Wednesday, March 18, 2009

TIMBALAN PRESIDEN: MUHYIDDIN AKUI PEROLEH 'RESTU' NAJIB


"Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengakui yang beliau mendapat "restu" Datuk Seri Mohd. Najib Tun Razak, yang bakal diumumkan sebagai Presiden Umno, untuk bertanding jawatan timbalan presiden parti itu.

Kata Muhyidddin, beliau sama sekali tidak akan bertanding jawatan tinggi tanpa memperoleh sebarang petanda yang jelas.

"Saya tidak akan menawarkan diri saya bagi jawatan utama seumpama itu tanpa mendapatkan pandangan daripada bakal Presiden Umno yang baru.

"Berdasarkan konvensyen dan tradisi (dalam Umno), Presiden (parti) sentiasa memberikan petanda siapa yang beliau merasakan sangat selesa sebagai timbalannya," kata Naib Presiden Umno itu dalam temu bual dengan Sunday Star.

Dalam temu bual itu, Muhyiddin, 61, memberikan dua situasi di mana beliau mendapat restu Najib, yang turut dijadual akan mengambil alih kepimpinan sebagai Perdana Menteri kelak.

Kata pemimpin dari Johor ini, beliau seringkali mengadakan perbincangan peribadi dengan Najib mengenai perkembangan politik semasa.

"Kami mempunyai keprihatinan yang sama tentang apa yang berlaku dalam pilihan raya umum (Mac lalu) dan masa depan Umno.

"Ketika saya berada di Tokyo, saya menerima SMS daripada Najib mengatakan Perdana Menteri telah mengumumkan pelan peralihan 2010. Saya bertanya Najib: Adakah ia sesuatu yang boleh diterima? Adakah ia terlalu lama? Adakah anda boleh melakukan pemulihan sebelum pilihan raya akan datang?

"Pada ketika ini, beliau yang meminta saya mempertahankan jawatan Naib Presiden dan beliau akan mempertahankan jawatan Timbalan Presiden.

"Tidak lama selepas itu, Perdana Menteri mengatakan bahawa beliau tidak akan mempertahankan jawatan (Presiden) dalam Umno. Najib mengatakan bahawa beliau akan bertanding jawatan Presiden dan saya seharusnya mencuba jawatan Timbalan Presiden," kata Muhyiddin.

Muhyiddin juga memberitahu, Najib memaklumkannya sehari sebelum Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi mengumumkan pendirian beliau itu di ibu negara."

http://din.huluselangor.net/modules.php?name=News&file=article&sid=1026

No comments: