Sunday, March 8, 2009

KEIBUBAPAAN

Konsep Keibubapaan

Ibu bapa merupakan guru pertama dan paling lama bagi anak-anak mereka. Dalam proses perkembangan yang biasa, ibu bapalah yang banyak menyokong perkembangan bahasa, sosial dan akademik anak-anak mereka. Terdapat bukti positif dalam tempoh 30 tahun yang lepas yang menunjukkan bahawa mengajar kemahiran spesifik kepada ibu bapa dapat membantu dalam perkembangan anak-anak di bawah jagaan mereka.

Ibu bapa merupakan unit asas dalam keluarga dan peranannya sangat penting dalam pembentukan keluarga yang bahagia. Ini memerlukan pengurusan keluarga yang dinamik, proaktif dan menepati masa yang kian berubah. Peranan ibu bapa sangat penting dan perlu dilihat secara makro dan semua ini terlibat secara komited. Selain daripada faktor keluarga, faktor persekitaran juga perlu diambil kira. Dalam usaha mendirikan sebuah keluarga yang bahagia dan berkesan, konsep ‘melentur buluh biar dari rebungnya‘ perlu diberi penekanan . Ibu bapa merupakan satu unit dan perlu menjalankan pengurusan yang proaktif dari aspek sains dan kemanusiaan.

Keibubapaan merupakan kerja yang paling sukar sekali, tetapi kebanyakan ibu bapa menerima sedikit atau tidak mendapat latihan formal langsung dalam kemahiran keibubapaan. Namun demikian ibu bapa seringkali dikritik bagi setiap kesilapan yang mereka lakukan. Ahli psikologi telah mengkaji amalan keibubapaan yang berkesan dan telah mencadangkan latihan dalam kemahiran keibubapaan untuk para ibu bapa.
Banyak keluarga hendak melibatkan diri dalam pendidikan anak-anak mereka. Ahli profesional pendidikan awal kanak-kanak mengakui nilai dan kepentingan mewujudkan kerjasama berkesan dan bermakna dengan ibu bapa dan keluarga.

Penglibatan keluarga dapat dilihat dari pelbagai segi bergantung kepada konteks. Epstein mencadangkan 6 jenis penglibatan ibu bapa. Teori Epstein menghuraikan kerjasama yang perlu wujud di antara pihak sekolah, keluarga dan masyarakat. Jenis penglibatan tersebut bukan berbentuk hieraki tetapi ia merupakan suatu kerangka untuk menghubungkan keluarga, ahli masyarakat dan ahli profesional pendidikan awal kanak-kanak. Enam jenis penglibatan ibu bapa mengikut Epstein ialah :

• Jenis 1 : Keibubapaan – membantu keluarga menguasai kemahiran keibubapaan dan memahami perkembangan kanak-kanak.

• Jenis 2 : Komunikasi – mengamalkan pelbagai cara komunikasi yang berkesan di antara sekolah dan keluarga

• Jenis 3 : Kesukarelawan – menggalakkan keluarga berkhidmat secara sukarela dengan pelbagai cara.

• Jenis 4 : Pembelajaran di rumah – melibatkan keluarga menyokong aktiviti pembelajaran di rumah.

• Jenis 5 : Membuat keputusan – melibatkan keluarga dalam pengurusan prasekolah dan organisasi berkaitan.

• Jenis 6 : Kolaborasi dengan masyarakat – menyelaras perkhidmatan masyarakat untuk kebaikan bersama.


Proses keibubapaan perlu dilihat dari sudut mikro dan makro. Kemahiran keibubapaan adalah asas kepada kesejahteraan keluarga, masyarakat dan negara. Keibubapaan tidak terhad kepada ibu bapa tetapi juga berhubungkait dengan kematangan dan kesediaan institusi-institusi lain untuk bekerjasama.


Prinsip-Prinsip Keibubapaan

Keibubapaan boleh memberikan kebahagiaan kepada ibu bapa serta mencabar kerana ibu bapa perlu menemui cara yang berkesan untuk berkomunikasi dan mendidik anak-anak mereka. Terdapat beberapa prinsip keibubapaan yang boleh digunakan untuk membantu ibu bapa dalam menjalankan tanggungjawab mereka. Amalan prinsip-prinsip ini akan mendatangkan kesan positif terhadap kanak-kanak.

• Mengurus diri dengan baik (Take care of yourself)

Mengurus diri dengan baik haruslah menjadi perkara utama dalam diri ibu bapa. Sekiranya ibu bapa mengabaikan diri maka kebolehan mereka mengaplikasikan prinsip-prinsip yang seterusnya akan terbatas. Ibu bapa yang mengamalkan prinsip ini akan berusaha menguruskan tekanan dalam kehidupan mereka. Mereka memiliki identiti tersendiri dan menggunakan kebolehan untuk diri dan keluarga. Mereka akan berusaha mendapatkan ahli keluarga dan kawan yang boleh memberikan sokongan emosi dan praktikal. Mereka akan berusaha mengamalkan ciri-ciri dan aktiviti tersebut dalam kehidupan supaya anak-anak mereka akan meniru dan mengamalkannya apabila dewasa nanti.

• Kasihi anak-anak (Nurture your children)

Jika kanak-kanak tidak merasa dihargai dan disayangi maka semua usaha ibu bapa tidak akan memberikan pengaruh yang kuat ke atas mereka. Kanak-kanak perlu merasa mereka disayangi dan dikasihi oleh ibu bapa mereka.

• Bimbing anak-anak (Guide your children)

Kanak-kanak perlu diberikan satu set nilai, panduan dan standard untuk membantu mereka menguruskan kehidupannya. Bimbingan adalah lebih baik daripada hukuman, Seorang ibu atau bapa yang membimbing anaknya mengajar anaknya bahawa kesan positif atau negatif akan menyusuli sesuatu tingkat laku. Bimbingan membantu kanak-kanak mendapatkan sesuatu dengan cara yang dipersetujui oleh ibu bapa mereka. Ibu bapa yang membimbing akan mengajar melalui teladan, menetapkan had yang berpatutan serta melibatkan kanak-kanak dalam menetapkan had bersesuaian dengan umur mereka.

• Membela anak anda (Be your child’s advocate)

Bronfenbrennner mencadangkan bahawa ibu bapa hendaklah menunjukkan rasa kasih sayang yang amat kuat terhadap anak mereka. Ibu bapa harus menunjukkan mereka merasa anak mereka lebih baik daripada kanak-kanak yang lain.

• Memotivasikan anak anda (Motivate your child)

Ibu bapa adalah guru pertama kepada anaknya. Ibu bapa hendaklah menggalakkan anak mereka mempelajari dengan mewujudkan suasana pembelajaran kondusif di rumah. Sediakan buku dan pelbagai bahan rujukan di rumah. Ibu bapa harus membaca supaya menggalakkan anak-anak mereka membaca.


• Jangan membincangkan masalah tingkahlaku di hadapan kanak-kanak

Apa-apa perkara yang ibu bapa bincangkan di depan anak-anak, ia mungkin mempengaruhi persepsi anak terhadap dirinya. Sesuatu perkara negatif yang didengari mungkin dianggap benar. Sebaliknya perkara positif yang didengari mereka boleh memberikan keyakinan dan menggalakkan tingkah laku positif.

• Melindungi kanak-kanak secara keterlaluan

Walaupun kanak-kanak perlu dilindungi, namun perlindungan yang melampau akan menggalakkan tingkah laku pergantungan dan kanak-kanak yang terlalu sensitif. Ibu bapa boleh menunjukkan bahawa mereka baik hati tanpa terlalu bersimpati. Kanak-kanak perlu mempelajari menangani perasaan kekecewaan, kegagalan dan kehilangan dalam kehidupan mereka. Kanak-kanak yang mempunyai sikap berdikari akan akhirnya dapat mengatasi pelbagai halangan dalam kehidupan mereka kelak.

• Bersatu, bertolak ansur & bersikap positif terhadap suami/isteri

Tingkah laku suami isteri yang selalu tidak sependapat/sehaluan akan mengelirukan anak-anak mereka. Anak tidak akan menghormati ibu bapa yang tidak menghormati satu sama lain.

• Menghargai guru, pendidikan & pembelajaran

Pendidikan guru harus dititikberatkan. Kanak-kanak akan memahami mengenainya dengan jelas jika bapa, datuk dan nenek, misalnya menghargai pembelajaran. Ceritalah mengenai guru yang anda hormati dan tunjukkan penghargaan anda terhadap guru anak anda. Ibu bapa harus memberitahu anak bahawa mereka mengharapkan anak mereka mencapai pendidikan sehingga peringkat tinggi. Ini adalah untuk mengelakkan anak-anak mengabaikan pendidikan dan tercicir daripada persekolahan terlalu awal.

• Bersikap positif terhadap kerjaya

Ibu bapa yang merungut tentang kerjaya akan menggalakkan anak mereka mempunyai sikap negatif terhadap kerja. Anak-anak akan merungut terhadap kerja rumah dan tanggungjawab yang diberikan di rumah. Ibu bapa yang tidak menyukai kerjaya harus berikhtiar menukar kerjaya mereka supaya anak-anak mereka akan menyedari bahawa pendidikan membuka peluang yang luas kepada mereka yang berpendidikan tinggi.

• Menjadi teladan kepada anak

Kanak-kanak selalu memerhati tingkah laku ibu bapa dan ahli-ahli keluarga yang lain. Orang dewasa yang bersikap tidak amanah dan tidak beretika akan dicontohi oleh kanak-kanak. Kanak-kanak akan tertarik dan ingin meniru ibu bapa yang beretika, bersemangat dan mempunyai sikap ingin tahu yang tinggi.

• Mempelajari bersama dengan anak-anak

Ramai ibu bapa menyesal kerana mereka terlepas daripada peluang mempelajari bersama-sama dengan anak-anak mereka. Jadikan pengalaman lawatan, perkhemahan dan aktiviti lain suatu pengalaman untuk belajar bersama dengan anak-anak.

• Luangkan masa untuk berseronok

Orang dewasa harus meluangkan masa untuk diri sendiri tanpa melibatkan anak-anak mereka. Seperti manusia lain, orang dewasa perlu meluangkan masa makan atau bercuti dan menikmati kehidupan mereka. Pada masa tersebut anak-anak akan berpeluang menguruskan aktiviti masing-masing dengan sendiri. Peluang ini akan membolehkan kanak-kanak mempelajari banyak perkara dan menjadi matang.


Matlamat & Objektif

Kajian menunjukkan semua kanak-kanak dilahirkan dengan pelbagai potensi yang akan berkembang jika digalakkan dengan betul. Perkembangan otak, misalnya, banyak bergantung kepada pengaruh persekitaran dalam perkembangan awal kanak-kanak. Sekiranya faktor-faktor tersebut tidak disediakan pada masa–masa tertentu maka perkembangan kanak-kanak mungkin tidak berlaku.

Kajian juga menunjukkan bahawa pendapatan dan status sosial kurang mempengaruhi prestasi pencapaian murid dalam sekolah berbanding dengan tindakan keluarga murid dari segi :

• mewujudkan suasana rumah yang menggalakkan pembelajaran

• menetapkan jangkaan yang tinggi tetapi realistik terhadap pencapaian dan masa depan anak

• terlibat dalam pendidikan anak dalam sekolah dan masyarakat
Bagaimanakah matlamat tersebut dapat dicapai? Bagaimanakah kemahiran dan pengetahuan keibubapaan dapat mempengaruhi kanak-kanak di rumah?


Matlamat Keibubapaan

Kajian menunjukkan terdapat beberapa kemahiran yang ibu bapa perlu miliki supaya mereka dapat membentuk tingkah laku anak-anak dengan berkesan. Antara kemahiran keibubapaan adalah seperti berikut :

• Membentuk dan menjelaskan jangkaan

• Mengawal perasaan apabila anak menunjukkan tingkah laku yang tidak diingini

• Melaksanakan sesuatu tindakan positif atau negatif

• Menjadi teladan yang positif

• Membentuk tingkah laku

• Memotivasikan anak yang bertingkah laku positif


Keibubapaan ialah satu proses yang kompleks dan ibu bapa memerlukan pengetahuan dan kemahiran keibubapaan supaya dapat mendidik anak dengan sebaik mungkin dalam aspek-aspek berikut :

• Perkembangan Kanak-Kanak

Memahami perkembangan dan pertumbuhan kanak-kanak berkembang serta keperluan-keperluan mereka pada setiap perkembangan dalam kehidupan.

• Mengenali Diri Sendiri

Memahami diri dari segi dorongan, nilai, dan bagaimana cara mereka dapat menangani kenakalan anak, pertelingkahan dan sebagainya.

• Kemahiran & Strategi Keibubapaan
Memahami kemahiran & strategi keibubapaan spesifik untuk memenuhi keperluan kanak-kanak dan menangani tingkah laku anak sepanjang proses keibubapaan.

• Cara Berkomunikasi

Memahami cara berkomunikasi dengan anak, pasangan suami isteri dan guru secara berkesan.

• Cara Mengajar

Mempelajari cara bagaimana mengajar sesuatu konsep dan kemahiran kepada anak.

• Mengurus Keluarga

Memahami cara menyara keperluan keluarga dan menguruskan sebuah keluarga.

• Mendapatkan Bantuan

Menyedari pentingnya mendapat bantuan daripada orang lain serta cara mendapatkan bantuan tersebut apabila memerlukannya.

Pemerhatian ke Atas Kanak-Kanak

Lingkungan umur di antara 4-6 tahun memperlihatkan satu tahap pertumbuhan dan perkembangan kanak-kanak berlaku begitu pesat. Kajian kecerdasan ke atas remaja pada umur 17 tahun ke bawah menunjukkan bahawa 50% kecerdasan telah berkembang apabila kanak-kanak mencapai umur 4 tahun.

Pertambahan 30% berlaku apabila kanak-kanak mencapai umur lapan tahun. Hampir 80% kecerdasan yang terdapat pada umur dewasa, iaitu 17 tahun. Perkembangan pesat berlaku dalam lingkungan umur prasekolah.

Implikasi daripada dapatan kajian ini sungguh penting bagi ibu bapa menilai apa yang perlu dilakukan supaya pertumbuhan dan perkembangan dalam semua aspek fizikal, mental dan sosioemosi dapat dioptimumkan dalam lingkungan umur prasekolah.

Sebelum seseorang ibu bapa boleh memerhati dan mentafsir mengenai perkembangan anaknya beliau perlu memahami ciri-ciri kanak-kanak pada tahap umur tertentu.

Berikut adalah ciri kanak-kanak berumur di antara 3-5 tahun.
Ciri Fizikal

• Kanak-kanak prasekolah amat aktif. Mereka dapat mengawal pergerakan badan dan melakukan aktiviti untuk keseronokannya semata-mata.

• Kanak-kanak memerlukan waktu rehat lebih kerap. Mereka tidak sedar keperluan untuk berehat.

• Perkembangan otot besar berlaku lebih cepat daripada otot kecil. Kanak-kanak prasekolah agak kekok dan kurang cekap melakukan aktiviti seperti mengikat tali kasut dan membutang baju.

• Koordinasi tangan dan mata tidak cekap kerana sukar melihat objek kecil.

• Badan kanak-kanak fleksibel, tetapi tulang di bahagian kepala lembut.

• Kanak-kanak lelaki lebih besar daripada perempuan, tetapi perkembangan kanak-kanak perempuan lebih cepat dalam banyak aspek perkembangan, misalnya kemahiran motor halus.

Ciri Sosial

• Kebanyakan kanak-kanak mempunyai seorang hingga dua orang rakan karib, tetapi persahabatan tidak berkekalan. Kebanyakannya bersedia bermain dengan kanak-kanak lain. Kawan karib biasanya dari jantina yang sama, tetapi persahabatan lelaki dan perempuan mula berlaku.

• Permainan secara kumpulan kecil dan tidak terancang dan akan berubah dengan cepat.

• Kanak-kanak kecil menunjukkan beberapa jenis tingkah laku semasa bermain seperti bermain sendiri, bermain bersama rakan atau sebagai pemerhati sahaja.

• Corak bermain berbeza mengikut kelas sosial dan jantina

• Perselisihan sering berlaku, tetapi tidak kekal lama dan cepat dilupai

• Menyedari peranan jantina dan perbezaan jantina.
Ciri Emosi

• Meluahkan emosi secara bebas dan terbuka.

• Perasaan iri hati sering berlaku di kalangan rakan kerana kanak-kanak ingin mendapat perhatian dan sokongan guru.
Ciri Kognitif

• Kanak-kanak agak mahir dengan bahasa, kebanyakannya suka bercakap terutama sekali di depan kumpulan.

• Menggunakan peraturan bahasa sendiri semasa bertutur

• Kecekapan bertambah melalui interaksi, minat, peluang dan galakan.


Hasil daripada pemerhatian, ibu bapa akan mengetahui antaranya :

• Bagaimana kanak-kanak belajar

• Tahap perkembangan kanak-kanak

• Tahap perkembangan kanak-kanak seterusnya

• Bagaimana menggalakkan perkembangan kanak-kanak

• Bagaimana kanak-kanak membentuk hubungan

• Apa yang kanak-kanak ingin pelajari

Maklumat yang dikumpul akan membantu ibu bapa mendapat suatu gambaran sebenar tentang anak mereka. Ia dapat membantu mereka menentukan apa masalah yang dialami oleh kanak-kanak dan bentuk bantuan yang diperlukan. Pemerhatian ke atas kanak-kanak akan memastikan tidak ada masalah berlaku secara terus menerus tanpa tindakan diambil.

Kawalan Diri

Kawalan diri merujuk kepada kemahiran seseorang untuk mengawal emosi dan tingkah laku secara positif apabila berhadapan dengan sesuatu situasi dalam kehidupannya. Kemahiran mengawal diri berkait rapat dengan psikologi seseorang. Seseorang yang mempunyai kemahiran mengawal diri tinggi akan melihat dirinya sebagai mempunyai kebolehan dan kemahiran untuk berhadapan dengan cabaran. Apabila persepsinya terhadap situasi adalah positif maka dia dapat bertindak dengan penuh keyakinan, tenang dan membuat keputusan dengan berkesan.

Perubahan berlaku dengan begitu pesat dalam masyarakat. Dalam keadaan demikian keluarga akan sentiasa berhadapan dengan cabaran baru dan lebih kompleks. Ibu bapa perlu bertindak dengan yakin, tenang dan membuat keputusan yang wajar. Respon ibu bapa terhadap cabaran akan mempengaruhi kebahagiaan keluarganya. Masalah dalam kerja yang tidak diuruskan dengan baik, mungkin akan dibawa ke dalam keluarga dengan cara tidak disedari dan menjejaskan hubungan dalam keluarga.

Kemahiran mengawal diri amat penting dipelajari oleh ibu bapa kerana ia dapat :

• membantu seseorang mengawal emosinya dan bertindak dengan penuh keyakinan.

• membantu seseorang mengekalkan komunikasi secara positif dengan ahli-ahli keluarga lain.

• membolehkan seseorang membuat keputusan yang berkesan

• mengelakkan seseorang daripada merasa tertekan

Kemahiran mengawal diri boleh dipelajari dan dipertingkatkan melalui cara-cara berikut :

• memahami kelebihan dan kekurangan dalam diri seseorang.

• membuat refleksi tentang pengalaman atau pembelajaran yang lepas. Amalan refleksi membantu seseorang meneliti tindakan yang telah diambil dan kesannya.

• melibatkan diri dalam banyak aktiviti dan dalam pelbagai situasi supaya seseorang mendapat pengalaman yang luas. Seseorang yang berpengalaman luas dan sering kali berjaya akan yakin dengan kebolehan diri dan mempunyai kawalan diri yang tinggi.

Mengekalkan Kebahagiaan

Semua ibu bapa mempunyai hasrat dan cita-cita untuk menjadi ibu yang cemerlang tetapi pengalaman telah menunjukkan bahawa kebanyakan ibu bapa merasakan prestasi mereka sebagai ibu bapa tidaklah secemerlang yang diharapkan. Malah ramai yang beranggapan bahawa mereka tidak mempunyai keupayaan untuk menjadi ibu bapa yang cemerlang dan mengekalkan kebahagiaan dalam keluarga.

Usaha membentuk sebuah keluarga yang bahagia memerlukan ibu bapa yang cemerlang. Apakah maksud ibu bapa yang cemerlang? Ibu bapa yang cemerlang akan mempunyai personaliti berikut :

• Matlamat hidup berkeluarga yang jelas.

• Tegas

• Berakhlak mulia

• Mengambil berat terhadap keluarga

• Komitmen yang tinggi

• Yakin terhadap diri sendiri

• Berketrampilan dalam pelbagai bidang

• Konsisten dalam melakukan sesuatu

• Pemikiran yang kreatif dan positif

• Boleh diharap

• Sentiasa bertenaga

• Kemahiran berkomunikasi

• Mudah mesra dan penyayang

• Kuat bekerja

• Pandai bergurau

Ibu bapa perlu mendidik anak supaya menjadi insan berakhlak mulia
Rahsia Membentuk Rumah Tangga Bahagia

• Landasan ilmu yang kukuh

• Amalan berkasih sayang & kasih-mengasihi

• Penyuburan bakat

• Kejujuran & keikhlasan

• Membentuk suasana kondusif

• Memainkan peranan & tanggungjawab

• Membuat keputusan bersama

• Mempamerkan kasih sayang

• Mengawal emosi & tindakan

• Memberikan tumpuan masa kepada keluarga

• Tidak mementingkan diri sendiri

• Sentiasa berdoa untuk keluarga

• Mendedahkan ajaran agama kepada anak-anak

• Bersikap adil terhadap ahli keluarga

Memilih Pusat Penjagaan Prasekolah Untuk Kanak-Kanak

Ibu bapa menganggap prasekolah akan menyediakan peluang untuk anak-anak mereka berkembang sebagai seorang pelajar. Hal ini akan berlaku jika ibu bapa merasa yakin dengan kualiti guru dan prasekolah.

Terdapat 3 langkah yang perlu diambil oleh ibubapa untuk memastikan kanak-kanak prasekolah mendapat pengalaman positif iaitu :

• Memilih pusat prasekolah yang betul

• Menyediakan kanak-kanak untuk prasekolah

• Menyokong kanak-kanak semasa belajar di prasekolah



Pemilihan pusat prasekolah untuk anak hendaklah dilakukan beberapa bulan sebelum sesi persekolahan bemula. Terdapat 4 langkah dalam memilih prasekolah, iaitu :

(a) Meneliti falsafah pusat prasekolah
Terdapat ibu bapa berpendapat prasekolah adalah tempat untuk membolehkan anak-anak mereka mengembangkan kemahiran asas dalam akademik. Ibu bapa yang lain mungkin melihat prasekolah sebagai tempat yang menyediakan peluang untuk kanak-kanak membentuk hubungan yang baik dengan rakan sebaya.

(b) Mendapatkan senarai pusat prasekolah tempatan.
Selepas menentukan falsafah prasekolah, dapatkan senarai pusat prasekolah untuk dipertimbangkan.

(c) Mengumpul maklumat tentang pusat prasekolah
Sebelum melawat ke prasekolah, dapatkan maklumat tentang prasekolah. Ibu bapa perlu bertanya kepada pengelola prasekolah mengenai falsafah, lokasi, kos, bilangan hari pembelajaran dan sebagainya. Berdasarkan maklumat tersebut ibu bapa boleh menentukan pusat prasekolah yang sesuai dengan kehendak mereka dan melawat untuk meninjau lebih lanjut.

(d) Melawat & memerhati pusat prasekolah
Tetapkan temujanji dengan pihak prasekolah untuk melihat dan menemubual stafnya. Semasa lawatan, perhatikan persekitaran, bilik darjah, jadual, aktiviti pembelajaran, dan interaksi guru dan murid. Semasa sesi temu bual, pertimbangkan peraturan disiplin, tahap penglibatan ibu bapa dan kelayakan staf dan sekolah.
Semasa lawatan ibu bapa boleh menggunakan garis panduan berikut untuk membantu mereka :
• Guru Prasekolah
 Kelayakan, pengalaman & latar belakang guru
 Samada guru menghadiri latihan professional secara berterusan
 Jangkaan berbeza untuk kanak-kanak berlainan umur & minat
 Adakah kanak-kanak & guru nampak mesra
 Adakah kanak-kanak mendapat perhatian individu
 Adakah guru bertindak secara positif terhadap kanak-kanak dan berkomunikasi pada tahap kanak-kanak
 Adakah guru mendengar percakapan murid dan bertindak balas secara aktif
 Adakah guru menekankan kekuatan dan kejayaan murid
 Samada guru menunjukkan ciri kecindan
 Samada guru mempunyai falsafah mendidik kanak-kanak yang sama dengan ibu bapa
 Adakah ibu bapa merasa mesra dan yakin dengan guru prasekolah
 Samada guru pandai menyelesaikan konflik di kalangan murid

• Interaksi Kanak-Kanak
 Adakah kanak-kanak merasa selesa dan gembira
 Adakah kanak-kanak berpeluang meluahkan pandangan
 Adakah kanak-kanak mempercayai guru untuk bantuan
 Adakah guru membantu kanak-kanak bertimbang rasa semasa asertif
• Aktiviti Harian
 Adakah jadual tetap untuk kanak-kanak
 Bagaimana cara guru mengurus waktu rehat
 Apa jenis aktiviti disediakn untuk kanak-kanak dan samada aktiviti sesuai dengn umur kanak-kanak
 Apakah fokus aktiviti – pembelajaran, permainan kreatif atau kedua-duanya
 Keseimbangan aktiviti fizikal luar dan dalam
 Samada kanak-kanak dibenarkan memilih aktiviti yang disukai mereka
 Adakah guru menghargai nilai main dan menggalakkan kreativiti
 Kepelbagaian bahan permainan yang disediakan
 Adakah aktiviti main melambangkan masyarakat pelbagai budaya tanpa diskriminasi

• Disiplin
 Bagaimana kanak-kanak dikawal
 Adakah kawalan disiplin berpatutan dan menekankan pengajaran tingkah laku yang bersesuaian
 Adakah 'time out' memberi peluang kanak-kanak membuat refleksi kendiri dan bukan sebagai hukuman
 Adakah kanak-kanak dilibatkan dalam membuat keputusan dan menyelesaikan masalah

• Nisbah orang dewasa dan kanak-kanak
 Apakah nisbah yang dibenarkan untuk prasekolah
 Berapa bilangan kanak-kanak di bawah jagaan dan umur kanak-kanak
 Adakah bilangan orang dewasa mencukupi untuk melayan kanak-kanak

• Persekitaran
 Ruang mencukupi untuk kanak-kanak bergerak bebas
 Ruang untuk kanak-kanak bermain, belajar secara senyap dan aktif
 Bilik selesa, menggalakkan, menarik dan ceria
 Hasil kerja murid dipamerkan

• Makanan & minuman
 Makanan berzat dan pelbagai disediakan pada masa sesuai
 Guru dapat menyediakan makanan khas untuk kanak-kanak yang memerlukannya
 Penyimpanan dan penyediaan makanan dalam keadaan memuaskan


• Layanan khas
 Adakah guru dapat melayan kanak-kanak dengan keperluan khas
• Penglibatan ibu bapa
 Galakan penglibatan dalam aktiviti yang dianjurkan oleh prasekolah
 Adakah ibu bapa digalakkan untuk hadir atau memerhati semasa kelas dijalankan

• Keselamatan
 Cahaya lampu, dan pengudaraan mencukupi
 Peralatan selamat dan dalam keadaan baik
 Ubat-ubatan dan bahan merbahaya disimpan dengan baik
 Alat keselamatan disediakan
 Pelan pemindahan kecemasan disediakan dan dilatih dari masa ke semasa
 Maklumat kecemasan disimpan dalam fail untuk setiap orang kanak-kanak
• Sakit
 Peraturan jika kanak-kanak jatuh sakit
 Samada pembantu yang bertauliah ada untuk membantu sekiranya guru jatuh sakit atau mengalami kecemasan

Berdasarkan maklumat dan pemerhatian, ibu bapa boleh membuat keputusan mengenai prasekolah yang sesuai untuk anak masing-masing.

Kesimpulan

Untuk menjadi seorang ibu bapa yang berkesan, seseorang perlu mempunyai dedikasi, kasih sayang dan mengelakkan diri daripada suka memberi hukuman. Keibubapaan adalah kerja dan peranan yang mungkin paling penting bagi seseorang. Seseorang perlu meluangkan banyak masa, tetapi ia mendatangkan ganjaran yang amat berharga pada jangka masa panjang. Generasi akan datang (anak-anak kita) akan berkembang secara positif apabila kita memberi sepenuh perhatian dan usaha dalam mendidik mereka.

No comments: