Thursday, March 26, 2009

SHAFIE CIPTA SEJARAH TERSENDIRI BAGI NEGERI DI BAWAH BAYU


CIPTA SEJARAH TERSENDIRI, JADI WAKIL TUNGGAL NAIB PRESIDEN UMNO DARI SABAH.

Datuk Seri Mohd Shafie Apdal dipilih sebagai salah seorang daripada 3 kerusi Naib Presiden. Sementara, Tan Sri Muhyiddin Yassin memenangi jawatan Timbalan Presiden Umno. Shafie merupakan calon tunggal dari Sabah, yang pertama dari negeri itu memenangi kerusi Naib Presiden.

Jawatan Naib Presiden Umno dibarisi tiga muka baru yang terdiri daripada Menteri Kabinet iaitu Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi; Menteri Pelajaran, Datuk seri Hishammuddin Tun Hussein dan Menteri Perpaduan, Kesenian dan Warisan, Datuk seri Mohd Shafie Apdal.

Ketika ditemui media selepas pengumuman keputusan itu, Ahmad Zahid berkata, beliau akan memainkan peranan untuk membantu memperkuatkan parti bagi memperolehi dokongan daripada rakyat keseluruhannya. "Kita akan beri peluang kepada Datuk Seri Mohd Najib (Tun Razak) mengambil sedikit masa untuk memikirkan bersama-sama kita tentang agenda perubahan yang akan diterjemahkan khususnya elemen-elemen untuk memperkuatkan institusi kepresidenan, kepimpinan dan kepengikutan yang ada pada kita. "Bagi saya, apa yang penting adalah Umno itu harus harus direlevankan dengan situasi semasa," katanya.

Sementara itu, Hishammuddin menganggap kemenangan beliau sebagai peluang yang diberikan perwakilan untuk beliau terus berkhidmat kepada parti. "Banyak kerja yang perlu kita lakukan dan Insya-Allah, dengan tempat yang diberi, kita akan bekerja bersungguh-sungguh dengan barisan yang telah pun ditentukan bagi memastikan Umno terus relevan dan diterima oleh masyarakat. "Walaupun cabaran di hadapan berat untuk dipikul tetapi dengan pasukan yang dipilih hari ini, saya yakin kita boleh lakukan," katanya. Ditanya sama ada beliau gentar memikul jawatan Naib Presiden daripada jawatan Ketua Pemuda sebelum ini, Hishammuddin berkata, sememangnya ia merupakan satu lanskap dan dimensi baru baginya namun beliau yakin akan terus diberikan sokongan.

Shafie pula menyifatkan antara lain kemenanganya sebagai satu pengiktirafan daripada perwakilan seluruh negara. Beliau berkata, kemenangannya itu akan memberi peluang kepada Umno untuk memperkuatkan sokongan rakyat Sabah kepada Barisan Nasional (BN) menerusi Umno. “Kami berkhidmat kepada kerajaan dan negara, untuk laksanakan khidmat bakti, jawatan tidak penting, yang penting khidmat disumbangkan,” katanya kepada pemberita selepas melawat pusat media di sini hari ini. Menurutnya tumpuan sekarang ialah untuk memastikan suara Umno Sabah dapat diselaraskan demi kekuatan parti, seterusnya Barisan Nasional (BN). “Kalau pegang jawatan baik pun tetapi sumbangan tidak memenuhi apa yang diharapkan serta tidak memenuhi kehendak rakyat, tidak ada gunanya. Lebih teruk lagi ia akan menjejaskan parti terutama semasa kami sedang berusaha untuk perkukuhkan Umno ke arah lebih baik,” katanya

No comments: