Tuesday, March 17, 2009

NAJIB IKRAR BERSIHKAN UMNO - pulihkan persepsi masyarakat ?



Tuesday, 17 March 2009 20:12

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Najib Razak berkata beliau akan melakukan perubahan dalam Umno bagi memulihkan persepsi umum terhadap parti.

Timbalan Perdana Menteri berkata, pada masa ini ramai yang beranggapan Umno adalah parti yang sombong dan banyak berlaku amalan tidak sihat.


"Saya akan buat pembersihan dalam Umno," katanya semasa sesi dialog pada majlis perasmian Persidangan Agenda Integriti Nasional di sini, petang tadi.

Datuk Seri Najib Razak berkata beliau komited kepada pentadbiran yang berprinsipkan keterbukaan, ketelusan dan bercakap benar kepada rakyat apabila mengambil alih pucuk pimpinan negara.

Timbalan Perdana Menteri berkata, jika kerajaan bercakap benar kepada rakyat maka kerajaan akan mendapat keyakinan daripada rakyat.

"Sebagai kerajaan mesti memupuk keyakinan daripada rakyat agar mereka yakin kepada kerajaan, (kita perlu) bersikap telus dengan rakyat," katanya ketika menjawab satu soalan peserta pada Persidangan Agenda Integriti Nasional: Penilaian dan Hala Tuju di Institut Integriti Malaysia di sini, hari ini.

Najib berkata, usaha memerangi rasuah dan membentuk satu masyarakat yang bersih, lebih berintegriti dan bermoral perlu menjadi satu perjuangan yang dibudayakan.

Katanya, unsur negatif seperti tamak haloba dan mementingkan diri sendiri yang menjadi pendorong kepada perbuatan rasuah dan penyelewengan kuasa perlu diketepikan.

Beliau berkata, gerakan integriti nasional perlu digalak dan disokong semua lapisan masyarakat di negara ini demi kebaikan bersama.

Mengenai laporan Pelan Integriti Nasional yang dilancarkan hari ini, Najib berkata berdasarkan laporan itu kerajaan boleh berbangga kerana beberapa kejayaan telah dicapai dalam aspek tertentu.

"Namun jelas masih banyak yang perlu dilakukan kerana persepsi masyarakat terhadap rasuah, masyarakat bermoral dan masyarakat berintegriti masih perlu diperjuangkan habis-habisan," katanya.

1 comment:

Anonymous said...

SERAMAI 15 ahli Umno yang didapati bersalah oleh Lembaga Disiplin Umno yang diumumkan hari ini. Bagaimanapun mereka yang dikenakan tindakan hari ini boleh mengemukakan rayuan kepada Lembaga Disiplin Umno sebelum atau selepas pemilihan parti minggu depan.

Pengerusi Lembaga Disiplin Umno, Tan Sri Tengku Ahmad Rithauddeen Tengku Ismail, berkata demikian pada sidang akhbar di sini petang ini.

Senarai mereka yang dihukum seperti berikut;


* Naib Presiden Umno, Datuk Seri Mohd Ali Rustam (dilarang bertanding atau dipilih ke jawatan timbalan presiden)

* Ketua Pemuda Umno Sabah, Datuk Japlin Akim (digantung 3 tahun)

* Ketua Wanita Bandar Tun Razak, Salmah Pin (digantung 3 tahun)

* Ahli Jawatankuasa (AJK) Umno Bukit Katil, Saadun Basiron (digantung 3 tahun)

* AJK Umno Bukit Katil, Rosli Hasan (digantung 3 tahun)

* Naib Ketua Puteri Umno Bukit Katil, Zalina Ismail (digantung 3 tahun)

* Ketua Pemuda Umno Maran, Mohamad Najuib Mohd Shahaimi (digantung 3 tahun)

* Ketua Bahagian Umno Bandar Tun Razak, Datuk Mokhtar Samad, (digantung setahun)

* Ahli Umno Paya Besar, Datuk Abd Manan Ismail (digantung setahun)

* Timbalan Ketua Bahagian Kuala Krai, Amran Mat (digantung setahun)

* Ahli Umno Gua Musang, Mohd Zuki Mohd Zin (digantung setahun)

* Timbalan Ketua Bahagian Paya Besar, Datuk Md Sohaimi Mohamed Shah (amaran)

* AJK Umno Bahagian Paya Besar, Mohd Zaili Besar (amaran)

* Naib Ketua Bahagian Paya Besar, Mohd Sohaimi Jusof (amaran)

* Naib Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin (amaran)