Tuesday, March 10, 2009

KONSEP PENDIDIKAN ANAK DALAM ISLAM

• Dahulu, dalam sejarah Melayu, sekolah dianggap satu tempat yang mulia di mana pelajar bersungguh-sungguh menuntut ilmu untuk dijadikan bekalan pada masa depan

• Rasulullah s.a.w. membahagikan pendidikan anak selepas kelahiran kepada empat tingkatan iaitu dari 1-7 tahun, 7-14 tahun dan 14 -21 tahun

• Tinggal di suatu tempat dengan persekitaran yang baik adalah modal penting membentuk sahsiah anak untuk menjadi generasi yang baik


AKHIR-AKHIR ini ini dunia pendidikan kita seakan-akan menangis melihat keadaan pelajar di sekolah-sekolah yang melakukan pelbagai aktiviti yang tidak mencerminkan keperibadian yang baik.

Ada bilik darjah yang dibakar, ada murid yang ingin membakar rumah gurunya dan ada pula pelajar yang terbabit dengan jenayah. Gejala apakah ini?

Dahulu, dalam sejarah Melayu, sekolah dianggap satu tempat yang mulia di mana pelajar bersungguh-sungguh menuntut ilmu untuk dijadikan bekalan pada masa depan.

Guru adalah pengganti orang tua yang terkadang dihormati melebihi hormat seorang anak kepada ayahnya. Akan tetapi hari ini sekolah yang mulia itu ada yang mula dibakar oleh pelajarnya, guru yang semestinya dicontohi kini diburu.

Daripada hati kecil kita timbul persoalan kenapa terjadi perubahan yang besar di kalangan pelajar kita hari ini?

Lalu mengapa pula terjadi peningkatan perbuatan negatif oleh generasi muda kita? Siapakah yang bersalah? Orang tua, guru atau pelajar itu sendiri?

Bagi menjawab persoalan-persoalan ini, elok kita cuba merenung dan mendalami bagaimana sistem pendidikan anak yang diajarkan dalam Islam.

Sebelum kelahiran:

Rasulullah s.a.w. dalam satu hadisnya bersabda, maksudnya: "Didiklah anak kamu 100 tahun sebelum dia dilahirkan." Hadis ini amat singkat tetapi memiliki makna falsafah yang dalam sebab ungkapan 'seratus tahun sebelum lahir' ini bermakna jauh sebelum anak itu dilahirkan oleh ibunya ke dunia ini.

Apa maknanya? Pakar kesihatan dan ahli jiwa berpendapat bahawa keadaan orang tuanya mempengaruhi sifat serta perilaku anak-anak yang akan dilahirkan. Ertinya, perbuatan dan sikap orang tua sedikit sebanyak mempengaruhi perkembangan fizikal dan mental bayi yang akan dilahirkan.

Di antara pendapat pakar itu dengan hadis Rasulullah s.a.w. di atas sebenarnya memiliki kesesuaian dan sealiran. Ini kerana makna hakikat mendidik anak `seratus tahun sebelum lahir' dalam hadis Rasul adalah dengan cara mendidik diri setiap orang tua itu sendiri terlebih dahulu dengan melakukan aktiviti-aktiviti kebajikan dan meninggalkan semua bentuk maksiat.

Mungkin inilah yang dikatakan orang Arab dalam salah satu syair: "Kaifama takun yakun abna'aka" yang bermakna bagaimana kamu hari ini, begitu pulalah anak-anakmu pada masa hadapan.

Seorang ayah dan ibu kadang-kadang lupa dan leka dengan menganggap perbuatan dan sikap mereka ketika ini tidak memiliki hubung kait dengan masa depan anak-anak mereka.

Padahal setiap orang tua sebenarnya bukan hanya akan mewariskan harta kepada anak mereka tetapi juga akan mewariskan sikap dan pandangan hidup.

Berdasarkan hal di atas, maka wajarlah Rasulullah s.a.w. mengingatkan setiap orang yang akan bernikah supaya jangan salah memilih pasangan.

Dan Rasulullah memberikan empat alternatif bagi setiap muslim dalam memilih jodoh - kecantikannya, kekayaannya, keturunannya dan agamanya. Akan tetapi Rasulullah menasihati agar mengahwini seseorang wanita itu berdasarkan agamanya.

Setelah kelahiran:

Rasulullah s.a.w. membahagikan pendidikan anak selepas kelahiran ini kepada empat tingkatan, iaitu:

Pertama: umur 1-7 tahun. Pada masa ini, Rasulullah menyuruh kita untuk memanjakan, mengasihi clan menyayangi anak dengan kasih yang tidak bertepi dan sayang yang tidak berbatas. Biarkan anak-anak pada masa ini bermandikan kasih sayang.

Kedua: umur 7-14 tahun. Pada masa ini Rasulullah memerintahkan kita untuk mula menanamkan disiplin kepada anak-anak dengan mengajar dan memerintahkan mereka untuk mengerjakan solat.

Bahkan apabila umurnya sudah 10 tahun, seorang ayah boleh memukul anaknya apabila enggan mengerjakan solat.
Berdasarkan kajian pakar-pakar ilmu jiwa anak, sememangnyalah pada umur 7- 14 tahun ini masa terbaik untuk menanamkan disiplin dan pembentukan sahsiah seorang anak.

Pada saat ini pula seorang ayah akan menjadikan anak itu seorang Muslim atau Yahudi, Nasrani dan Majusi seperti yang dikatakan oleh Rasulullah dalam hadisnya bahawa setiap anak yang lahir dalam keadaan suci. Maka, ayah dan ibunyalah yang akan menjadikannya Yahudi, Nasrani atau Majusi.

Ketiga: umur 14-21 tahun. Pada masa ini, orang tua sudah menukar penanaman disiplin dengan cara yang agak keras kepada cara rasional.

Orang tua sudah semestinya mendidik anak dengan cara menjadikannya sahabat dalam berdiskusi, mengajaknya ikut dalam membincangkan masalah keluarga dan diberikan satu-satu tanggungjawab dalam hal-hal tertentu di rumah.

Hal ini penting agar anak berasa dirinya punya tanggungjawab dan telah dewasa sehingga sudah mesti mengambil berat hal-hal dalam keluarga.

Keempat: umur lebih 21 tahun. Pada masa ini, orang tua sudah boleh melepaskan anaknya untuk belajar menempuh hidup akan tetapi tetap melihat perkembangannya dan memberikan nasihat serta peringatan-peringatan apabila anak tersalah atau terlupa.

Dalam kehidupan kita selaku Muslim, kadang-kadang pendidikan yang diajarkan oleh Rasul itu tidak benar-benar diamalkan, bahkan ramai yang tidak mengamalkannya sama sekali.

Ada orang tua yang terlalu memanjakan anak sampai berumur 14 tahun dan baru mula mengajar dan menyuruhnya solat pada umur 15 tahun sehingga mereka bukan saja enggan melakukannya, bahkan marah kepada ibu bapanya apabila disuruh sembahyang.

Apabila seorang anak enggan melaksanakan kewajipannya yang tertinggi, iaitu solat, maka perintah siapa yang akan dia dengar dan lakukan?

Pada hal hakikat solat mampu mencegah seseorang. untuk tidak melakukan perbuatan keji dan mungkar.

Dengan kata lain, dapat disimpulkan bahawa perbuatan samseng yang dilakukan oleh pelajar muslim di sekolah mereka, sebenarnya terjadi kerana rapuhnya pendidikan iman dan tidak berperanannya hikmah solat dalam diri mereka yang berpunca daripada cara mendidik yang salah. Sebahagian orang tua ada yang menanamkan pendidikan disiplin kepada anak secara membuta-tuli tanpa melihat umur clan perkembangan kedewasaan anak sehingga anak berasa dizalimi oleh orang tuanya dari segi hak-hak tertentu.

Natijah dari sikap seperti ini akan menjadikan anak-anak jauh dari orang tua dan menganggap rumah sebagai penjara, lalu mereka terdorong untuk mencari ketenangan di luar rumah.

Persekitaran

Dalam !slam, persekitaran memiliki peranan yang penting dalam pendidikan anak sehingga wajarlah apabila kita dianjurkan untuk melihat jiran di kawasan yang akan diduduki. Sebab jiran yang baik lebih mulia daripada saudara-mara yang jauh.

Anak-anak sangat mudah dipengaruhi oleh persekitarannya. Oleh sebab itu, tinggal di suatu tempat dengan persekitaran yang baik adalah modal penting membentuk sahsiah anak untuk menjadi generasi yang baik.

Sebagai kesimpulannya, pendidikan anak mestilah dimulakan dari pendidikan diri orang tua sendiri dan ia bermula di rumah.

Kedua, kita perlulah menghayati peringkat yang diajarkan oleh Rasulullah dalam pendidikan anak-anak. Dan ketiga, pilihlah persekitaran yang baik untuk anak-anak.

Persekitaran yang baik ini bermakna bukan hanya baik dari segi keadaan fizikal tapi juga baik dari segi mental dan kehidupan beragama

No comments: