pendirian Mursiydul Am Pas, Nik Abdul Aziz Nik Mat. Nik Aziz bila setiap kali bercakap mengenai kerjasama antara Pas dengan Umno akan membalik-balikkan perisitwa lama tahun 1974, peristiwa terkeluarnya Pas dari BN.

Bagi Nik Aziz perisitwa itu cukup memberi pengajaran dan ia mula melihat BN dan Umno itu seolah-olah birai neraka yang panas yang tidak wajar dihampiri.

Sebenarnya kerumitan untuk orang Melayu dalam dua badan siasah itu untuk bersatu ialah kerana menerima pakai fatwa dan formula kedua orla – orang lama ini. Selagi kedua orla ini tidak mengubah pemikiran dan sikap politik mereka yang penuh dengan rasa curiga maka selama itulah perpaduan yang diharapkan itu tidak menjadi kenyataan. Dan kedua orla ini merasakan mereka sebagai tunggal keramat apabila ada segelintir animisme dalam kedua parti masing-masing masih terus menyembah mereka.

Bagi orla seperti Mahathir, sepatutnya beliau tidak melihat Pas dalam sudut semasa beliau menjadi Perdana Menteri dulu. Beliau harus ubah sudut pandangan dan kaca mata yang digunakan untuk menilai Pas atau mana-mana pihak bagi membawa perpaduan demi orang Melayu. Beliau harus sedar dengan tuntutan semasa dan ancaman akan datang yang sangat bahaya kepada kuasa politik Melayu.

Adalah silap kalau Mahathir masih melihat dengan menggunakan kaca mata lama, sedang sekarang ini sudah ada kanta sentuh yang tidak perlu kepada bingkai dan cermin yang tebal dan berat lagi. Selagi Mahathir meliahat Pas dengan cermin mata tebal, maka selama itulah Mahathir akan melibat arca Pas itu seperti mana arca Pas yang pernah dilihat dulu.

Tentang Mukhriz tadi apakah pandangannya itu benar dan dibuat mengikut perspektif politiknya sendiri? Sekiranya Mukhriz kekal dan tulus dengan pandangannya itu – yang berbeza dengan bapaknya, nescaya Mukhriz dapat merubah dan membawa sesuatu kalau beliau menang ketua pemuda Umno kelak. Sebaliknya kalau kenyataan membelasah Guan Eng itu sebagai modal tambahan untuk memenangi jawatan ketua pemuda Umno saja maka apa yang boleh disifatkan keberanian itu tidak membawa apa-apa pun melainkan modal politik murahan saja.

Keberanian dan pandangan Mukhriz itu juga agak anih kerana ianya kontras dengan pendirian dan sikap politik sekular bapaknya

oleh Mohd Sayuti Omar

No comments: